Monday, February 15, 2021

Resensi Novel: Ini Kisah Anna Floretta

 

ini kisah Anna Floretta

Tajuk: Ini Kisah Anna Floretta
Penulis: Sha Hanim Ramli
Tahun Terbit: 2020
Penerbit: HuCad Consultants

Anna Floretta, dia seorang gadis berdarah kacukan yang memiliki raut wajah mirip seorang puteri bangsawan. 

Wajahnya yang cantik sedikit sebanyak mengundang pelbagai ujian. Sering menjadi buruan lelaki-lelaki di luar sana.

Ketika berusia 5 tahun, Anna dibawa lari oleh ibunya ke Scotland. Ibu dan bapanya berpisah kerana satu salah faham. Peristiwa itu menyebabkan ibunya Eleanor Rose kembali ke agama asalnya dan membenci islam.

Anna bagaimanapun merasai kekosongan dan dia terus cuba mencari Tuhan. Mujur mak ciknya Daisy secara diam-diam mengajar Anna tentang Islam. 

Kepulangan Anna ke Malaysia mengubah corak kehidupannya. Setelah bertemu semula dengan Noah (ayah), Anna memulakan kehidupan baru sebagai seorang muslimah sejati. Perjuangan Anna baru saja bermula. Dia berhasrat untuk membetulkan kembali pandangan ibunya terhadap agama Islam.

Apa yang terjadi sebelum ini bukannya salah agama Islam sebaliknya kekurangan fahaman sebenar tentang apa diajarkan.

Buku ini diselitkan dengan pelbagai informasi. Seperti kulit bukunya yang berbunga, maklumat tentang pelbagai jenis bunga, kegunaan, maksud diselitkan dalam cerita ini.

Lebih-lebih lagi, Anna sendiri membuka kedai bunga, seperti tercium bau harumnya bunga.


Antara isi penting yang saya dapat daripada kisah ini: 

1. Isu dan tanggungjawab dalam hubungan kekeluargaan antara anak, ibu dan bapa.

2. Bagaimana seorang anak ingin berdakwah kepada ibunya. 

3. Bagaimana seorang muslim perlu sentiasa berdakwah kepada orang-orang sekeliling dengan hikmah.

4. Kekuatan wanita - ada banyak watak wanita dalam kisah ini, berdiri teguh dengan cara yang tersendiri seperti Anna, Lydia Sari, Delima dan Daisy.

Oh, Anna juga seorang yang suka membaca buku! Itu penting 😊.

Kisah ini penuh dengan teguran yang boleh kita jadikan sebagai pengajaran. Semoga kisah ini memberi manfaat kepada pembacanya.

Kisah ini tentang bunga, kisah ini tentang hati, kisah ini tentang kekuatan diri. 

Ini kisah Anna Floretta.