Friday, January 15, 2021

27 Buku Pilihan Sepanjang Tahun 2020


Tahun 2020 merupakan tahun yang penuh dengan cabaran dan kejutan. Bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia. Hari ini, kita masih lagi berdepan dengan cabaran dan ancaman virus. Kita belum menang.

Tahun 2020 boleh saya katakan sebagai tahun berkurung, tahun duduk di rumah, tahun norma baru. Jadi saya menggunakan masa yang ada dengan membaca lebih baca buku. Ya, membaca. Itu pilihan yang saya lakukan.

Alhamdulillah, saya berjaya membaca 92 buah buku pelbagai genre sepanjang tahun lepas. Ada buku yang sudah lama dibeli tapi terperam di rak buku. Ada buku yang dibeli ketika musim PKP. Walaupun tidak ada PBAKL2020, tapi buku masih boleh dibeli secara online. 

Di bawah saya senaraikan 27 buah buku-buku pilihan yang pada pendapat saya membawa kekuatan yang tersendiri. Saya kategorikan kepada tiga bahagian - novel fiksyen, buku non-fiksyen dan travelog.



NOVEL FIKSYEN

1. Rembulan Tenggelam Di Wajahmu karya Tere Liye
2. Hikayat Satria-Satria Sejati 4&5 karya Hilal Asyraf
3. Vendetta karya Tey Marzuki
4. Bentala karya Sha Hanim Ramli
5. Mitologi - Sumpah Tun Ledang Shah karya  Endie Shazlie
6. S-K-Y karya Fiy Suri
7. Sekolah Bernama Kehidupan karya Asmar Shah
8. Tetamu Tuhan 50 Hari karya Hilal Asyraf
9. A Thousand Splendid Suns karya Khaled Hosseini


TRAVELOG

1. Aku, Buku & Kota Kaherah karya Shahriman Jamalullayl
2. Menumpang Teduh Pohon Akasia karya Muhamad Suhail Ahmad
3. Segelas 'Asir di Muara Nil karya Ibnu Rijal
4. Kerana Cinta Aku Derhaka karya Syed Azharul Asriq
5. Sepetang Di Busan karya Ahmad bin Abdul
6. Travelog Pencinta Buku karya Shaharom T.M. Sulaiman, Mohammad Fazli Baharuddin
7. Lelaki Terakhir Menangis Di Bumi karya Musa Nuwayri
8. Kuantum - Sebuah Travelog Kembara Sains karya Shah Ibrahim
9. Diari Musafir - Jangan Berhenti Berlari karya Dr. Zaharuddin Abdul Rahman


NON-FIKSYEN

1. Dunia Tanpa Tembok tulisan Ayman Rashdan Wong
2. Dunia Tanpa Tembok II tulisan Ayman Rashdan Wong
3. Dunia Tanpa Tembok III tulisan Ayman Rashdan Wong
4. Pendiam? tulisan Aiman Amri, Aqila Masri
5. Sekilas Ibrah Dari Sirah Nabi tulisan Salahuddin Mohamed
6. Projek Bibliofil tulisan Zahrah Yunos
7. Langkah Sheraton tulisan Ahmad Faezal
8. Tasjil Anis Salatin: Rahsia Agung Melaka tulisan Farahana Shuhaimi
9. Malaya 1941 tulisan Rafe Rahmat, Hairil Anuar


Buku-buku ini adalah pilihan peribadi, yang mana saya baca sepanjang tahun 2020. Mungkin anda akan berminat dengan salah satu tajuk ini. Mana tahu kan. Semoga anda akan bertemu dengan buku pilihan anda pula.

2021, kita masih berkurung, jadi saya teruskan mengisi masa yang ada dengan menghabiskan bahan bacaan yang ada di rak buku. 2021 - saya mengharapkan lebih banyak buku yang bagus akan ditemui.


"READING BOOKS MAKES YOU BETTER."


Resensi Travelog: Menjejaki FirmanMu Di Langit Amerika

 



Tajuk: Menjejaki FirmanMu Di Langit Amerika

Penulis: Mohd Hariri Mohamad Daud

Tahun Terbit: 2019

Buku ini merupakan catatan Ustaz Hariri ketika beliau mengikut program selama 22 hari di Amerika Syarikat pada tahun 2018. Pengalamannya di lima buah kota iaitu Washington DC, New York, Cleveland, Reno dan Seattle.

Apabila ke Washington DC, tempat ini pasti dilawati iaitu White House dan Library of Congress. White House merupakan lambang kebebasan dan demokrasi Amerika Syarikat dan replika bangunan ini sering menjadi cenderamata popular.
"Di Malaysia, jarang kita melihat kedai-kedai cenderamata menjual keychain atau fridge magnet yang berkonsepkan replika Istana Negara sebagai simbol negara Malaysia."
Library of Congress adalah sebuah perpustakaan terbesar di dunia. Bila saya baca penerangan yang ditulis rasa macam wah bestnya kalau saya dapat sampai ke sini. Bangunan tiga tingkat itu mempunyai begitu banyak bahan bacaan dan penyelidikan dari seluruh dunia.
Kota New York sebuah kota fesyen yang tidak pernah mati. Kota ini, mempunyai JAMAICA ISLAMIC CENTRE sebuah masjid terbesar di kota ini. Ukhuwah dan keakraban antara muslim dapat dilihat walaupun berbeza bahasa dan budaya. Industri makanan halal juga pesat berkembang di kota ini. Pelopor makanan halal yang terkenal di sini adalah THE HALAL GUYS.
Reno sebuah bandar kasino. Penduduk islam di sini tidak ramai. Namun itu tidak menghalang komuniti muslim di sini untuk bergerak aktif dengan program-program untuk meningkatkan pengetahuan tentang agama serta mengeratkan silaturahim.

Apa pula yang menarik di Cleveland? Jawapannya sukan baseball dan American Football. Ya, sukan ini merupakan kegilaan penduduk tempatan. Selain itu, di Cleveland juga terdapat universiti dan masjid yang dikenali dengan nama Masjid Bilal. Sayangnya, masjid ini hanya dibuka ketika waktu solat.
Kota terakhir yang dijelajahi adalah Seattle sebuah bandar pelabuhan. Seattle merupakan tempat lahir Bill Gates, juga pelopor perniagaan pembuatan kapal terbang William E. Boeing.
Sebenarnya buku ini bukan hanya menceritakan tempat-tempat menarik tetapi ibrah dalam setiap perjalanan dan kemajuan yang dikecapi.

Selain itu, catatan yang dikongsikan adalah berdasarkan pengalaman peribadi dan tidak lah begitu detail. Sesuai untuk bacaan santai dan orang seperti saya yang tidak pernah sampai lagi ke Amerika.

That's the thing about books. They let you travel without moving your feet. - Jhumpa Lahiri


Resensi Novel: IMPERIA - KRONIKA NASHAN

 

Novel Imperia, Kronika Nashan


Tajuk: Imperia (novel ke-4 siri Kronika Nashan)
Penulis: Ahmad Patria Abdullah
Penerbit: Penerbit-X
Tahun Terbit: 2019

"Kata Ayah, bukan semua konspirasi adalah teori." Ayah adalah insan yang mengajarkan banyak perkara kepada Melyn. Kehilangan ibu sejak kecil menjadikan Melyn rapat dengan ayahnya. Walaupun seorang Aristokra kota, sentiasa sibuk dengan urusan pemerintahan, tapi dia tidak pernah mengabaikan Melyn. Sentiasa ada untuk Melyn, mengajarkannya sesuatu yang mungkin tidak menarik minat seorang remaja, tapi menjadikan pelajaran itu menarik. Itulah ayahanda Melyn, seorang Aristokra Kota Nashan.
Imperia, Kronika Nashan
Walaupun sudah lama dijemput ilahi, apa jua yang diajar sentiasa diingati dan diamalkan oleh Melyn bila mengambil alih tampuk pemerintahan Kota. Kini Melyn berdepan satu konspirasi dahsyat. Kemunculan Auren membawa khabar yang tidak baik. Kebangkitan Nomad. Nusa teras diambang peperangan. Aristokra dari kota-kota lain bergabung mewujudkan Perikatan untuk menghadapi serangan tentera Nomad. Nashan tidak terkecuali, turut menghantar pasukan bagi mempertahankan Kushan. Kisah ini walaupun sebuah fantasi, tetapi ada diselitkan ilmu berguna seperti hubungan antara kota serta teknik dan strategi peperangan. Saya sudah membaca buku ini beberapa kali dan emosi itu tidak pernah berubah. Masih dirasai setiap kali saya membacanya. Penulis meninggalkan banyak umpan bagi mengekalkan momentum pembaca. Buku setebal 627 muka surat tapi bila sampai helaian terakhir, percayalah saya masih tidak merasa cukup.


Imperia, Kronika Nashan
Banyak plot yang meninggalkan kesan, seperti kisah Denzir ketika remaja, dia memberitahu kebenaran tentang Moran dalam satu perlumbaan maraton. Kisah setia kawan Denzir dengan ahli pasukannya. Kisah Sener menyelamatkan Shilrung dengan menggunakan teknik diplomasi yang bijak. Kemelut antara Kota Dashan dan Kota Hafnakushan dapat diselesaikan dengan licik. Buku ini kisah tentang peperangan. Bukan saja perang senjata, tetapi perang perdagangan, perang perasaan dan perang kesetiaan. Semuanya dicampur dan digarap dengan indah sekali. Akhirnya tidak lupa, pastinya kepada Mori yang terus berdiri dan setia sebagai Lodra Perang Kota Nashan. "Dan dengan izin Tuhan, aku pasti bersamamu kelak, berdiri tinggi di hadapan seteru."

Imperia, Kronika Nashan