MY INSTAGRAM

        

Wednesday, June 20, 2018

Novel Thriller : Ungu Karmila


Tajuk: Ungu Karmila
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Genre: Misteri Thriller

Sinopsis

Arif dan Karmila merupakan pasangan suami isteri yang bahagia. Gelak tawa sentiasa menghiasi hidup mereka. Arif telah menghadiahkan sebuah vila indah sebagai tanda cintanya kepada Karmila. Namun, langit tidak selalu cerah, peristiwa ngeri telah memusnahkan kegembiraan mereka.

Sejak peristiwa itu, vila itu dibiarkan sepi dan tiada penghuni. Penduduk setempat percaya, vila itu berhantu dan ada roh jahat yang mengawalnya. Jikon, seorang pemuda orang asli telah memberanikan diri masuk dan akhirnya dia menjadi korban vila itu yang pertama. 

Kejadian itu telah menguatkan lagi misteri vila berhantu, tidak ada sesiapa yang berani menghampirinya. Ema, adik kepada Jikon berfikir sebaliknya. Dia tidak percaya akan kewujudan hantu, dan dia cuba merungkai misteri Vila Sunyi. 


Komen

Novel ini memaparkan kisah misteri tentang sebuah vila terletak di Cameron Highlands. VILA SUNYI itulah namanya. Sesunyi suasana di sekeliling, vila ini menyimpan seribu misteri yang belum mampu dirungkai oleh sesiapa pun.

Novel ini menceritakan kisah dan tanggapan masyarakat luar tentang apa yang pernah terjadi di vila tersebut. Aku suka tulisan tuan RAM kerana karyanya ditulis dari banyak sudut pandangan. Beliau tidak menulis kisah yang hanya fokus kepada satu konflik sahaja atau kisah sebuah keluarga. Karya ini adalah kisah sebuah masyarakat.

Terdapat juga ilmu yang dikongsikan seperti ilmu bioteknologi bila RAM menjelaskan tentang teknik kacukan bunga dan penjelasan tentang misteri bunga kacukan hutan tersebut. Watak Dr. Ismadi banyak memainkan peranan dalam menjelaskan ilmu bioteknologi ini.

Dalam nukilan ini ada kisah bekas banduan, ada kisah masyarakat orang asli, ada kisah budak jalanan dan ada kisah adik beradik Arif dan Arafat.

Kisah Arif dan Karmila menjadi titik tolak kepada peristiwa ngeri yang terjadi di Vila Sunyi. Misteri yang cuba dirungkai oleh Ema dan Arafat. Ema mencari jawapan kepada kematian abangnya Jikon. Manakala Arafat percaya yang adiknya Arif bukan pembunuh.

Misteri ini menemukan semula Dino dan Bado yang dahulunya budak jalanan yang bermusuhan. Konflik semakin parah dan Vila Sunyi seperti telah dibangkitkan.

Cuma aku rasa, konflik Dino dan Bado boleh dikembangkan lagi. Kisah lampau mereka sebagai budak jalanan agak sedikit dan sebab pada permusuhan mereka kurang dirasai. Kisah mereka berdua antara konflik penting yang menghidupkan lagi kisah dan misteri ungu karmila. Bila otak mereka mula diracun, dendam lalu mula menghantui mereka. Jadi konflik yang kuat penting untuk membangkitkan rasa dendam yang mendalam.

"Ia makan untuk hidup tetapi ia tak pernah minum." - Ungu Karmila


"Books are the mirrors of the soul." - Virginia Woolf

Tuesday, June 12, 2018

Novel Thriller: Legasi Tombiruo



Tajuk: Legasi Tombiruo
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Terbitan: Buku Prima
Tahun Terbit: 2017
ISBN: 978-967-446-392-2


SINOPSIS

EJIM atau nama barunya Amaruddin telah lama meninggalkan dunia TOMBIRUO setelah mendirikan rumah tangga bertahun-tahun lamanya. Kini dia hidup bahagia bersama isteri tersayang Siti Nurhaliz dan anak tunggalnya Suriani. Bagaimanapun kebahagian yang dikecapi tercalar tatkala Semangat Hutan muncul semula dalam jelmaan bapanya, Pondulou. Bahkan menerusi mata fikirannya, Amaruddin sering melihat pembunuhan kejam. Amaruddin pun memutuskan untuk memburu pembunuh itu yang bermaharajalela di ibu kota Kuala Lumpur.

Diana seorang peguam biasa dan Sarah seorang wartawan jenayah Sinar Harian telah bertemu Amaruddin menerusi satu kejadian tragis. Mereka bersepakat bergabung tenaga untuk membanteras penjenayah yang tampil dengan imej TOMBIRUO namun diubahsuai mengikut cara moden. TOMBIRUO hutan batu ini rupa-rupanya bukan calang-calang pembunuh. Manusia bertopengkan wajah dewa itu sangat handal sehingga berupaya mengalahkan ketiga-tiga mereka ini.


ULASAN

LEGASI TOMBIRUO membawa kepada kita pendedahan kisah yang tidak pernah diketahui sebelum ini. Kisah yang penuh dengan debaran dan tanda tanya yang tiada kesudahan. Apabila telah mula membaca naskah ini, tidak betah rasanya untuk berhenti. 

Pembunuhan ngeri yang terjadi di sekitar Kuala Lumpur menjadi konflik utama kepada jalan cerita. Misteri siapa yang melakukannya amat menjadi persoalan. Mirip Ejim tapi yang pasti Ejim tidak ada disana. Bagaimana dia boleh melakukannya?


Pembunuhan ini pula seperti satu siri membalas dendam kerana mangsa-mangsanya ada kaitan antara satu sama lain. Walau bagaimana mangsa cuba bersedia dan berjaga-jaga, masih tidak mampu melarikan diri dari dibunuh oleh pembunuh misteri ini.

Kemunculan Diana juga menimbulkan kekeliruan. Banyak sangat watak baru muncul, siapa sebenarnya mereka ini? Konflik yang diketengahkan kuat dan berjaya memegang tumpuan pembaca untuk mencari jawapan kepada konflik tersebut.

Watak Wan Suraya, Dr. Harlina muncul semula dalam misi pencarian siapa sebenarnya tombiruo hutan batu ini. Sejarah perlu difahami untuk mencari jawapan pada apa yang sedang terjadi.

Jalan cerita tidak meleret dan perkembangan kisah ini digarap dengan bijak. Sebagai pembaca, saya tidak dapat meneka dengan tepat apa yang akan terjadi. Plot twist yang menjadi dan mendebarkan. Sejarah yang tidak pernah diketahui oleh sesiapa akhirnya terbongkar. 

Watak Tony, Sarah, Diana, Linda dan Piantur sering membuatkan saya tertanya-tanya adakah salah seorang dari mereka yang menyamar sebagai Tombiruo hutan batu ini. Namun semakin kita selami semakin kita dapat mengenali watak-watak ini dan boleh menyingkirkan mereka dari senarai penjenayah yang dikehendaki.

Ejim @ Amar masih lagi hebat walaupun telah berusia. Dia masih lagi mampu untuk bertarung dengan orang jahat dan kelebihannya ketika di hutan Keningau dahulu masih berbisa. 

Novel ini merupakan kesinambungan daripada 3 novel terdahulu iaitu Tombiruo - Penunggu Rimba, Semangat Hutan dan Tombiruo Terakhir. 

Kepada peminat novel thriller di luar sana, ini merupakan satu novel yang tidak patut dilepaskan. Anda pasti berpuas hati dengan debaran, konflik dan aksi yang dihidangkan oleh Tuan RAM dalam novel ke-28 beliau.

"Reading is a conversation. All books talk, but a good book listens as well." - Mark Haddon

Sunday, June 10, 2018

Monthly Wrap Up for May 2018

MISSING PAGES

Ada 6 cerita pendek yang diolah dengan pelbagai rempah ratus oleh 6 penulis hebat. Aku rasa macam satu pinggan yang lengkap dengan segala rasa sedih, gembira, suspen, misteri dan kasih sayang.

Astra oleh Ayumi: Soalan untuk Ayumi, tak nak kembangkan ke cerita ni, tak puas baca kisah Adry dan Had. Cerita ni sempoi, tapi misteri dah kesedihannya terasa. 


Duniabaru oleh Ema: Kesudahan Two Soul dinoktahkan dalam kisah ini. Cuma aku rasa terlalu banyak watak baru muncul yang menyebabkan kisah pengembaraan Vesa & Noura dirasakan terlalu singkat untuk dinikmati. Mungkin kalau cerita ini dipanjangkan sikit, akan menjadikan kisah mereka lebih menarik.


Surat Cinta Untuk Lela oleh Jun: Nampak macam kisah cinta biasa tapi di sebalik kisah ini ada satu pengajaran yang penting. Kadangkala kita sebagai manusia selalu berharap kembali ke masa silam untuk mengubah sesuatu tanpa mengetahui yang telah terjadi itu adalah yang paling baik untuk kita. Baca kisah ini kena fokus, sebab Jun banyak bermain dengan masa. Kalau tak, memang korang tak faham apa jadi.


Anya Dahlia oleh Pasha: Sweet love story. Pasha pandai mengayakan kisah ini dan memikat hati pembaca. Perubahan masa lalu yang menjadikan masa depan lebih bahagia. 


Nota Yang Hilang oleh Anna Lee: Mula-mula baca aku ingat ada seorang hero misteri dalam kisah ini. Pelik juga macam mana dia boleh bagi arahan dalam buku nota tu. Masa heroin tu kahwin, wah aku ingat that the one la. Salah, anggapan yang salah sama sekali. Sesuatu yang tak disangka berlaku. 


Noah (Permulaan) oleh Farrah Izzlorna: Ok, aku tak suka Jasmin (si diva). Kenapa lah Noah suka dia. Geram aku. Tolonglah Farrah, buat Noah suka orang lain dalam novel penuh nanti. 


So memang tak rugi baca novel Missing Pages. Lagi satu, buku ini dicetak 2k saja. Kalau habis, habislah. Kalau belum beli, belilah ya.



BANJA MANGGALA

Expected unexpected. Ini nasihat aku setelah habis baca novel terbaru Tuan RAM. Bestlah cerita ni, walaupun aksi memang sangat minimal tapi cerita ini mempunyai kekuatannya sendiri. 

Kisah Amar membawa kita mengembara ke wilayah Balkan. Mengimbas kembali kisah duka sewaktu perang Bosnia dahulu dan kesan kepada mereka yang terlibat dalam konflik berdarah itu. 


Peperangan pasti meninggalkan kesan buruk, kehilangan nyawa, dendam yang tidak pernah padam. 


Amar, seorang mangsa yang terselamat dalam peristiwa perang itu. Datang ke Malaysia dan menjadi anak angkat kepada Dato' Husam. Selepas 23 tahun, dia sering didatangi mimpi pelik seekor serigala. Kadang kala bermimpi berada di suatu tempat yang dia sendiri tidak pasti dimana. 


Dia bertekad untuk mencari jawapan pada mimpi-mimpi tersebut. Dia perlu kembali ke tanah kelahirannya di Bosnia. 


Konflik yang disusun kemas, plot yang menarik dan tidak dijangka. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Pemangsa menanti waktu yang sesuai untuk menjelma. Itulah yang dapat saya gambarkan bila selesai membaca karya ini. 


Kisah ini terbahagi kepada beberapa konflik besar yang akhirnya disatukan dengan baik pada pengakhiran karya. Kisah Amar dan Sang Alpha, Rania dan program travelognya serta Lamija dan polis veteran Hasanovic.


Seperti tidak puas membaca kisah mereka dan terasa ingin sekali mengembara ke wilayah Balkan ini bagi melihat sendiri kesan-kesan peperangan dan keindahan alamnya.




SPLIT

Kisah yang lain dari yang lain. Garapan yang menarik dan mudah untuk difahami. Hero yang ada pelbagai perangai dan heroin yang determine.

Aku memang suka baca cerita yang heroinnya cekal, berdikari dan berusaha untuk menyelesaikan masalah sendiri. Begitulah Maryam, seorang yang sangat berdikari. Apa yang terjadi 7 tahun lalu mengubah dirinya. Apa yang penting, dia jadi lebih baik.


Mikael, seorang manusia yang rare dan jarang ditemui. Masa awal tu, Maryam macam pelik dengan perangai Mikael ini, kejap gentlemen habis, kejap marah, ganas dan tak kisah dengan dia. Sampai satu hari, baru Maryam tahu akan kebenarannya.


Maryam perlu berdepan dengan semua personaliti Mikael pada masa yang tak kena. Bila dia nak jumpa Hafez, sekali yang keluar Dhia. Aduiii, pening kepala macam ni. Buku ini seronok untuk dibaca dan memang sesuai buat semua lapisan umur. 


Cuma, aku rasa Mikael macam tak nak sembuh je dari penyakit dia. Tak ada pula diceritakan usaha yang dia lakukan untuk menjadi sihat. Lepas diorang kahwin dan ada anak pun, dia masih begitu. Anak-anak dia tahu dan kenal semua personaliti yang ada. Takkan lah budak ni tak takut dengan bapa diorang yang ada macam-macam gaya ni. Hehehe.


Satu saja aku nak pesan, jangan ambil mudah tentang mental illness. Kalau korang jumpa, make sure support them and advice them to see the doctor. 



KIEF

Karya ini ada jiwa dan empati. Kief seorang bapa yang sangat sayang kepada anaknya Emma. Pada masa yang sama, dia menyimpan sebuah rahsia yang perit. 

Arin, sudah 5 tahun tidak sedarkan diri. Kakaknya Intan akhirnya putus asa untuk terus menunggu. 


Jalan cerita memang agak lain dari kisah yang selalu kita baca. Kisah Kief dan Rais, dendam yang tiada hujungnya. Arin yang baru sedar dan cuba memulihkan semangat untuk terus hidup dan dendam Muaz.


Perkaitan kisah mereka digarap cantik oleh penulis. Cuma aku rasa, part dendam Muaz kurang detail sedikit, tapi masih difahami. 


Watak Yana sedikit sebanyak membantu kisah ini, tapi bila dia dibunuh dan tidak ada plot tentang kehilangan dia rasa macam kesian pulak, takde pembelaan. 


Ending Muaz pun macam kurang sikit la, sebab dia dah buat macam-macam, akhirnya itu saja balasan yang dia terima.  (aku tak cerita detail kat sini, nanti jadi spoiler).


CERITA BILIK GURU

4 orang guru berkongsi kisah dan pengalaman menjadi guru di sekolah masing-masing. 

Cikgu Fadli Salleh - seorang guru yang mengajar di sekolah rendah. Banyak kisah anak-anak muridnya dikongsi untuk membuka mata masyarakat sekeliling. Tidak semua murid itu beruntung, ada yang serba kekurangan dan memerlukan perhatian dari guru dan masyarakat untuk membantu.

Cikgu Shahidan Shuib - mengajar di sekolah menengah perlukan kesabaran yang tinggi. Remaja yang sedang meningkat naik memang mempunyai pelbagai perangai. Di sini kesabaran diuji, tanggungjawab sebagai guru harus dilakukan dengan baik dan sepenuh hati.

Cikgu Reyna Ibrahim - seorang guru pra-sekolah. Kelihatan mudah, mengajar ABC kepada mereka. Namun kita lupa, kanak-kanak ibarat kain putih dan gurulah orang yang akan mencorakkannya. Setiap anak kecil ini mempunyai kemahiran dan tahap penguasaan yang berbeza. Di sini kepekaan seorang guru amat memainkan peranan penting.

Cikgu Firdauz Abdullah - seorang pengetua sekolah. Kisah ini memberikan gambaran apa tugas seorang pengetua di sekolah. Bukan hanya mengurus dan mentadbir tapi juga memastikan kebajikan setiap orang yang berkhidmat di sekolah terjaga. Menjadi guru ganti sekiranya bilangan guru tidak mencukupi dan macam - macam lagi.


Okay, 5 buah buku berjaya ditamatkan untuk bulan Mei 2018. Kita berjumpa lagi dalam monthly wrap up untuk mengetahui performance saya pada bulan Jun pula.


"A book is a dream that you hold in your hand."


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...