Showing posts with label QOTD. Show all posts
Showing posts with label QOTD. Show all posts

Monday, January 18, 2021

Kongsi Cerita: Bagaikan Puteri, cinta pertama yang tidak disangka.

 


QOTD: Apakah tajuk buku yang menjadi cinta pertama anda? Bagaimana kisahnya?

Kata orang, cinta pertama susah dilupakan.

Selalu ada dalam hati...ops terjiwang pula.

Masihkan ingat, buku mana yang menjadi cinta pertama anda?

Cinta pertama saya adalah novel RAM bertajuk Bagaikan Puteri. (Buku pertama baca masa kanak-kanak memang dah tak ingat, itu cinta monyet😅.)

Novel ini saya nampak di rumah sewa, milik salah seorang housemate saya. Lalu saya pinjam untuk baca blurb dan melihat isi kandungannya. Anda tahu...saya tak terus jatuh cinta pada ketika itu.

Di pejabat, ada seorang kawan yang suka membaca. Ketika berbual-bual dengannya, dia turut mencadangkan lagi buku tersebut. Dia membaca banyak review positif tentang novel itu. Setelah terpengaruh, kami ke kedai buku untuk membelinya. Dia mengingatkan saya dengan pesanan "baca tau, best novel ni."

Di rumah kerana ketiadaan aktiviti lain yang menarik, nak menonton televisyen pun siaran tidak begitu baik (maklumlah, tinggal di rumah sewa takde astro😂), jadi saya duduk diam-diam dalam bilik dan mula baca novel ini.

Tanpa disangka, terjatuh cinta pula. Bukan setakat suka, tapi jadi tak keruan untuk memiliki novel sambungannya. Parah sungguh bila dah jatuh cinta😍.



Satu persoalan timbul dalam fikiran saya, bagaimana saya tidak tahu novel sebagus ini wujud di Malaysia (siapa suruh malas mencari kan). Novel RAM menjadi titik tolak untuk saya mencari novel-novel hasil karya tempatan yang lain.

Peristiwa ini terjadi lebih kurang 10 tahun yang lalu, pada masa ini, saya baru berjinak-jinak kembali dengan aktiviti membaca buku.

Satu kelebihan bercinta dengan buku, tidak ada istilah cemburu kerana buku tidak tahu yang ada orang sudah jatuh cinta padanya. Jadi setiap rasa cinta itu unik dan tersendiri.

Pengajaran yang saya dapat melalui pengalaman ini adalah, kita perlu berada di dalam kelompok yang betul. Ini dapat membantu kita menemui sesuatu yang baru.
Sebelum ini, saya tidak pernah menyertai atau berjumpa dengan mana-mana orang yang suka membaca. Saya juga kurang mengikuti perkembangan penerbitan buku-buku di Malaysia. Ketika itu, saya cuma mengetahui satu, dua penerbit buku yang gah. Sekali sekala saja mengunjungi kedai buku. Jadi maklumat tentang dunia buku amat sedikit.



Pada awal-awal dulu, saya cuma membaca novel-novel RAM dan Hlovate. Kemudian, secara perlahan-lahan, pilihan novel mula berkembang.

Saya mula betul-betul serius membaca mula pada tahun 2017. Buka akaun Goodreads supaya boleh simpan rekod buku yang dibaca serta mencari maklumat buku-buku lain yang menarik berdasarkan review pembaca lain.

Saya mula mengembangkan carian, mengetahui penerbit buku lain seperti Jemari Seni (dah takde lagi😩), Prolog Media, SO Publishing, Penerbit X, PTS, DBP (dulu tak tahu DBP terbitkan novel, saya ingat mereka terbitkan kamus saja😅), Jejak Tarbiah, The Patriots (mula dengan membaca artikel di laman web), Iman Publication dan banyak lagi.

Selain itu, Pesta Buku Antarabangsa merupakan antara acara tahunan yang saya tunggu-tunggu. Saya sanggup ambil cuti tahunan semata-mata ingin ke acara ini. Walaupun tidak mampu untuk membeli banyak buku, tapi dengan melihat dan membelek-belek buku yang dipamerkan juga menjadi satu kegembiraan kepada saya.

Setelah jatuh cinta kali pertama, saya terus lagi jatuh cinta berkali-kali dengan pelbagai jenis buku yang wujud dipasaran. Dunia buku pada saya amat menyeronokkan.

Kisah cinta pertama anda, bagaimana pula?