Tuesday, January 19, 2021

Resensi Buku: Uthmaniyah Di Hujung Jari

 

Resensi Buku Uthmaniyah Di Hujung Jari


Tajuk: Uthmaniyah Di Hujung Jari
Penulis: Amir Asyraf Alwi
Tahun Terbit: 2020
Penerbit: Patriots Publishing

Sebuah buku tentang sejarah empayar agung Uthmaniyah yang pernah berdiri gagah selama 600 tahun. Diasaskan oleh Osman Ibn Ertugrul seorang pemimpin suku Kayi dari Anatolia.

Terdapat banyak maklumat dikongsikan antaranya mengenai sultan-sultan yang gila, hubungan diplomatik antara empayar, peristiwa pengepungan Kota Kut, penaklukan Kota Konstantinopel, kebangkitan nasionalis dan banyak lagi.

Penghapusan Janissari antara peristiwa yang ingin saya kongsikan. Janissari merupakan pasukan tentera elit Uthmaniyah. Pada awal kewujudnya, pasukan ini dianggotai oleh golongan hamba dan tawanan perang yang bersumpah untuk setia kepada Uthmaniyah. Namun, selepas 500 tahun, Janissari dihapuskan dalam satu peristiwa yang dikenali sebagai "Kemalangan yang bermakna".

Petikan dari Uthmaniyah Di Hujung Jari
Turut dimuatkan dalam buku ini, penerangan tentang Institusi Heram ketika zaman itu, fungsi pancaragam Mether dan akhirnya faktor-faktor kejatuhan empayar Uthmaniyah.

Buku ini mengandungi banyak maklumat yang perlu dicerna. Bagaimanapun, isi kandungannya mudah difahami. Sesuai untuk pembaca yang baru berjinak-jinak dengan buku non-fiksyen kerana cara penyampaiannya tidak terlalu ilmiah.

Saya cadangkan, jika anda ingin mengetahui bagaimana cara penulisan dalam buku ini, boleh cuba baca artikel-artikel penulis di laman web thepatriots.

Sejarah mengajar kita banyak perkara dan kadang kala mampu menjawab persoalan kepada soalan hari ini.

Monday, January 18, 2021

Kongsi Cerita: Bagaikan Puteri, cinta pertama yang tidak disangka.

 


QOTD: Apakah tajuk buku yang menjadi cinta pertama anda? Bagaimana kisahnya?

Kata orang, cinta pertama susah dilupakan.

Selalu ada dalam hati...ops terjiwang pula.

Masihkan ingat, buku mana yang menjadi cinta pertama anda?

Cinta pertama saya adalah novel RAM bertajuk Bagaikan Puteri. (Buku pertama baca masa kanak-kanak memang dah tak ingat, itu cinta monyet😅.)

Novel ini saya nampak di rumah sewa, milik salah seorang housemate saya. Lalu saya pinjam untuk baca blurb dan melihat isi kandungannya. Anda tahu...saya tak terus jatuh cinta pada ketika itu.

Di pejabat, ada seorang kawan yang suka membaca. Ketika berbual-bual dengannya, dia turut mencadangkan lagi buku tersebut. Dia membaca banyak review positif tentang novel itu. Setelah terpengaruh, kami ke kedai buku untuk membelinya. Dia mengingatkan saya dengan pesanan "baca tau, best novel ni."

Di rumah kerana ketiadaan aktiviti lain yang menarik, nak menonton televisyen pun siaran tidak begitu baik (maklumlah, tinggal di rumah sewa takde astro😂), jadi saya duduk diam-diam dalam bilik dan mula baca novel ini.

Tanpa disangka, terjatuh cinta pula. Bukan setakat suka, tapi jadi tak keruan untuk memiliki novel sambungannya. Parah sungguh bila dah jatuh cinta😍.



Satu persoalan timbul dalam fikiran saya, bagaimana saya tidak tahu novel sebagus ini wujud di Malaysia (siapa suruh malas mencari kan). Novel RAM menjadi titik tolak untuk saya mencari novel-novel hasil karya tempatan yang lain.

Peristiwa ini terjadi lebih kurang 10 tahun yang lalu, pada masa ini, saya baru berjinak-jinak kembali dengan aktiviti membaca buku.

Satu kelebihan bercinta dengan buku, tidak ada istilah cemburu kerana buku tidak tahu yang ada orang sudah jatuh cinta padanya. Jadi setiap rasa cinta itu unik dan tersendiri.

Pengajaran yang saya dapat melalui pengalaman ini adalah, kita perlu berada di dalam kelompok yang betul. Ini dapat membantu kita menemui sesuatu yang baru.
Sebelum ini, saya tidak pernah menyertai atau berjumpa dengan mana-mana orang yang suka membaca. Saya juga kurang mengikuti perkembangan penerbitan buku-buku di Malaysia. Ketika itu, saya cuma mengetahui satu, dua penerbit buku yang gah. Sekali sekala saja mengunjungi kedai buku. Jadi maklumat tentang dunia buku amat sedikit.



Pada awal-awal dulu, saya cuma membaca novel-novel RAM dan Hlovate. Kemudian, secara perlahan-lahan, pilihan novel mula berkembang.

Saya mula betul-betul serius membaca mula pada tahun 2017. Buka akaun Goodreads supaya boleh simpan rekod buku yang dibaca serta mencari maklumat buku-buku lain yang menarik berdasarkan review pembaca lain.

Saya mula mengembangkan carian, mengetahui penerbit buku lain seperti Jemari Seni (dah takde lagi😩), Prolog Media, SO Publishing, Penerbit X, PTS, DBP (dulu tak tahu DBP terbitkan novel, saya ingat mereka terbitkan kamus saja😅), Jejak Tarbiah, The Patriots (mula dengan membaca artikel di laman web), Iman Publication dan banyak lagi.

Selain itu, Pesta Buku Antarabangsa merupakan antara acara tahunan yang saya tunggu-tunggu. Saya sanggup ambil cuti tahunan semata-mata ingin ke acara ini. Walaupun tidak mampu untuk membeli banyak buku, tapi dengan melihat dan membelek-belek buku yang dipamerkan juga menjadi satu kegembiraan kepada saya.

Setelah jatuh cinta kali pertama, saya terus lagi jatuh cinta berkali-kali dengan pelbagai jenis buku yang wujud dipasaran. Dunia buku pada saya amat menyeronokkan.

Kisah cinta pertama anda, bagaimana pula?


Resensi Novel: Rembulan Tenggelam Di Wajahmu.

 

Novel Rembulan Tenggelam Di Wajahmu



Tajuk: Rembulan Tenggelam Di Wajahmu
Penulis: Tere Liye
Tahun Terbit: 2009
Penerbit: Republika
Karya Tere Liye tidak pernah mengecewakan. Saya sekali lagi kagum dengan tema yang dibawa dalam novel Rembulan Tenggelam Di Wajahmu.
Manusia adalah hamba Allah S.W.T. yang diberikan akal, fikiran, emosi serta pelbagai nikmat di atas muka bumi ini. Tugas kita hanya satu, menjadi hamba-Nya yang sentiasa sujud, taat serta patuh pada perintah Allah & meninggalkan segala larangan-Nya. Namun sebagai manusia, kadang kala kita bertanya mengapa sesuatu itu terjadi. Kadang kala, emosi menguasai diri hingga terlupa yang Allah adalah sebaik-baik perancang. Setiap apa yang terjadi dalam kehidupan ini pasti ada penjelasannya. Novel ini menjawab lima persoalan besar dalam hidup seorang manusia. Jawapan pada persoalan itu dijelaskan dengan tersusun dalam setiap peristiwa yang dilalui oleh Ray@Rehan.
"Setiap kejadian pasti ada hikmahnya."

Rembulan Tenggelam Di Wajahmu
Ray seorang anak yatim yang melalui kesukaran hidup menyebabkan dia sering bertanya, adakah hidup ini adil? Mengapa dia perlu melalui semua kesusahan ini? Dan dia terus bertanya...mengapa dan mengapa? Apabila bahagia mula menjelma, Ray diuji lagi. Dia kehilangan kawan-kawan yang banyak menyokongnya kerana satu peristiwa. Ray mengambil keputusan untuk pergi kerana dia merasakan semua yang terjadi adalah salahnya. Tere Liye membawa kita berfikir tentang pertanyaan dan jawapan dengan melihat apa yang berlaku dalam hidup Ray. Penulis mengajak kita untuk memahami hikmah sebenar disebalik setiap ujian dan dugaan dalam hidup. Bersangka baik dengan Allah kerana hanya DIA yang mengetahui segalanya. Hidup ini, bukan kita saja yang diuji, bukan kita saja yang mengalami kesukaran dan bukan kita saja yang pernah gagal. Jika kita melihat seseorang berjaya hari ini, adakah kita merasakan yang orang itu tidak pernah gagal sebelumnya? Novel ini akan mengubah pandangan anda dalam melihat sesuatu peristiwa, membuat kita berfikir kembali dan muhasabah diri dalam setiap tindakan kita. Jadi, saya cadangkan baca buku ini dan alami pengalamannya.

Rembulan Tenggelam Di Wajahmu