Wednesday, January 20, 2021

Resensi Novel: Selamat Tinggal

Novel Selamat Tinggal Tere Liye

Tajuk: Selamat Tinggal

Penulis: Tere Liye

Tahun Terbit: 2020

Penerbit: Gramedia Pustaka Utama


Ringkasan Cerita:

Kejayaan Sintong Tinggal mendapat tempat di kampus besar di Pulau Jawa amat mengejutkan. Tidak ada siapa sangka, budak nakal itu seorang yang pintar.

Sintong mendaftar masuk ke Falkuti Sastera. Bila ditanya mengapa, jawabnya, dia ingin menjadi penulis yang memberi inspirasi.

Tahun pertama dan kedua di kampus, Sintong benar-benar menjadi seorang pelajar yang hebat. Debat positif bersama pensyarah, tulisannya juga diterbitkan di surat khabar nasional. Dia menjadi kebanggaan falkuti.

Masuk tahun ketiga, keputusannya merosot teruk. Dia tidak lagi aktif menulis, malah selalu ponteng kuliah. Kini dia masih belum lulus, tesisnya masih tidak dapat disiapkan. Apa sebenarnya yang terjadi pada Sintong Tinggal?


Ulasan: 

Sintong Tinggal merupakan watak utama yang menggerakkan cerita ini. Di saat dia mula putus harapan, sebuah buku lama membangkitkan kembali semangatnya yang hilang. Buku itu milik seorang penulis lama yang begitu tersohor satu ketika dahulu, namun namanya hilang dengan tiba-tiba.

Dalam novel Selamat Tinggal ini banyak diterapkan semangat seorang penulis yang jujur dalam setiap karya, tidak takut mengkritik demi kelangsungan anak bangsa.

Watak Sutan Pane begitu memberi kesan, kata-katanya memberi semangat luar biasa, serta aspirasi yang dibawa amat mengagumkan. Watak ini menonjolkan sisi seorang penulis yang hebat dengan tujuan untuk mengubah masa depan negara. 

Quote from Novel Selamat Tinggal

Kedua, buku ini membawa tema tentang buku bajakan (cetak rompak) serta kesan dan akibat daripada tidak ada undang-undang dan tindakan tegas daripada pihak berkuasa. Secara tidak langsung, pembaca akan dapat melihat kesan buruk dari tindakan mereka terus menyokong buku bajakan. Sekiranya pembaca sedar akan implikasi dari tindakan itu, maka lama kelamaan tidak akan ada lagi buku yang dicetak rompak.

Implikasi ini mungkin tidak disedari kerana ia tidak didedahkan secara meluas. Dalam kisah ini, Sintong bertemu dengan seorang anak kecil yang berniaga di kaki gunung untuk mencari rezeki. Setelah diselidik, anak kecil itu merupakan cucu kepada seorang penulis tersohor yang telah menghasilkan lebih 40 karya popular. 

Namun, apa yang menyedihkan, karyanya di bajakan dan penulis itu terus hidup miskin dan melarat. Kesannya dia meninggal dunia tanpa dapat menerima rawatan dan ahli keluarganya terus terpinggir. Sintong begitu terkesan, dia merasa amat sedih dan pada masa yang sama kecewa dengan sikap masyarakat.

Watak Jess dan Bunga juga memberi impak besar kepada keseluruhan cerita. Tanpa kita ketahui, disebalik kemewahan dan keceriaan yang dipamerkan, rupanya ada rahsia besar yang disembunyikan.

Turut dibawa dilema yang dialami oleh mereka yang berada dalam kelompok ini. Sintong, dia tersepit antara keinginan menjadi penulis hebat pada masa yang sama dia bekerja di toko buku Pakliknya yang menjual buku bajakan. Dia berusaha mengeluarkan diri dan akhirnya dia berani mengucapkan “Selamat Tinggal”. 

Novel Quote Selamat Tinggal

Buku ini untuk penulis supaya terus berkarya dan buku ini untuk pembaca, bagi memahami usaha seorang penulis dan wajar dihargai. Suatu masa nanti, sekiranya isu ini tidak dapat dibendung, penulis enggan lagi menghasilkan karya mereka, dunia akan mengalami kerugian yang besar. 

Justeru, kita sebagai pembaca, katakan TIDAK kepada cetak rompak, pastikan asli baru beli. Itulah cara kita menghargai karya orang lain, bukan hanya terhad kepada buku tetapi semua perkara lain. Kesedaran itu penting dan novel ini cuba menyebarkan kesedaran itu. Sebarkan kebaikan. 

 

Resensi Buku: Malaya 1941

 




Tajuk: Malaya 1941

Penulis: Rafe Rahmat & Hairil Anuar

Tahun Terbit: 2020

Penerbit: Patriots Publishing


MALAYA 1941 - sebuah buku tentang kronologi  peristiwa penjajahan tentera Jepun ke Tanah Melayu.
Dasar perluasan kuasa dijalankan oleh Jepun pada tahun 1940 memberikan dua pilihan: 1) Hokushin-ron (Jalan ke Utara) 2) Nanshin-ron (Jalan ke Selatan)

Jepun memilih untuk ke Asia Tenggara dan Tanah Melayu merupakan salah satu sasaran mereka.
Buku ini mengandungi maklumat tentang Komander Tentera Jepun, Komander Tentera British, pertempuran-pertempuran yang terjadi di Kota Bharu, Jitra, Kampar, Slim River, Endau dan beberapa tempat lagi.
Turut diceritakan tentang strategi tentera Jepun, strategi pertahanan British dan faktor-faktor yang menyebabkan Tanah Melayu jatuh ke tangan Jepun. Sebuah buku yang menumpukan kepada peperangan, pasukan tentera, senjata dan strategi peperangan. Buku yang padat, namun isi kandungannya disusun dengan baik.
Antara yang menarik perhatian adalah bab tentang polisi pertahanan tentera British yang digelar 'Singapore Strategy'. Namun polisi ini tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana kekalahan Perancis. Jadi pihak British menghantar dua buah capital ship ke Singapura. Kapal Perang HMS Prince of Wales dan HMS Repulse berlayar untuk menentang Jepun. Nasib tidak menyebelahi kedua-dua kapal, apabila diserang oleh torpedo Jepun dan tenggelam. (Cerita yang ditulis dalam buku lebih detail dan panjang)
Membaca buku ini, kita dapat merasai betapa peritnya peperangan. Sesungguhnya keamanan yang kita kecapi hari ini patut dijaga dan dihargai dengan baik. Sejarah adalah satu peristiwa silam yang perlu kita ketahui, supaya apa sudah berlaku menjadi pengajaran dan pelajaran buat generasi kini.
Buku ini merupakan salah satu bahan bacaan yang bagus, sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat.

Tuesday, January 19, 2021

Resensi Buku: Uthmaniyah Di Hujung Jari

 

Resensi Buku Uthmaniyah Di Hujung Jari


Tajuk: Uthmaniyah Di Hujung Jari
Penulis: Amir Asyraf Alwi
Tahun Terbit: 2020
Penerbit: Patriots Publishing

Sebuah buku tentang sejarah empayar agung Uthmaniyah yang pernah berdiri gagah selama 600 tahun. Diasaskan oleh Osman Ibn Ertugrul seorang pemimpin suku Kayi dari Anatolia.

Terdapat banyak maklumat dikongsikan antaranya mengenai sultan-sultan yang gila, hubungan diplomatik antara empayar, peristiwa pengepungan Kota Kut, penaklukan Kota Konstantinopel, kebangkitan nasionalis dan banyak lagi.

Penghapusan Janissari antara peristiwa yang ingin saya kongsikan. Janissari merupakan pasukan tentera elit Uthmaniyah. Pada awal kewujudnya, pasukan ini dianggotai oleh golongan hamba dan tawanan perang yang bersumpah untuk setia kepada Uthmaniyah. Namun, selepas 500 tahun, Janissari dihapuskan dalam satu peristiwa yang dikenali sebagai "Kemalangan yang bermakna".

Petikan dari Uthmaniyah Di Hujung Jari
Turut dimuatkan dalam buku ini, penerangan tentang Institusi Heram ketika zaman itu, fungsi pancaragam Mether dan akhirnya faktor-faktor kejatuhan empayar Uthmaniyah.

Buku ini mengandungi banyak maklumat yang perlu dicerna. Bagaimanapun, isi kandungannya mudah difahami. Sesuai untuk pembaca yang baru berjinak-jinak dengan buku non-fiksyen kerana cara penyampaiannya tidak terlalu ilmiah.

Saya cadangkan, jika anda ingin mengetahui bagaimana cara penulisan dalam buku ini, boleh cuba baca artikel-artikel penulis di laman web thepatriots.

Sejarah mengajar kita banyak perkara dan kadang kala mampu menjawab persoalan kepada soalan hari ini.