Wednesday, February 10, 2021

Resensi Novel: Mitologi - Sumpah Tun Ledang Shah

 


Tajuk: Mitologi - Sumpah Tun Ledang Shah
Penulis: Endie Shazlie
Penerbit: Roman Buku
Tahun Terbit: 2019


TERBAIK 👍

MITOLOGI sebuah novel fiksyen epik mengisahkan 4 orang ahli sejarah yang mengkaji dan menterjemahkan sebuah buku lama HIKAYAT PADUKA RAJA. Buku ini berjaya diambil semula dari Lisbon, Portugal hasil perbincangan Dr. Hariz dan pihak muzium di sana. Enam tahun lamanya menanti, akhirnya hikayat ini pulang semula ke Malaysia.

Satu penemuan menggemparkan berlaku di kaki Gunung Ledang dimana rangka manusia yang kelihatan hitam terbakar ditemui. Rangka itu dipercayai telah berusia ratusan tahun. Penemuan tersebut menarik minat Dr. Hariz dan kumpulannya. Mereka ingin menyiasat sekiranya rangka itu ada kaitan dengan hikayat yang sedang dikaji. Namun apabila sampai ke lokasi mereka dikejutkan dengan mayat-mayat bergelimpangan dalam keadaan ngeri.

Terdapat dua cerita yang berjalan serentak dalam novel ini. Kisah Dr. Hariz dan kumpulannya mengkaji dan menterjemah Hikayat Paduka Raja dan kisah Tun Ledang Shah. Penceritaan yang kemas dan tersusun sememangnya wajar dipuji. Dua kisah ini digarap dengan baik dan saling membantu  pembaca untuk faham apa yang berlaku dan perkaitan antara satu sama lain.
Kisah ini ada thriller, ada misteri dan ada mistik. Gabungan yang mantap menjadikan novel ini tidak bosan dibaca. Susunannya amat kemas, seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus dan tepung tidak berselerak.

Membaca novel ini seperti anda sedang memandu di sebuah lebuhraya. Adakalanya kereta anda didepan, adakalanya kereta lain memotong kereta anda dan adakalanya ada kereta lain yang sedang mengejar dari belakang.
Pada akhirnya pembaca akan tahu apa yang menyebabkan Tun Ledang Shah menderhaka. Apakah tindakannya itu betul? Mana satukah pilihan yang tepat? Anda akan menemui jawapannya dalam novel epik MITOLOGI.