Showing posts with label novel. Show all posts
Showing posts with label novel. Show all posts

Friday, September 10, 2021

Novel Empunya Kalbu

 


Tajuk: Empunya Kalbu

Penulis: Sri Rahayu Mohd Yusop

Tahun Terbit: 2016

Penerbit: Utusan Publications & Distributors


Sinopsis

"Di hari walimatul urus ayahandanya, Tun Manis diacukan keris di leher oleh Kunta, si panjat angkara. Lalu datang Gerhana sang empu muda elok rupa baik budi bahasa menyelamatkannya. Kisah Tun Manis dan Gerhana berjalin kait apabila tahi bintang melintas di langit kerajaan Pahang Lama. Setelah lebih seabad berlalu, kisahTun Manis dan Gerhana jatuh ke tangan Hisyam, perantis ilmu pembuatan keris yang dirundung dukalara dan tanda tanya. Adakah kisah yang selama ini berada dalam simpanan pustaka keluarga Sara Ramsay, pewaris industri pedang dari Scotland itu boleh membawa suluh pedoman terhadap kabut gelita dalam kalbu pemuda bakal empu ini?"


Ulasan

Sebuah lagi karya Puan Sri Rahayu yang memenangi tempat kedua hadiah sastera Kumpulan Utusan pada tahun 2016. Tema yang dibawa oleh karya ini adalah tentang warisan zaman berzaman masyarakat melayu iaitu keris.

"Keris ini bukan senjata semata-mata. Batang besi boleh jadi senjata, buluh runcing boleh jadi senjata. Keris ini adalah semangat orang melayu. Ia alat pelindung, alat mempertahankan diri, suatu perhiasan, harta dan warisan, dalam makna yang harfiah dan juga bersifat kiasan."
Empunya Kalbu mengisahkan Hisham yang amat meminati seni pembuatan keris. Bagaimanapun dia mengalami konflik dengan bapanya dalam usaha untuk meneruskan bengkel membuat keris yang diusahakan bapanya.
Hisham bertemu dengan Sara, seorang wanita dari Scotland. Sara amat berminat mengetahui tentang seni pembuatan keris. Sara datang dari Scotland ke Malaysia bersama dengan kumpulan produksinya untuk merakamkan dokumentari tentang seni warisan ini.
Pada awal pertemuan, Sara memberikan Hisham senaskah buku lama yang ditulis oleh Edward E.Frey tentang keris melayu. Buku ini menceritakan kisah Tun Manis dan Gerhana. Maka bermulalah dua kisah pada zaman yang berbeza.


Jalinan dua kisah ini digabungkan dengan baik dan membawa penjelasan tentang mengapa seni warisan keris itu penting kepada masyarakat melayu. Penulis juga menceritakan dengan detail tentang bahan dan cara keris dihasilkan. Contohnya, maksud lok keris, hulu dan sarung. Setiapnya mempunyai maksud yang tersendiri. Satu lagi yang menarik untuk dikongsikan ialah istilah 'panjat angkara' bermaksud adat merampas gadis menggunakan keris sebagai ancaman kepada sesiapa yang menghalangnya. Begitu banyak informasi tentang seni warisan keris dapat anda temui dalam novel ini. Proses pembuatan keris diceritakan dengan teliti daripada awal hingga ke pemilihan bentuk hulu keris. Seperti menonton sebuah rancangan dokumentari.
Bagaimana kesudahan kisah mereka? Semuanya terjawab dalam "Empunya Kalbu"

Monday, January 18, 2021

Resensi Novel: Rembulan Tenggelam Di Wajahmu.

 

Novel Rembulan Tenggelam Di Wajahmu



Tajuk: Rembulan Tenggelam Di Wajahmu
Penulis: Tere Liye
Tahun Terbit: 2009
Penerbit: Republika
Karya Tere Liye tidak pernah mengecewakan. Saya sekali lagi kagum dengan tema yang dibawa dalam novel Rembulan Tenggelam Di Wajahmu.
Manusia adalah hamba Allah S.W.T. yang diberikan akal, fikiran, emosi serta pelbagai nikmat di atas muka bumi ini. Tugas kita hanya satu, menjadi hamba-Nya yang sentiasa sujud, taat serta patuh pada perintah Allah & meninggalkan segala larangan-Nya. Namun sebagai manusia, kadang kala kita bertanya mengapa sesuatu itu terjadi. Kadang kala, emosi menguasai diri hingga terlupa yang Allah adalah sebaik-baik perancang. Setiap apa yang terjadi dalam kehidupan ini pasti ada penjelasannya. Novel ini menjawab lima persoalan besar dalam hidup seorang manusia. Jawapan pada persoalan itu dijelaskan dengan tersusun dalam setiap peristiwa yang dilalui oleh Ray@Rehan.
"Setiap kejadian pasti ada hikmahnya."

Rembulan Tenggelam Di Wajahmu
Ray seorang anak yatim yang melalui kesukaran hidup menyebabkan dia sering bertanya, adakah hidup ini adil? Mengapa dia perlu melalui semua kesusahan ini? Dan dia terus bertanya...mengapa dan mengapa? Apabila bahagia mula menjelma, Ray diuji lagi. Dia kehilangan kawan-kawan yang banyak menyokongnya kerana satu peristiwa. Ray mengambil keputusan untuk pergi kerana dia merasakan semua yang terjadi adalah salahnya. Tere Liye membawa kita berfikir tentang pertanyaan dan jawapan dengan melihat apa yang berlaku dalam hidup Ray. Penulis mengajak kita untuk memahami hikmah sebenar disebalik setiap ujian dan dugaan dalam hidup. Bersangka baik dengan Allah kerana hanya DIA yang mengetahui segalanya. Hidup ini, bukan kita saja yang diuji, bukan kita saja yang mengalami kesukaran dan bukan kita saja yang pernah gagal. Jika kita melihat seseorang berjaya hari ini, adakah kita merasakan yang orang itu tidak pernah gagal sebelumnya? Novel ini akan mengubah pandangan anda dalam melihat sesuatu peristiwa, membuat kita berfikir kembali dan muhasabah diri dalam setiap tindakan kita. Jadi, saya cadangkan baca buku ini dan alami pengalamannya.

Rembulan Tenggelam Di Wajahmu



Saturday, January 27, 2018

PARUT karya Zahida Zarkasi


Tajuk: Parut
Penulis: Zahida Zarkasi
Penerbit: Prolog Media


Sinopsis

Haifa - Sedar dari lena dan dia berada di tempat asing. Eh, kenapa dia ada di hospital. Seorang lelaki memanggilnya dengan nama Nanie. Pelik, keliru dan bercelaru. Itu perasaan dia ketika itu. Di mana ayah dan adiknya? Apa yang dikhabarkan doktor, dia dibawa ke hospital ini seorang diri. Apa yang terjadi sebenarnya?

Mikail - "Dia tak ingat siapa aku? Namanya Haifa bukan Nanie, dia tipu aku ke sebelum ni? Kenapa? Dia juga tak ingat kat mana kami bertemu?" 

Najmi - "Haifa, lama tak jumpa." Kedengaran sangat pelik di telinga Haifa. Lebih pelik lagi bila Najmi bertanya kenapa dia di Lumut?

Haifa akhirnya berjaya menjejaki keluarganya dengan bantuan Mikail, namun banyak perkara pelik menghantui fikiran Haifa. Setiap orang seperti menyembunyikan satu rahsia besar darinya.


Apa sebenarnya yang telah terjadi? Apa kisah yang telah Haifa lupakan? Kenapa Hasrul sangat marah dengannya. Haifa perlu mencari dan merungkai misteri ini. Cebisan ingatan perlu dia susun dan cantum satu persatu untuk melengkapkan misteri kisah yang hilang. 






Komen

Penulis telah menimbulkan persoalan dibabak awal lagi. Haifa yang keliru dengan situasi. Cerita ini bergerak dengan pelbagai persoalan, seperti gambaran kecelaruan minda dan perasaan Haifa. Siapa sebenarnya Haifa? Siapa Mikail? Bagaimana Haifa boleh ada di hospital? Semua ini sangat meresahkan dan jawapan untuknya perlu dicari.

Saya kagum dengan penulis yang mampu membuat pembaca terus teruja, seperti ada tali halus yang mengikat fokus semasa membaca novel ini. Gaya bahasa yang ringan dan tidak memeningkan kepala. Jadi saya seperti berlari laju ingin mencari penjelasan atas apa yang terjadi.

Kemunculan Tok Timah dan renungan tajamnya telah menggamit keinginan saya untuk terus menggali dan mencari jawapan kepada setiap persoalan yang timbul. Apa kaitan Tok Timah dengan Haifa? 
Setiap keluarga pasti ada cabaran hidup. Tidak semua kebahagiaan datang tanpa ujian dari Allah S.W.T. Kesabaran dalam mengharungi setiap dugaan itu penting dan kita sebagai hambanya perlu sentiasa berdoa dan berusaha semoga segala masalah dapat diselesaikan dengan baik.

Kisah ini juga mengajar kita, setiap yang berlaku ada sebab yang tersendiri. Kadang kala kita bingung mengapa ujian tersebut hadir, tapi percayalah pasti ada hikmah di setiap apa yang telah diatur dalam hidup kita.

Sekali bermula, pasti hanya kata TAMAT mampu menoktahkan perlarian kita. 


DOWNLOAD - Cara mudah untuk jana pendapatan!!

Sunday, December 25, 2016

Novel : Jaja & Din


Penulis: Noor Suraya
Tahun terbit: 2009
Penerbit: Jemari Seni Sdn Bhd

Sinopsis Buku

Ini cerita Jaja ingin meminang ustaz Sastera Arab lulusan Universiti al-Azhar sebagai suami. Tegarkah Jaja seorang media planner memilih hidup ala-ala 'zuhud' macam Din nanti?


Ringkasan dari bacaan saya:

Jaja seorang gadis moden yang ada kerjaya. Tinggal di bandar, di rumah yang serba serbi lengkap. Peminat koleksi buku tulisan Laura Ingalls Wilder. Seorang yang modem dan lincah, bagaimana dia boleh tersuka dengan lelaki yang begitu berbeza denganya.

Pertemuan pertama hanya di atas sekeping gambar, sudah cukup menggugat hati wanita Jaja. Cintakah itu? Mana nak cari orang dalam gambar tu, yang ada cuma sekeping gambar tanpa alamat.

Mungkin bila telah tertulis oleh Allah, itu jodoh untuknya. Jalan pertemuan mereka telah diatur Allah dengan cantik sekali. Jodoh itu telah membantu Jaja berubah menjadi seorang yang lebih baik dari sebelumnya. Hidayah Allah datang dalam pelbagai bentuk yang tidak pernah diduga.



Din pelajar lulusan Universiti Al-Azhar. Sekarang bertugas sebagai seorang cikgu di sekolah agama rakyat. Dia menyimpan cita - cita untuk berjihad di Afganistan. Pertemuaan dengan Jaja tidak pernah dirancang. 

Lamaran dari gadis itu juga sesuatu yang mengejutkan. Bagaimana seorang yang sangat berbeza latar belakang boleh jatuh hati kepadanya. Dapatkah dia menerima cara hidupnya yang zuhud? Nasihat dari Uncle Ammar diteliti. 

Din bawa Jaja naik bas lompat -lompat, tinggal di rumah papan yang bilik air diluar selepas 3 hari mereka berkahwin. Jaja mula rindukan kehidupannya yang selesa. 

Mampukah Jaja teruskan kehidupan yang zuhud bersama Din? Bagaimana penerimaan keluarga Din dengan kehadiran Jaja? Apa terjadi bila Din ingin pergi berjihad di Afganistan. Semua ini telah ditulis dan disusun dengan menarik dalam novel "Jaja & Din".








Saya tak nak reveal semuanya, nanti siapa - siapa yang belum baca hilang rasa ingin tahu bila baca novel ni nanti. Jadi, apa kata anda baca novel ni, memang tidak bosan dan seronok dibaca. Sambil itu diselitkan dengan pengajaran yang berguna terutama bila Din hendak mendidik Jaja menjadi muslimah sejati.

Selamat membaca!!