Wednesday, September 1, 2021

Resensi Buku: Putera Kecil

 



Tajuk: Putera Kecil

Penterjemah: Azzah Abdul Rahman

Penerbit: Biblio Press


Terjemahan dari karya The Little Prince, karya asal bertajuk Le Petit Prince yang ditulis oleh Antoine de Saint-Exupery. Sebuah karya yang sudah diterjemah ke lebih 300 bahasa. Sebuah karya klasik berbahasa Perancis yang masih terus diminati di seluruh dunia.

Mengisahkan pengembaraan Putera Kecil ke beberapa planet sebelum tiba di bumi bertemu dengan seorang juruterbang yang terkandas di sebuah gurun. Si juruterbang itu sedang cuba membaiki pesawatnya, manakala Putera Kecil muncul dengan pelbagai persoalan.

Banyak kisah dalam buku ini yang bila difikirkan kembali sememangnya terjadi kepada orang dewasa. Kata Putera Kecil, orang dewasa sukakan nombor. Apakah maksud disebaliknya? Semuanya diceritakan dengan mudah dan santai melalui pengalaman pengembaraan si Putera Kecil ini.

Ketika awal pertemuan, Putera Kecil meminta si juruterbang melukiskan seekor biri-biri, tanpa berfikir panjang terus saja dilukiskan biri-biri tersebut. Namun, bukan itu yang ada dalam imaginasi Putera Kecil tersebut. Berkali-kali dilukis hingga akhirnya baru berjaya diterima oleh Putera Kecil.

Begitu juga dengan kisah seorang raja, hanya ingin kuasa dan perintahnya dituruti. Walaupun hakikatnya, tidak ada rakyat untuk diperintah. Si raja mengharapkan Putera Kecil untuk terus tinggal di planetnya dengan cuba membuat tawaran yang dirasakan menarik. Malangnya, itu bukan apa yang Putera Kecil inginkan.


Kisah si penyala lampu, bagaimana seorang itu boleh taat melakukan kerjanya dan pada masa yang sama ada rasa malas.  Satu gabungan yang pelik tetapi terjadi. Adakah taat melakukan kerja itu hanya kerana rasa tanggungjawab?

Kisah yang diceritakan penuh dengan simbolik dan maksud tersirat tentang cara berfikir setiap manusia. Mungkin apa yang saya faham akan berlainan dengan apa yang anda fahami nanti. Mungkin orang dewasa hanya berfikir secara logik atau objektif. Ataupun orang dewasa selalunya malas nak melayan pertanyaan kanak-kanak yang kadang kala kelihatan seperti tidak masuk akal. Begitulah kisah Putera Kecil, melihat setiap perkara dari perspektif yang berbeza. Setiap soalan yang ditanya oleh Putera Kecil dan jawapan yang diperolehi dari orang dewasa menunjukkan perbezaan cara setiap orang melihat sesuatu perkara.


Sebuah buku yang membawa banyak pengertiaan. Jika berkesempatan, anda boleh baca buku ini.

Sunday, August 29, 2021

Travelog: Salam Kembara Pakistan

 



Tajuk: Salam Kembara Pakistan
Penulis: Siti Noridah Ab. Rahaman
Tahun Terbit: 2018

Membaca buku tentang pengalaman pengembaraan sering mengujakan saya. Travelog ini salah satu yang memberikan perasaan itu. Pakistan mungkin satu negara yang sebelum ini tidak pernah terlintas di fikiran untuk dilawati. Tapi selepas membaca buku ini, saya asyik terbayangkan keindahan yang diceritakan penulis. Pakistan mempunyai keindahan alam yang menakjubkan.Bentuk muka buminya yang dikelilingi gunung-ganang, lembah, sungai serta tasik yang jernih. Namun, untuk melihat keindahan ini, kita perlu bertahan melalui perjalanan yang panjang. Jarak antara satu lokasi ke lokasi yang lain amat jauh. Bagaimanapun, perjalanan yang panjang itu hampir tidak dirasai kerana mata akan dijamu dengan pemandangan yang indah. Jadi kepenatan itu terubat bila melihat suasana alam sekeliling yang pasti mendamaikan. Antara tempat menarik yang dikunjungi oleh penulis seperti Lembah Ghizer, Tasik Borith, Fairy Meadow, Chitral dan beberapa tempat menarik lagi. Pengalaman penulis menuju ke Fairy Meadow antara yang paling sukar pada pandangan saya. Bermula dengan perjalanan selama 2 jam menaiki kereta, kemudian menaiki pacuan empat roda sejam setengah dan akhir sekali mendaki lebih kurang tiga jam untuk sampai ke  Fairy Meadow. Perlukan daya tahan mental dan fizikal yang kuat untuk melalui perjalanan ini. Setelah melalui liku-liku itu, semuanya terbalas dengan keindahan syurga dunia yang tiada tandingannya. Begitulah indahnya ciptaan Allah SWT. Selain itu, penulis juga turut menceritakan bahawa setiap pengembara di Pakistan perlu mendaftarkan diri di setiap check point tertentu. Contohnya ketika penulis dalam perjalanan dari Gilgit ke Mastuj melalui Shandur Pass. Bas yang penulis naiki akan berhenti di khemah polis dan penulis akan turun untuk menulis butiran diri dalam buku log yang disediakan. Mengembara memberikan banyak pengalaman yang tidak dapat dibeli. Membaca buku ini, selain dapat merasai pengalaman penulis, dapat juga sedikit sebanyak mengenali negara Pakistan dan penduduknya.

Penulis turut berkongsi gambar-gambar menarik yang diambil sepanjang kembara beliau di bumi Pakistan. Gambar-gambar ini dicetak berwarna, jadi kita turut dapat menghayati keindahan yang diceritakan oleh penulis. Mungkin satu hari nanti, bila keadaan dunia makin pulih, kita bisa mengembara kembali.

Sunday, July 25, 2021

Resensi Novel: Hujan

 


Tajuk: Hujan

Penulis: Tere Liye


Novel ini tidak seperti yang saya bayangkan.

Mungkin kerana tajuknya HUJAN, saya ingatkan novel ini sebuah kisah sentimental, penuh dengan kesayuan seperti hujan yang turun.

Namun, sangkaan itu meleset sama sekali. Novel ini menceritakan tentang kehidupan penuh cabaran bagi gadis kecil bernama Lail.
Letusan berapi dari sebuah gunung purba menyebabkan Lail kehilangan kedua ibu dan bapanya dalam sekelip mata. Letusan yang  kuat dan dahsyat itu melumpuhkan banyak kota-kota besar. Debu kesan letusan itu menutupi angkasa.
Esok menyelamatkan Lail dari lubang darurat ketika gempa dan mereka tinggal bersama di kem bencana. Setelah letusan dan gempa reda, mereka berdua meredah kekalutan itu menuju ke rumah Esok. Harapan mereka cuma satu, semoga ada keajaiban untuk ibu Esok.
Lail dan Maryam dua orang yang bertemu di rumah anak yatim lalu menjadi sahabat baik. Maryam adalah teman yang lucu, suka mengusik dan selalu bikin ribut dalam bas. Akhirnya mereka sering dihalau turun dan terpaksa berjalan kaki.
Di sini segalanya bermula, kisah persahabatan yang disulami cinta, kasih sayang, perpisahan serta hujan. "Lail, kamu tahu kenapa kita mengenang banyak hal saat hujan turun?"
"Karena kenangan sama seperti hujan. Ketika dia datang, kita tidak bisa menghentikannya. Bagaimana kita akan menghentikan tetes air yang turun dari langit? Hanya bisa ditunggu, hingga selesai dengan sendirinya," - Maryam
"Kamu menerima seluruh kesedihan, membalas suratan takdir kejam, bahkan dengan menyelamatkan ribuan penduduk. Tidak sekali pun kamu protes. Tidak sekali pun kamu marah."
"Saat kamu berlari melintasi hujan badai, itulah pembalasan terbaik atas takdir yang sangat kejam. Kisah itu menjadi inspirasi di mana-mana. Kamu kokoh sekali." - Elijah