Wednesday, January 20, 2021

Resensi Buku: Malaya 1941

 




Tajuk: Malaya 1941

Penulis: Rafe Rahmat & Hairil Anuar

Tahun Terbit: 2020

Penerbit: Patriots Publishing


MALAYA 1941 - sebuah buku tentang kronologi  peristiwa penjajahan tentera Jepun ke Tanah Melayu.
Dasar perluasan kuasa dijalankan oleh Jepun pada tahun 1940 memberikan dua pilihan: 1) Hokushin-ron (Jalan ke Utara) 2) Nanshin-ron (Jalan ke Selatan)

Jepun memilih untuk ke Asia Tenggara dan Tanah Melayu merupakan salah satu sasaran mereka.
Buku ini mengandungi maklumat tentang Komander Tentera Jepun, Komander Tentera British, pertempuran-pertempuran yang terjadi di Kota Bharu, Jitra, Kampar, Slim River, Endau dan beberapa tempat lagi.
Turut diceritakan tentang strategi tentera Jepun, strategi pertahanan British dan faktor-faktor yang menyebabkan Tanah Melayu jatuh ke tangan Jepun. Sebuah buku yang menumpukan kepada peperangan, pasukan tentera, senjata dan strategi peperangan. Buku yang padat, namun isi kandungannya disusun dengan baik.
Antara yang menarik perhatian adalah bab tentang polisi pertahanan tentera British yang digelar 'Singapore Strategy'. Namun polisi ini tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana kekalahan Perancis. Jadi pihak British menghantar dua buah capital ship ke Singapura. Kapal Perang HMS Prince of Wales dan HMS Repulse berlayar untuk menentang Jepun. Nasib tidak menyebelahi kedua-dua kapal, apabila diserang oleh torpedo Jepun dan tenggelam. (Cerita yang ditulis dalam buku lebih detail dan panjang)
Membaca buku ini, kita dapat merasai betapa peritnya peperangan. Sesungguhnya keamanan yang kita kecapi hari ini patut dijaga dan dihargai dengan baik. Sejarah adalah satu peristiwa silam yang perlu kita ketahui, supaya apa sudah berlaku menjadi pengajaran dan pelajaran buat generasi kini.
Buku ini merupakan salah satu bahan bacaan yang bagus, sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat.