Wednesday, February 3, 2021

Wordless Wednesday: Quotes from Book

 























Saturday, January 30, 2021

Apa menariknya membaca buku? 5 perkara ini perlu anda ketahui.

 


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua.

Hari ini, saya ingin berkongsi dengan anda perkara menarik tentang membaca buku. Mengapa saya boleh menjadi seseorang yang minat membaca. Semua ini tidak terjadi sekelip mata. Perlukan masa untuk kita memupuk sambil meneroka dunia buku yang penuh dengan misteri.


1. Membina Keyakinan Diri

Salah satu perkara yang menarik dalam menjadi seorang pembaca buku adalah aktiviti ini boleh membina keyakinan diri dalam diri anda. Mengapa? 

Membaca mampu menjelaskan banyak perkara sama ada sesuatu yang pernah anda lalui atau orang lain. Pembacaan membawa anda ke suatu jawapan yang mungkin anda tidak pernah bayangkan. Terdapat banyak buku yang terbit dan setiap buku itu memberi impak yang berbeza kepada setiap pembacanya. Jika kita membaca buku mengenai pengalaman orang lain, secara tidak langsung pengalaman itu akan memberikan keyakian kepada diri kita. 


Contohnya, travelog Ini Sekolah Kita dan Lelaki Terakhir Menangis Di Bumi. Membaca buku ini, anda akan melihat kesusahan yang anak-anak kecil ini alami. Namun mereka masih berdiri dan terus berusaha untuk mendapatkan ilmu. Begitu juga sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa Malaysia. Mereka terus memandang ke hadapan, mencari jalan untuk setiap kesulitan yang dilalui.

Percaya atau tidak, membaca pengalaman orang lain akan membantu diri kita membina keyakinan diri. Kita menghadapi sesuatu masalah, dan tidak yakin dengan diri mampu mengatasinya. Bila kita membaca pengalaman orang lain yang lebih sukar dan semangat yang ditunjukkan, secara tidak langsung ini dapat meningkatkan keyakinan diri bahawa setiap masalah pasti ada penyelesaiaannya.


2. Belajar Menghargai  Sesuatu Perkara

Semakin banyak bahan bacaan yang dibaca, semakin banyak pengalaman akan dikumpulkan. Membaca sama ada buku fiksyen atau non-fiksyen akan menyedarkan kita supaya menghargai setiap yang wujud dalam kehidupan kita hari ini. Mengapa? Ini kerana, setiap yang wujud hari ini mempunyai sebab tersendiri dan perlu kita hargai sebelum kehilangannya. 

Buku non-fiksyen seperti Malaya 1941 mengisahkan tentang peristiwa penjajah Jepun ke Tanah Melayu. Buku ini fokus kepada sejarah perang dan peralatan serta senjata yang digunakan ketika peperangan Jepun dengan British. Namun membaca buku ini sedikit sebanyak akan membuat kita menghargai kemerdekaan yang dikecapi selama ini. 

Manakala buku fiskyen Rembulan Tenggelam Di Wajahmu akan membuat kita berfikir tentang kehidupan yang selama ini telah dilalui. Seperti dalam novel ini, setiap yang terjadi itu pasti ada sebab yang kuat dan hanya Allah sahaja yang tahu hikmah disebalik kejadian. Setiap peristiwa yang terjadi, walaupun kelihatan pahit dimata kita, tetapi tetap ada hikmah yang tersembunyi.



3. Membantu Memahami Persekitaran

Membaca membuka minda kita kepada dunia yang lebih luas. Jika dilihat, setiap orang hari ini melalui kehidupan yang sibuk. Setiap orang fokus dengan apa yang mereka perlu lakukan. Jadi bagaimana untuk kita memahami situasi atau keadaan orang lain? Jawapannya boleh diperolehi melalui pembacaan.

Sebagai contoh, anda bukan seorang peguam. Apa yang anda tahu, peguam pasti gajinya mahal. Apa yang anda nampak, kerja seorang peguam adalah turun naik mahkamah. Tapi benarkah setakat itu sahaja? Jadi untuk kita memahami dengan lebih lanjut persekitaran seorang peguam, kita mungkin tidak akan dapat jika tidak berkawan atau berada dalam kelompoknya. Bagaimana untuk kita mendapat jawapan? Kita baca buku yang berkaitan dengan peguam seperti buku Peguam Kriminal

Membaca adalah salah satu saluran yang mudah untuk memahami sesuatu persekitaran. Ada pelbagai jenis buku yang diterbitkan untuk dipilih. Ada buku untuk memahami hubungan antarabangsa, buku tentang tokoh dan buku tentang sesuatu budaya. Contohnya buku Seteguh Gunung Fuji Berdiri, bercerita sedikit sebanyak tentang budaya dan adat masyarakat Jepun.

Banyak lagi buku-buku lain, kita hanya perlu mencarinya dan membaca isi kandungannya.


4. Buku sebagai sumber motivasi diri.

Bila kita bercakap tentang motivasi, mungkin ramai yang akan merujuk kepada ceramah atau buku-buku motivasi. Ya, dua sumber ini tidak dapat dipertikaikan lagi sumbangannya sebagai sumber motivasi.

Tahukah anda, buku-buku yang tidak dikategorikan sebagai buku motivasi juga mampu menjadi sumber motivasi diri. 


Saya membaca dan menemui beberapa buah buku yang turut menjadi sumber motivasi diri. Contohnya travelog Aku, Buku & Kota Kaherah. Buku ini memberi saya motivasi untuk terus mencari dan membaca banyak lagi buku. Penulis buku ini berkongsi bagaimana minatnya terhadap buku-buku langka dan berusaha untuk memilikinya.

Buku Levitasi Srikandi Kasih mengisahkan perjalanan seorang wanita dan perjuangannya. Kisah ini pasti memberi inspirasi dan motivasi kepada pembacanya. Dua buku ini hanyalah contoh, saya pasti masih banyak buku diluar sana yang akan anda temui. Ketika waktu yang sukar ini, dengan keadaan ekonomi tidak menentu, PKP dan isu-isu lain yang membelenggu kehidupan kita, saya pasti kita memerlukan motivasi untuk terus kekal kuat menghadapi cabaran. 


5. Membaca sumber maklumat tanpa henti

Buku sebagai sumber maklumat tidak dapat dinafikan lagi. Maklumat yang ditulis dalam buku akan terus kekal selagi buku itu dijaga dengan baik. Kadang kala, melalui pembacaan kita mendapat maklumat yang tidak disangka. 

Contohnya, saya membaca buku Hamka 4 Bulan Di Amerika sebuah travelog yang terbit lama dahulu. Ketika membaca buku ini, saya menemui ayat ini "Kota Washington terletak di dalam Daerah Columbia. Sebab itu senantiasa ditulis Washington D.C". Jadi secara tidak langsung, saya mendapat jawapan kepada maksud D.C itu. Ini adalah salah satu contoh mudah maklumat yang didapati secara tidak langsung melalui pembacaan. 

Satu lagi contoh, buku Seni Berfikir Yang Hilang. Buku ini mengupas karya agung Dr. Sheikh Yusuf Al-Qaradawi bertajuk Thaqafah Al-Da'iyah. Mungkin tidak semua orang mampu membaca dan memahami Thaqafah Al-Da'iyah, tetapi dengan membaca buku SBYH, kita sedikit sebanyak dapat mengetahui isi kandungan yang dibincangkan dalam buku tersebut.



Inilah perkara-perkara menarik yang terjadi bila saya membaca. Apabila saya mula menemui keseronokan dalam aktivit membaca ini,  saya tidak lagi mahu meninggalkannya. Semakin diterokai, semakin banyak perkara menarik saya temui. 

Jemput meneroka dunia membaca, anda pasti sukakannya!









Friday, January 29, 2021

Resensi Buku: Travelog Pencinta Buku

 


Tajuk: Travelog Pencinta Buku

Penulis: Shaharom T.M. Sulaiman, Mohammad Fazli Baharuddin

Penerbit: IM Books.Everything

Tahun Terbit: 2020


Buku ini bukan sebuah travelog biasa-biasa. Pembaca dibawa mengembara ke satu alam yang mungkin tidak pernah dibayangkan.

Terdapat 6 bahagian utama, jadi pengalaman ketika membaca tersusun. Penulis membawa kita menyelami apa itu dunia seorang pencinta buku, barisan penulis yang meninggalkan pengaruh dalam dunia buku, senarai buku-buku yang unik serta karya agung.
Bahagian pertama pastinya sangat menarik bila kita dibawa ke sebuah kafe buku di Bandung. Apa yang  dikesalkan, mengapa saya tidak mengetahui kewujudan cafe ini ketika mengunjungi Bandung beberapa tahun yang lalu. Kemudian, kita dibawa mengembara ke sebuah book cafe di Beijing China, info yang dikongsikan oleh penulis cukup menarik.




Ragam Si Pencinta Buku

Bila membaca buku ini, baru saya mengetahui setiap pembaca ada ragam unik yang tersendiri. Lain padang, lain belalang. Lain orang, lain ragamnya. Beberapa ragam menarik turut dikongsikan dalam buku ini.

Antaranya, Napolean Bonaparte, sering membawa buku ke mana saja. Sun Ching, mengikat rambutnya pada tiang di atas kepala supaya sentiasa tegak. Liu Hsun, memasang obor jerami kecil bagi memastikan dia terus berjaga untuk membaca. Jika tidak pasti obor jerami itu membakar kepalanya. Thomas Hearne, seorang sasterawan pula membaca sambil berjalan.
Penulis menyatakan, membaca itu merupakan satu kesanggupan. Tanpa kesanggupan, pasti kita tidak akan membaca kan. Tahniah kepada kita semua, kerana sanggup membaca. Sesungguhnya dengan membaca, kita memperolehi banyak ilmu baru.
Turut dikongsikan dalam buku ini adalah tentang penulis-penulis dan buku-buku yang menarik dan masih relevant hingga kini. Antaranya, pasti buku-buku dari penulis tersohor HAMKA. Tidak ketinggalan buku siri popular karya J.K. Rowling Harry Potter.
Kita juga dapat mengetahui kisah disebalik penghasilan karya-karya hebat ini seperti karya Charles Dickens, Enid Blyton, Selma Lagerlof dan beberapa penulis lain lagi. Buku ini menceritakan apakah kisah dan inspirasi di sebalik setiap karya daripada penulis-penulis terkenal ini.

Novel Tengku Menteri (sumber GoodReads)

Tidak lupa buku novel sejarah yang dihasilkan oleh Dr. Talib Samat bertajuk Tengku Menteri. Buku ini mengisahkan perjuangan  Tengku Menteri Ngah Ibrahim di Perak. Buku ini mengambil masa yang lama untuk disiapkan kerana kekurangan maklumat. Jadi penyelidikan perlu dilakukan bagi mendapatkan maklumat yang tepat.

Ada juga kisah penulis buku yang mendapat inspirasi menulis sebuah novel tentang bola sepak kerana minatnya dan impiannya untuk melihat pasukan kesayangan menang dalam Piala Dunia. Dia cuba menjadikan impiannya satu kenyataan dengan menulis novel.

Pada pendapat saya, sebuah buku yang amat menarik. Ada macam-macam kisah dikongsikan. Buka ini boleh saya katakan menceritakan tentang beberapa sudut seorang pencinta buku. Jadi, jika anda berkesempatan, bacalah buku ini untuk mengalami sendiri pengalamannya.