Wednesday, January 20, 2021

Resensi Buku: Malaya 1941

 




Tajuk: Malaya 1941

Penulis: Rafe Rahmat & Hairil Anuar

Tahun Terbit: 2020

Penerbit: Patriots Publishing


MALAYA 1941 - sebuah buku tentang kronologi  peristiwa penjajahan tentera Jepun ke Tanah Melayu.
Dasar perluasan kuasa dijalankan oleh Jepun pada tahun 1940 memberikan dua pilihan: 1) Hokushin-ron (Jalan ke Utara) 2) Nanshin-ron (Jalan ke Selatan)

Jepun memilih untuk ke Asia Tenggara dan Tanah Melayu merupakan salah satu sasaran mereka.
Buku ini mengandungi maklumat tentang Komander Tentera Jepun, Komander Tentera British, pertempuran-pertempuran yang terjadi di Kota Bharu, Jitra, Kampar, Slim River, Endau dan beberapa tempat lagi.
Turut diceritakan tentang strategi tentera Jepun, strategi pertahanan British dan faktor-faktor yang menyebabkan Tanah Melayu jatuh ke tangan Jepun. Sebuah buku yang menumpukan kepada peperangan, pasukan tentera, senjata dan strategi peperangan. Buku yang padat, namun isi kandungannya disusun dengan baik.
Antara yang menarik perhatian adalah bab tentang polisi pertahanan tentera British yang digelar 'Singapore Strategy'. Namun polisi ini tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana kekalahan Perancis. Jadi pihak British menghantar dua buah capital ship ke Singapura. Kapal Perang HMS Prince of Wales dan HMS Repulse berlayar untuk menentang Jepun. Nasib tidak menyebelahi kedua-dua kapal, apabila diserang oleh torpedo Jepun dan tenggelam. (Cerita yang ditulis dalam buku lebih detail dan panjang)
Membaca buku ini, kita dapat merasai betapa peritnya peperangan. Sesungguhnya keamanan yang kita kecapi hari ini patut dijaga dan dihargai dengan baik. Sejarah adalah satu peristiwa silam yang perlu kita ketahui, supaya apa sudah berlaku menjadi pengajaran dan pelajaran buat generasi kini.
Buku ini merupakan salah satu bahan bacaan yang bagus, sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat.

Tuesday, January 19, 2021

Resensi Buku: Uthmaniyah Di Hujung Jari

 

Resensi Buku Uthmaniyah Di Hujung Jari


Tajuk: Uthmaniyah Di Hujung Jari
Penulis: Amir Asyraf Alwi
Tahun Terbit: 2020
Penerbit: Patriots Publishing

Sebuah buku tentang sejarah empayar agung Uthmaniyah yang pernah berdiri gagah selama 600 tahun. Diasaskan oleh Osman Ibn Ertugrul seorang pemimpin suku Kayi dari Anatolia.

Terdapat banyak maklumat dikongsikan antaranya mengenai sultan-sultan yang gila, hubungan diplomatik antara empayar, peristiwa pengepungan Kota Kut, penaklukan Kota Konstantinopel, kebangkitan nasionalis dan banyak lagi.

Penghapusan Janissari antara peristiwa yang ingin saya kongsikan. Janissari merupakan pasukan tentera elit Uthmaniyah. Pada awal kewujudnya, pasukan ini dianggotai oleh golongan hamba dan tawanan perang yang bersumpah untuk setia kepada Uthmaniyah. Namun, selepas 500 tahun, Janissari dihapuskan dalam satu peristiwa yang dikenali sebagai "Kemalangan yang bermakna".

Petikan dari Uthmaniyah Di Hujung Jari
Turut dimuatkan dalam buku ini, penerangan tentang Institusi Heram ketika zaman itu, fungsi pancaragam Mether dan akhirnya faktor-faktor kejatuhan empayar Uthmaniyah.

Buku ini mengandungi banyak maklumat yang perlu dicerna. Bagaimanapun, isi kandungannya mudah difahami. Sesuai untuk pembaca yang baru berjinak-jinak dengan buku non-fiksyen kerana cara penyampaiannya tidak terlalu ilmiah.

Saya cadangkan, jika anda ingin mengetahui bagaimana cara penulisan dalam buku ini, boleh cuba baca artikel-artikel penulis di laman web thepatriots.

Sejarah mengajar kita banyak perkara dan kadang kala mampu menjawab persoalan kepada soalan hari ini.

Monday, January 18, 2021

Kongsi Cerita: Bagaikan Puteri, cinta pertama yang tidak disangka.

 


QOTD: Apakah tajuk buku yang menjadi cinta pertama anda? Bagaimana kisahnya?

Kata orang, cinta pertama susah dilupakan.

Selalu ada dalam hati...ops terjiwang pula.

Masihkan ingat, buku mana yang menjadi cinta pertama anda?

Cinta pertama saya adalah novel RAM bertajuk Bagaikan Puteri. (Buku pertama baca masa kanak-kanak memang dah tak ingat, itu cinta monyet😅.)

Novel ini saya nampak di rumah sewa, milik salah seorang housemate saya. Lalu saya pinjam untuk baca blurb dan melihat isi kandungannya. Anda tahu...saya tak terus jatuh cinta pada ketika itu.

Di pejabat, ada seorang kawan yang suka membaca. Ketika berbual-bual dengannya, dia turut mencadangkan lagi buku tersebut. Dia membaca banyak review positif tentang novel itu. Setelah terpengaruh, kami ke kedai buku untuk membelinya. Dia mengingatkan saya dengan pesanan "baca tau, best novel ni."

Di rumah kerana ketiadaan aktiviti lain yang menarik, nak menonton televisyen pun siaran tidak begitu baik (maklumlah, tinggal di rumah sewa takde astro😂), jadi saya duduk diam-diam dalam bilik dan mula baca novel ini.

Tanpa disangka, terjatuh cinta pula. Bukan setakat suka, tapi jadi tak keruan untuk memiliki novel sambungannya. Parah sungguh bila dah jatuh cinta😍.



Satu persoalan timbul dalam fikiran saya, bagaimana saya tidak tahu novel sebagus ini wujud di Malaysia (siapa suruh malas mencari kan). Novel RAM menjadi titik tolak untuk saya mencari novel-novel hasil karya tempatan yang lain.

Peristiwa ini terjadi lebih kurang 10 tahun yang lalu, pada masa ini, saya baru berjinak-jinak kembali dengan aktiviti membaca buku.

Satu kelebihan bercinta dengan buku, tidak ada istilah cemburu kerana buku tidak tahu yang ada orang sudah jatuh cinta padanya. Jadi setiap rasa cinta itu unik dan tersendiri.

Pengajaran yang saya dapat melalui pengalaman ini adalah, kita perlu berada di dalam kelompok yang betul. Ini dapat membantu kita menemui sesuatu yang baru.
Sebelum ini, saya tidak pernah menyertai atau berjumpa dengan mana-mana orang yang suka membaca. Saya juga kurang mengikuti perkembangan penerbitan buku-buku di Malaysia. Ketika itu, saya cuma mengetahui satu, dua penerbit buku yang gah. Sekali sekala saja mengunjungi kedai buku. Jadi maklumat tentang dunia buku amat sedikit.



Pada awal-awal dulu, saya cuma membaca novel-novel RAM dan Hlovate. Kemudian, secara perlahan-lahan, pilihan novel mula berkembang.

Saya mula betul-betul serius membaca mula pada tahun 2017. Buka akaun Goodreads supaya boleh simpan rekod buku yang dibaca serta mencari maklumat buku-buku lain yang menarik berdasarkan review pembaca lain.

Saya mula mengembangkan carian, mengetahui penerbit buku lain seperti Jemari Seni (dah takde lagi😩), Prolog Media, SO Publishing, Penerbit X, PTS, DBP (dulu tak tahu DBP terbitkan novel, saya ingat mereka terbitkan kamus saja😅), Jejak Tarbiah, The Patriots (mula dengan membaca artikel di laman web), Iman Publication dan banyak lagi.

Selain itu, Pesta Buku Antarabangsa merupakan antara acara tahunan yang saya tunggu-tunggu. Saya sanggup ambil cuti tahunan semata-mata ingin ke acara ini. Walaupun tidak mampu untuk membeli banyak buku, tapi dengan melihat dan membelek-belek buku yang dipamerkan juga menjadi satu kegembiraan kepada saya.

Setelah jatuh cinta kali pertama, saya terus lagi jatuh cinta berkali-kali dengan pelbagai jenis buku yang wujud dipasaran. Dunia buku pada saya amat menyeronokkan.

Kisah cinta pertama anda, bagaimana pula?