Showing posts with label novel fantasi. Show all posts
Showing posts with label novel fantasi. Show all posts

Wednesday, February 10, 2021

Resensi Novel: Mitologi - Sumpah Tun Ledang Shah

 


Tajuk: Mitologi - Sumpah Tun Ledang Shah
Penulis: Endie Shazlie
Penerbit: Roman Buku
Tahun Terbit: 2019


TERBAIK 👍

MITOLOGI sebuah novel fiksyen epik mengisahkan 4 orang ahli sejarah yang mengkaji dan menterjemahkan sebuah buku lama HIKAYAT PADUKA RAJA. Buku ini berjaya diambil semula dari Lisbon, Portugal hasil perbincangan Dr. Hariz dan pihak muzium di sana. Enam tahun lamanya menanti, akhirnya hikayat ini pulang semula ke Malaysia.

Satu penemuan menggemparkan berlaku di kaki Gunung Ledang dimana rangka manusia yang kelihatan hitam terbakar ditemui. Rangka itu dipercayai telah berusia ratusan tahun. Penemuan tersebut menarik minat Dr. Hariz dan kumpulannya. Mereka ingin menyiasat sekiranya rangka itu ada kaitan dengan hikayat yang sedang dikaji. Namun apabila sampai ke lokasi mereka dikejutkan dengan mayat-mayat bergelimpangan dalam keadaan ngeri.

Terdapat dua cerita yang berjalan serentak dalam novel ini. Kisah Dr. Hariz dan kumpulannya mengkaji dan menterjemah Hikayat Paduka Raja dan kisah Tun Ledang Shah. Penceritaan yang kemas dan tersusun sememangnya wajar dipuji. Dua kisah ini digarap dengan baik dan saling membantu  pembaca untuk faham apa yang berlaku dan perkaitan antara satu sama lain.
Kisah ini ada thriller, ada misteri dan ada mistik. Gabungan yang mantap menjadikan novel ini tidak bosan dibaca. Susunannya amat kemas, seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus dan tepung tidak berselerak.

Membaca novel ini seperti anda sedang memandu di sebuah lebuhraya. Adakalanya kereta anda didepan, adakalanya kereta lain memotong kereta anda dan adakalanya ada kereta lain yang sedang mengejar dari belakang.
Pada akhirnya pembaca akan tahu apa yang menyebabkan Tun Ledang Shah menderhaka. Apakah tindakannya itu betul? Mana satukah pilihan yang tepat? Anda akan menemui jawapannya dalam novel epik MITOLOGI.

Friday, January 15, 2021

Resensi Novel: IMPERIA - KRONIKA NASHAN

 

Novel Imperia, Kronika Nashan


Tajuk: Imperia (novel ke-4 siri Kronika Nashan)
Penulis: Ahmad Patria Abdullah
Penerbit: Penerbit-X
Tahun Terbit: 2019

"Kata Ayah, bukan semua konspirasi adalah teori." Ayah adalah insan yang mengajarkan banyak perkara kepada Melyn. Kehilangan ibu sejak kecil menjadikan Melyn rapat dengan ayahnya. Walaupun seorang Aristokra kota, sentiasa sibuk dengan urusan pemerintahan, tapi dia tidak pernah mengabaikan Melyn. Sentiasa ada untuk Melyn, mengajarkannya sesuatu yang mungkin tidak menarik minat seorang remaja, tapi menjadikan pelajaran itu menarik. Itulah ayahanda Melyn, seorang Aristokra Kota Nashan.
Imperia, Kronika Nashan
Walaupun sudah lama dijemput ilahi, apa jua yang diajar sentiasa diingati dan diamalkan oleh Melyn bila mengambil alih tampuk pemerintahan Kota. Kini Melyn berdepan satu konspirasi dahsyat. Kemunculan Auren membawa khabar yang tidak baik. Kebangkitan Nomad. Nusa teras diambang peperangan. Aristokra dari kota-kota lain bergabung mewujudkan Perikatan untuk menghadapi serangan tentera Nomad. Nashan tidak terkecuali, turut menghantar pasukan bagi mempertahankan Kushan. Kisah ini walaupun sebuah fantasi, tetapi ada diselitkan ilmu berguna seperti hubungan antara kota serta teknik dan strategi peperangan. Saya sudah membaca buku ini beberapa kali dan emosi itu tidak pernah berubah. Masih dirasai setiap kali saya membacanya. Penulis meninggalkan banyak umpan bagi mengekalkan momentum pembaca. Buku setebal 627 muka surat tapi bila sampai helaian terakhir, percayalah saya masih tidak merasa cukup.


Imperia, Kronika Nashan
Banyak plot yang meninggalkan kesan, seperti kisah Denzir ketika remaja, dia memberitahu kebenaran tentang Moran dalam satu perlumbaan maraton. Kisah setia kawan Denzir dengan ahli pasukannya. Kisah Sener menyelamatkan Shilrung dengan menggunakan teknik diplomasi yang bijak. Kemelut antara Kota Dashan dan Kota Hafnakushan dapat diselesaikan dengan licik. Buku ini kisah tentang peperangan. Bukan saja perang senjata, tetapi perang perdagangan, perang perasaan dan perang kesetiaan. Semuanya dicampur dan digarap dengan indah sekali. Akhirnya tidak lupa, pastinya kepada Mori yang terus berdiri dan setia sebagai Lodra Perang Kota Nashan. "Dan dengan izin Tuhan, aku pasti bersamamu kelak, berdiri tinggi di hadapan seteru."

Imperia, Kronika Nashan