Friday, February 5, 2021

Resensi Novel: The Arrival

 


Tajuk: The Arrival
Penulis: Naim Tamjis
Penerbit: Patriot Publishing (Mahakarya)
Tahun Terbit: 2020

Gempar! Bila seorang lelaki membuat pengakuan yang dia adalah Imam Mahadi di Facebook Live. Kelam kabut pihak polis.

ASP Rahem ditugaskan untuk menyoal siasat Syeikh Mahadi berkaitan dengan pengakuannya itu. Selepas pengumunannya, Kuala Lumpur kecoh dan pengikut Syeikh Mahadi mula berkampung di Kg. Baru untuk bertemu pemimpin yang mereka agungkan itu.

Benarkah pengakuan Syeikh Mahadi itu? Mampukah ASP Rahem membongkar kebenaran?

Kisah ini seperti tajuknya The Arrival berjaya mencuri tumpuan saya sebagai pembaca. Penulis berjaya menimbulkan banyak persoalan dari bab pertama lagi. Plot disusun kemas, teratur dari satu bab ke bab yang lain. Ayat-ayat yang ringkas dan mudah difahami.

Bagi saya, novel ini merupakan sebuah kisah thriller yang pantas dan bersih. Bila saya mula membaca, watak utama atau target sudah saya ketahui. Target itu tidak lain adalah Syeikh Mahadi.

Bila seseorang kelihatan terlalu baik, terlalu sempurna maka pasti ada sesuatu yang tidak kena. Itulah yang menjadi tanda tanya kepada ASP Rahem.

Apa yang menjadi misteri dan tanda tanya adalah bagaimana Syeikh Mahadi ini mampu mengubati pelbagai jenis penyakit kronik. Apa yang lebih mengelirukan, dia berjaya menyembuhkan 100% pesakit.

Ini menyebabkan dia mempunyai ramai pengikut dan kumpulannya mempunyai ahli dari pelbagai latar belakang.
"Jadi cepat! Kemaskan dokumen Syeikh Mahadi dan bawa ke Bukit Aman sebelum bukit ini menjadi tidak aman!"

Siasatan pertama mereka tidak membuahkan hasil, tetapi sesuatu berlaku selepas itu. Jeng…jeng…jeng

Walaupun saya sudah tahu target dalam cerita, tetapi kisah ini masih mempunyai tarikan yang tersendiri. Saya sebagai pembaca mungkin boleh meneka, tapi jawapan sebenar hanya terjawab di penghujung cerita.

Penulis juga bijak menyelitkan sedikit elemen humor di tempat yang sesuai. Ini membantu mengurangkan stress saya sebagai pembaca. 😄