Friday, September 10, 2021

Novel Empunya Kalbu

 


Tajuk: Empunya Kalbu

Penulis: Sri Rahayu Mohd Yusop

Tahun Terbit: 2016

Penerbit: Utusan Publications & Distributors


Sinopsis

"Di hari walimatul urus ayahandanya, Tun Manis diacukan keris di leher oleh Kunta, si panjat angkara. Lalu datang Gerhana sang empu muda elok rupa baik budi bahasa menyelamatkannya. Kisah Tun Manis dan Gerhana berjalin kait apabila tahi bintang melintas di langit kerajaan Pahang Lama. Setelah lebih seabad berlalu, kisahTun Manis dan Gerhana jatuh ke tangan Hisyam, perantis ilmu pembuatan keris yang dirundung dukalara dan tanda tanya. Adakah kisah yang selama ini berada dalam simpanan pustaka keluarga Sara Ramsay, pewaris industri pedang dari Scotland itu boleh membawa suluh pedoman terhadap kabut gelita dalam kalbu pemuda bakal empu ini?"


Ulasan

Sebuah lagi karya Puan Sri Rahayu yang memenangi tempat kedua hadiah sastera Kumpulan Utusan pada tahun 2016. Tema yang dibawa oleh karya ini adalah tentang warisan zaman berzaman masyarakat melayu iaitu keris.

"Keris ini bukan senjata semata-mata. Batang besi boleh jadi senjata, buluh runcing boleh jadi senjata. Keris ini adalah semangat orang melayu. Ia alat pelindung, alat mempertahankan diri, suatu perhiasan, harta dan warisan, dalam makna yang harfiah dan juga bersifat kiasan."
Empunya Kalbu mengisahkan Hisham yang amat meminati seni pembuatan keris. Bagaimanapun dia mengalami konflik dengan bapanya dalam usaha untuk meneruskan bengkel membuat keris yang diusahakan bapanya.
Hisham bertemu dengan Sara, seorang wanita dari Scotland. Sara amat berminat mengetahui tentang seni pembuatan keris. Sara datang dari Scotland ke Malaysia bersama dengan kumpulan produksinya untuk merakamkan dokumentari tentang seni warisan ini.
Pada awal pertemuan, Sara memberikan Hisham senaskah buku lama yang ditulis oleh Edward E.Frey tentang keris melayu. Buku ini menceritakan kisah Tun Manis dan Gerhana. Maka bermulalah dua kisah pada zaman yang berbeza.


Jalinan dua kisah ini digabungkan dengan baik dan membawa penjelasan tentang mengapa seni warisan keris itu penting kepada masyarakat melayu. Penulis juga menceritakan dengan detail tentang bahan dan cara keris dihasilkan. Contohnya, maksud lok keris, hulu dan sarung. Setiapnya mempunyai maksud yang tersendiri. Satu lagi yang menarik untuk dikongsikan ialah istilah 'panjat angkara' bermaksud adat merampas gadis menggunakan keris sebagai ancaman kepada sesiapa yang menghalangnya. Begitu banyak informasi tentang seni warisan keris dapat anda temui dalam novel ini. Proses pembuatan keris diceritakan dengan teliti daripada awal hingga ke pemilihan bentuk hulu keris. Seperti menonton sebuah rancangan dokumentari.
Bagaimana kesudahan kisah mereka? Semuanya terjawab dalam "Empunya Kalbu"