Thursday, June 7, 2018

Resensi Buku: Levitasi Srikandi Kasih



Tajuk: Levitasi Srikandi Kasih
Penulis: Harside Jasmin
Tahun Terbit: 2018
Penerbit: NAQ Publication
Kisah hati yang kosong, mencari apa pengertian rasa kosong itu. Pencarian ini membawa Darwisyah ke Jordan. Di sana dia mencari dan cuba memahami, kekosongan hati. Sebenarnya, perjalanan itu lebih kepada memberi kesedaran kepada dia, apa yang ada telah dimiliki dan apa yang perlu disyukuri.

Kadangkala, kita sebagai manusia biasa selalu tidak nampak apa yang telah ada di hadapan kita. Bila sampai di Jordan, banyak peristiwa yang telah membuka mata Darwisyah. Pertemuannya dengan Sayyid Abdul, kecekalan hati pak cik ini membuka mata hati kita. Ada insan lain yang kurang senang tapi masih mampu terus berusaha untuk hidup.

Peluang menjadi guru di Pondok Baraqah juga sesuatu peristiwa yang memberi kesan besar dalam hidup. Kedaifan pondok itu tidak menjadi penghalang untuk kanak-kanak di situ untuk terus mencari ilmu. Mereka tidak nampak kekurangan, hanya kegembiraan kerana berpeluang menimba ilmu di pondok tersebut.

Pemergian sahabat baiknya Qaisy adalah dugaan terhebat bagi Darwisay. Menjadi saksi seorang sahabat terbunuh saat mempertahankan hak dan agamanya sangat memberi kesan yang mendalam. Hidup ini singkat dan jangan kita sesekali mempersiakan peluang yang ada.

Buku ini walaupun nipis, tapi banyak pengajaran yang dapat kita ambil dari kisah Darwisyah. Kita hanya akan mula menghargai disaat kita hampir kehilangannya. Darwisyah mengerti kekosongan yang dicari bila dia mula melihat apa kelebihan yang dia ada.

Bab yang paling menarik dan meninggalkan kesan ialah Juang Levitasi. Ketika Darwisyah dan Qaisy di Pondok Baraqah. Di sini pengakhiran buat Qaisy apabila dia dibunuh oleh penjahat. Namun dia pergi bersama semangat juang dan hati yang teguh kerana Allah. Dia tidak gentar untuk mempertahankan agamanya. Semoga hati kita juga seteguh Qaisy dalam mempertahankan agama Islam tercinta.