Saturday, January 27, 2018

PARUT karya Zahida Zarkasi


Tajuk: Parut
Penulis: Zahida Zarkasi
Penerbit: Prolog Media


Sinopsis

Haifa - Sedar dari lena dan dia berada di tempat asing. Eh, kenapa dia ada di hospital. Seorang lelaki memanggilnya dengan nama Nanie. Pelik, keliru dan bercelaru. Itu perasaan dia ketika itu. Di mana ayah dan adiknya? Apa yang dikhabarkan doktor, dia dibawa ke hospital ini seorang diri. Apa yang terjadi sebenarnya?

Mikail - "Dia tak ingat siapa aku? Namanya Haifa bukan Nanie, dia tipu aku ke sebelum ni? Kenapa? Dia juga tak ingat kat mana kami bertemu?" 

Najmi - "Haifa, lama tak jumpa." Kedengaran sangat pelik di telinga Haifa. Lebih pelik lagi bila Najmi bertanya kenapa dia di Lumut?

Haifa akhirnya berjaya menjejaki keluarganya dengan bantuan Mikail, namun banyak perkara pelik menghantui fikiran Haifa. Setiap orang seperti menyembunyikan satu rahsia besar darinya.


Apa sebenarnya yang telah terjadi? Apa kisah yang telah Haifa lupakan? Kenapa Hasrul sangat marah dengannya. Haifa perlu mencari dan merungkai misteri ini. Cebisan ingatan perlu dia susun dan cantum satu persatu untuk melengkapkan misteri kisah yang hilang. 






Komen

Penulis telah menimbulkan persoalan dibabak awal lagi. Haifa yang keliru dengan situasi. Cerita ini bergerak dengan pelbagai persoalan, seperti gambaran kecelaruan minda dan perasaan Haifa. Siapa sebenarnya Haifa? Siapa Mikail? Bagaimana Haifa boleh ada di hospital? Semua ini sangat meresahkan dan jawapan untuknya perlu dicari.

Saya kagum dengan penulis yang mampu membuat pembaca terus teruja, seperti ada tali halus yang mengikat fokus semasa membaca novel ini. Gaya bahasa yang ringan dan tidak memeningkan kepala. Jadi saya seperti berlari laju ingin mencari penjelasan atas apa yang terjadi.

Kemunculan Tok Timah dan renungan tajamnya telah menggamit keinginan saya untuk terus menggali dan mencari jawapan kepada setiap persoalan yang timbul. Apa kaitan Tok Timah dengan Haifa? 
Setiap keluarga pasti ada cabaran hidup. Tidak semua kebahagiaan datang tanpa ujian dari Allah S.W.T. Kesabaran dalam mengharungi setiap dugaan itu penting dan kita sebagai hambanya perlu sentiasa berdoa dan berusaha semoga segala masalah dapat diselesaikan dengan baik.

Kisah ini juga mengajar kita, setiap yang berlaku ada sebab yang tersendiri. Kadang kala kita bingung mengapa ujian tersebut hadir, tapi percayalah pasti ada hikmah di setiap apa yang telah diatur dalam hidup kita.

Sekali bermula, pasti hanya kata TAMAT mampu menoktahkan perlarian kita. 


DOWNLOAD - Cara mudah untuk jana pendapatan!!