Thursday, January 14, 2021

Resensi Buku : Seni Berfikir Yang Hilang




SENI BERFIKIR YANG HILANG

Tajuk: Seni Berfikir Yang Hilang
Penulis: Hasrizal Abdul Jamil
Penerbit: Iman Publication
Tahun Terbit: 2020

Buku ini mengupas karya Dr. Sheikh Yusuf Al-Qaradawi bertajuk Thaqafah Al-Da'iyah tentang enam cabang ilmu yang perlu dipelajari oleh seorang pendakwah.
Enam cabang ilmu yang dibincangkan adalah seperti  berikut:
1) Ilmu Agama
2) Ilmu Sejarah
3) Ilmu Sastera dan Bahasa
4) Ilmu Kemanusiaan
5) Ilmu Sains
6) Ilmu Hal Ehwal Semasa

Seni Berfikir Yang Hilang memberi penjelasan tentang enam cabang ilmu yang perlu dipelajari. Setiap cabang ilmu itu dijelaskan sebab mengapa ia penting dan diberikan contoh untuk kita faham kegunaannya.
Susunan isi kandungan yang teratur, penggunaan gaya bahasa yang baik dan penjelasan beserta contoh menjadikan proses pembacaan serta pemahaman lancar. Enam ilmu ini dibincangkan satu per satu dan dijelaskan dengan situasi  bagaimana setiap ilmu ini diaplikasikan dalam kehidupan manusia.

Saya kongsikan satu contoh yang dihuraikan dalam buku ini secara ringkas.
Kisah Pak Haji dan Ah Chong, mereka berdua mengusahakan ladang jagung. Pak Haji adalah seorang muslim yang soleh, solat dijaga, khatam Al-Quran dan selalu ke masjid. Pak Haji memilih lokasi yang barakah, ladangnya dekat dengan masjid dan menghadap kiblat. Ah Chong pula, dia tidak ada agama, jadi dia buat saja ladangnya ikut suka hati. Pak Haji menanam jagungnya tanpa mengikut panduan yang betul, tapi Ah Chong mengikut proses menanam jagung yang amat terperinci. Jadi bila musim jagung, anda rasa kebun siapa yang subur dan mengeluarkan hasil yang banyak? Mengapa?
Jawapan kepada persoalan ini akan menjelaskan bagaimana setiap ilmu saling berhubung. Ya berfikir juga perlukan seni dan ilmu yang betul, baru keputusan atau hasilnya akan menyelesaikan masalah.
Seni Berfikir Yang Hilang sebuah buku yang patut anda baca dan fahami isi yang dibincangkan. Kemudian kita akan nampak maksud seni berfikir yang hilang.

Buku ini boleh didapati melalui IG: bookworm_bookstore