Showing posts with label novel perang. Show all posts
Showing posts with label novel perang. Show all posts

Friday, January 15, 2021

Resensi Novel: IMPERIA - KRONIKA NASHAN

 

Novel Imperia, Kronika Nashan


Tajuk: Imperia (novel ke-4 siri Kronika Nashan)
Penulis: Ahmad Patria Abdullah
Penerbit: Penerbit-X
Tahun Terbit: 2019

"Kata Ayah, bukan semua konspirasi adalah teori." Ayah adalah insan yang mengajarkan banyak perkara kepada Melyn. Kehilangan ibu sejak kecil menjadikan Melyn rapat dengan ayahnya. Walaupun seorang Aristokra kota, sentiasa sibuk dengan urusan pemerintahan, tapi dia tidak pernah mengabaikan Melyn. Sentiasa ada untuk Melyn, mengajarkannya sesuatu yang mungkin tidak menarik minat seorang remaja, tapi menjadikan pelajaran itu menarik. Itulah ayahanda Melyn, seorang Aristokra Kota Nashan.
Imperia, Kronika Nashan
Walaupun sudah lama dijemput ilahi, apa jua yang diajar sentiasa diingati dan diamalkan oleh Melyn bila mengambil alih tampuk pemerintahan Kota. Kini Melyn berdepan satu konspirasi dahsyat. Kemunculan Auren membawa khabar yang tidak baik. Kebangkitan Nomad. Nusa teras diambang peperangan. Aristokra dari kota-kota lain bergabung mewujudkan Perikatan untuk menghadapi serangan tentera Nomad. Nashan tidak terkecuali, turut menghantar pasukan bagi mempertahankan Kushan. Kisah ini walaupun sebuah fantasi, tetapi ada diselitkan ilmu berguna seperti hubungan antara kota serta teknik dan strategi peperangan. Saya sudah membaca buku ini beberapa kali dan emosi itu tidak pernah berubah. Masih dirasai setiap kali saya membacanya. Penulis meninggalkan banyak umpan bagi mengekalkan momentum pembaca. Buku setebal 627 muka surat tapi bila sampai helaian terakhir, percayalah saya masih tidak merasa cukup.


Imperia, Kronika Nashan
Banyak plot yang meninggalkan kesan, seperti kisah Denzir ketika remaja, dia memberitahu kebenaran tentang Moran dalam satu perlumbaan maraton. Kisah setia kawan Denzir dengan ahli pasukannya. Kisah Sener menyelamatkan Shilrung dengan menggunakan teknik diplomasi yang bijak. Kemelut antara Kota Dashan dan Kota Hafnakushan dapat diselesaikan dengan licik. Buku ini kisah tentang peperangan. Bukan saja perang senjata, tetapi perang perdagangan, perang perasaan dan perang kesetiaan. Semuanya dicampur dan digarap dengan indah sekali. Akhirnya tidak lupa, pastinya kepada Mori yang terus berdiri dan setia sebagai Lodra Perang Kota Nashan. "Dan dengan izin Tuhan, aku pasti bersamamu kelak, berdiri tinggi di hadapan seteru."

Imperia, Kronika Nashan



Saturday, June 29, 2019

Resensi Buku: Platun Harimau - Hutang Darah Dibayar Darah

Penulis: Mohd Radzi Abdul Hamid


Tak sangka, novel perang ini mengandungi emosi yang mendalam, dendam yang membara dan ditamatkan dengan sedikit kegembiraan. Kenapa aku katakan sedikit, kerana perjuangan ini belum selesai. Namun itu tidak bermakna kita tidak boleh mengecapi kegembiraan.

Novel ini banyak menggunakan singkatan dan term dalam bidang ketenteraan. Tidak menjadi masalah pada aku kerana helaian awal buku ini telah diberikan maksud untuk setiap singkatan dan term tersebut. Betul, kita sebagai pembaca yang bukan berlatar belakangkan tentera tidak akan ingat, jadi selak saja halaman ini untuk semak kembali.

Platun Harimau ialah kisah perajurit negara menentang dan memburu komunis. Platun ini merupakan pasukan elit yang dianggotai oleh tentera yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang - pakar mengesan jejak, pakar radio, pakar bom. Mereka telah digabungkan dan dilatih menjadi tentera yang hebat.

Kisah bermula dengan Operasi Serampang 2 di belantara Gubir. Misi utama untuk memburu kumpulan komunis Black Jacket. Dalam operasi ini 2 anggota telah terkorban kerana mereka telah diserang hendap. Walaupun kesedihan dengan kehilangan 2 anggota, operasi tetap diteruskan. Kali ini di Bukit Layai. Sekali lagi kejadian tidak disangka terjadi. 2 anggota tinjau yang dihantar terbunuh dalam letupan jerangkap samar. Apa yang amat menyedihkan salah seorang anggota Prebet Habibullah, isterinya sedang sarat mengandung. Bayangkanlah situasi ketika Kapten Amran menyampaikan berita sedih itu kepada keluarganya. 😭😭😭

Bila membaca buku ini, kita dapat rasakan pengorbanan anggota tentera dalam mempertahankan kedaulatan negara. Mereka bertarung nyawa, bersengkang mata, menahan lapar, tidak tidur supaya musuh dapat ditangkap atau dimusnahkan. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan mereka tiada bandingan. Kebebasan hari ini adalah hasil usaha perjuangan mereka yang terdahulu.

Dengan beberapa siri anggota tentera yang terkorban, telah mendatangkan kemarahan anggota tentera yang lain. CO (Commanding Officer) telah memanggil pulang Platun Harimau untuk melaksanakan misi penting memusnahkan kumpulan Black Jacket. Kepulangan Platun Harimau telah memberi semangat dan harapan baru kepada seluruh pasukan.

Platun Harimau yang diketuai Leftanan Fauzi telah merancang strategi untuk menjejaki markas utama komunis ini. Beberapa operasi telah dilakukan berdasarkan maklumat yang diperolehi untuk membanteras komunis.

Sebuah kisah yang patut dibaca oleh kita rakyat Malaysia. Perjuangan dan pengorbanan patut kita hargai dan pertahankan.



Usah risau dengan term yang digunakan kerana percayalah, tidak akan terganggu pembacaan anda hanya kerana term tersebut. Aku suka plot bila diceritakan bagaimana anggota tentera ini berhubung melalui radio.