Tajuk: Travelog Pencinta Buku
Penulis: Shaharom T.M. Sulaiman, Mohammad Fazli Baharuddin
Penerbit: IM Books.Everything
Tahun Terbit: 2020
Buku ini bukan sebuah travelog biasa-biasa. Pembaca dibawa mengembara ke satu alam yang mungkin tidak pernah dibayangkan.
Terdapat 6 bahagian utama, jadi pengalaman ketika membaca tersusun. Penulis membawa kita menyelami apa itu dunia seorang pencinta buku, barisan penulis yang meninggalkan pengaruh dalam dunia buku, senarai buku-buku yang unik serta karya agung.
Bahagian pertama pastinya sangat menarik bila kita dibawa ke sebuah kafe buku di Bandung. Apa yang dikesalkan, mengapa saya tidak mengetahui kewujudan cafe ini ketika mengunjungi Bandung beberapa tahun yang lalu. Kemudian, kita dibawa mengembara ke sebuah book cafe di Beijing China, info yang dikongsikan oleh penulis cukup menarik.
Ragam Si Pencinta Buku
Bila membaca buku ini, baru saya mengetahui setiap pembaca ada ragam unik yang tersendiri. Lain padang, lain belalang. Lain orang, lain ragamnya. Beberapa ragam menarik turut dikongsikan dalam buku ini.
Antaranya, Napolean Bonaparte, sering membawa buku ke mana saja. Sun Ching, mengikat rambutnya pada tiang di atas kepala supaya sentiasa tegak. Liu Hsun, memasang obor jerami kecil bagi memastikan dia terus berjaga untuk membaca. Jika tidak pasti obor jerami itu membakar kepalanya. Thomas Hearne, seorang sasterawan pula membaca sambil berjalan.
Penulis menyatakan, membaca itu merupakan satu kesanggupan. Tanpa kesanggupan, pasti kita tidak akan membaca kan. Tahniah kepada kita semua, kerana sanggup membaca. Sesungguhnya dengan membaca, kita memperolehi banyak ilmu baru.
Turut dikongsikan dalam buku ini adalah tentang penulis-penulis dan buku-buku yang menarik dan masih relevant hingga kini. Antaranya, pasti buku-buku dari penulis tersohor HAMKA. Tidak ketinggalan buku siri popular karya J.K. Rowling Harry Potter.
Kita juga dapat mengetahui kisah disebalik penghasilan karya-karya hebat ini seperti karya Charles Dickens, Enid Blyton, Selma Lagerlof dan beberapa penulis lain lagi. Buku ini menceritakan apakah kisah dan inspirasi di sebalik setiap karya daripada penulis-penulis terkenal ini.
Tidak lupa buku novel sejarah yang dihasilkan oleh Dr. Talib Samat bertajuk Tengku Menteri. Buku ini mengisahkan perjuangan Tengku Menteri Ngah Ibrahim di Perak. Buku ini mengambil masa yang lama untuk disiapkan kerana kekurangan maklumat. Jadi penyelidikan perlu dilakukan bagi mendapatkan maklumat yang tepat.
Ada juga kisah penulis buku yang mendapat inspirasi menulis sebuah novel tentang bola sepak kerana minatnya dan impiannya untuk melihat pasukan kesayangan menang dalam Piala Dunia. Dia cuba menjadikan impiannya satu kenyataan dengan menulis novel.
Pada pendapat saya, sebuah buku yang amat menarik. Ada macam-macam kisah dikongsikan. Buka ini boleh saya katakan menceritakan tentang beberapa sudut seorang pencinta buku. Jadi, jika anda berkesempatan, bacalah buku ini untuk mengalami sendiri pengalamannya.