Friday, January 15, 2021

Resensi Travelog: Menjejaki FirmanMu Di Langit Amerika

 



Tajuk: Menjejaki FirmanMu Di Langit Amerika

Penulis: Mohd Hariri Mohamad Daud

Tahun Terbit: 2019

Buku ini merupakan catatan Ustaz Hariri ketika beliau mengikut program selama 22 hari di Amerika Syarikat pada tahun 2018. Pengalamannya di lima buah kota iaitu Washington DC, New York, Cleveland, Reno dan Seattle.

Apabila ke Washington DC, tempat ini pasti dilawati iaitu White House dan Library of Congress. White House merupakan lambang kebebasan dan demokrasi Amerika Syarikat dan replika bangunan ini sering menjadi cenderamata popular.
"Di Malaysia, jarang kita melihat kedai-kedai cenderamata menjual keychain atau fridge magnet yang berkonsepkan replika Istana Negara sebagai simbol negara Malaysia."
Library of Congress adalah sebuah perpustakaan terbesar di dunia. Bila saya baca penerangan yang ditulis rasa macam wah bestnya kalau saya dapat sampai ke sini. Bangunan tiga tingkat itu mempunyai begitu banyak bahan bacaan dan penyelidikan dari seluruh dunia.
Kota New York sebuah kota fesyen yang tidak pernah mati. Kota ini, mempunyai JAMAICA ISLAMIC CENTRE sebuah masjid terbesar di kota ini. Ukhuwah dan keakraban antara muslim dapat dilihat walaupun berbeza bahasa dan budaya. Industri makanan halal juga pesat berkembang di kota ini. Pelopor makanan halal yang terkenal di sini adalah THE HALAL GUYS.
Reno sebuah bandar kasino. Penduduk islam di sini tidak ramai. Namun itu tidak menghalang komuniti muslim di sini untuk bergerak aktif dengan program-program untuk meningkatkan pengetahuan tentang agama serta mengeratkan silaturahim.

Apa pula yang menarik di Cleveland? Jawapannya sukan baseball dan American Football. Ya, sukan ini merupakan kegilaan penduduk tempatan. Selain itu, di Cleveland juga terdapat universiti dan masjid yang dikenali dengan nama Masjid Bilal. Sayangnya, masjid ini hanya dibuka ketika waktu solat.
Kota terakhir yang dijelajahi adalah Seattle sebuah bandar pelabuhan. Seattle merupakan tempat lahir Bill Gates, juga pelopor perniagaan pembuatan kapal terbang William E. Boeing.
Sebenarnya buku ini bukan hanya menceritakan tempat-tempat menarik tetapi ibrah dalam setiap perjalanan dan kemajuan yang dikecapi.

Selain itu, catatan yang dikongsikan adalah berdasarkan pengalaman peribadi dan tidak lah begitu detail. Sesuai untuk bacaan santai dan orang seperti saya yang tidak pernah sampai lagi ke Amerika.

That's the thing about books. They let you travel without moving your feet. - Jhumpa Lahiri


Resensi Novel: IMPERIA - KRONIKA NASHAN

 

Novel Imperia, Kronika Nashan


Tajuk: Imperia (novel ke-4 siri Kronika Nashan)
Penulis: Ahmad Patria Abdullah
Penerbit: Penerbit-X
Tahun Terbit: 2019

"Kata Ayah, bukan semua konspirasi adalah teori." Ayah adalah insan yang mengajarkan banyak perkara kepada Melyn. Kehilangan ibu sejak kecil menjadikan Melyn rapat dengan ayahnya. Walaupun seorang Aristokra kota, sentiasa sibuk dengan urusan pemerintahan, tapi dia tidak pernah mengabaikan Melyn. Sentiasa ada untuk Melyn, mengajarkannya sesuatu yang mungkin tidak menarik minat seorang remaja, tapi menjadikan pelajaran itu menarik. Itulah ayahanda Melyn, seorang Aristokra Kota Nashan.
Imperia, Kronika Nashan
Walaupun sudah lama dijemput ilahi, apa jua yang diajar sentiasa diingati dan diamalkan oleh Melyn bila mengambil alih tampuk pemerintahan Kota. Kini Melyn berdepan satu konspirasi dahsyat. Kemunculan Auren membawa khabar yang tidak baik. Kebangkitan Nomad. Nusa teras diambang peperangan. Aristokra dari kota-kota lain bergabung mewujudkan Perikatan untuk menghadapi serangan tentera Nomad. Nashan tidak terkecuali, turut menghantar pasukan bagi mempertahankan Kushan. Kisah ini walaupun sebuah fantasi, tetapi ada diselitkan ilmu berguna seperti hubungan antara kota serta teknik dan strategi peperangan. Saya sudah membaca buku ini beberapa kali dan emosi itu tidak pernah berubah. Masih dirasai setiap kali saya membacanya. Penulis meninggalkan banyak umpan bagi mengekalkan momentum pembaca. Buku setebal 627 muka surat tapi bila sampai helaian terakhir, percayalah saya masih tidak merasa cukup.


Imperia, Kronika Nashan
Banyak plot yang meninggalkan kesan, seperti kisah Denzir ketika remaja, dia memberitahu kebenaran tentang Moran dalam satu perlumbaan maraton. Kisah setia kawan Denzir dengan ahli pasukannya. Kisah Sener menyelamatkan Shilrung dengan menggunakan teknik diplomasi yang bijak. Kemelut antara Kota Dashan dan Kota Hafnakushan dapat diselesaikan dengan licik. Buku ini kisah tentang peperangan. Bukan saja perang senjata, tetapi perang perdagangan, perang perasaan dan perang kesetiaan. Semuanya dicampur dan digarap dengan indah sekali. Akhirnya tidak lupa, pastinya kepada Mori yang terus berdiri dan setia sebagai Lodra Perang Kota Nashan. "Dan dengan izin Tuhan, aku pasti bersamamu kelak, berdiri tinggi di hadapan seteru."

Imperia, Kronika Nashan



Resensi Novel: Commando In Action

 


Tajuk: Commando in Action
Penulis: Dhiya Zafira
Penerbit: Poreng Kertas Publication
Tahun Terbit: 2020

Kali ini kisah difokuskan kepada Eddie dan Aufa. Kesian dengan Eddie, selama ini dia memendam rasa, tiada siapa yang tahu.

Kalau anda pernah baca novel-novel sebelum ini, anda pasti tahu kisah brotherhood antara Jimmy, Rif, Eddie, Helmi dan Luqman. Mereka berlima ini ada macam-macam kisah dan perangai tetapi itulah kekuatannya. Setiap kali berkumpul pasti ada acara bahan membahan (tak tahan betul).

Salah satu dialog, membahan Eddie.

"Dia main pandang-pandang pula dah. Aku rasa kita bincang dengan Sid ajelah nanti. Tunggu Romeo ni, tak habis kerja kita."

Untuk novel kali ini, saya rasa watak Hayat antara yang berjaya mencuri tumpuan. Kisahnya tidak banyak, tapi setiap kali muncul meninggalkan kesan di minda.

“Tak adalah, aku cuma nak cakap, hari ni dah 15 hari bulan.”
“Maka?” Darah Eddie semakin menyirap.

Satu lagi yang mencuri tumpuan adalah perkataan “Maka” … perkataan yang jarang digunakan dalam perbualan, tapi bila digunakan amat menarik kesannya.

Jika ditanya (saya bagitahulah, walaupun takde orang tanya), kisah Rif dan Afi masih tetap menjadi kisah paling tragis. Namun kisah Eddie dan Aufa ada aura tersendiri serta masih mampu mengugat emosi saya.

Sejak novel Jauh Kau Pergi, saya memang dah terjatuh cinta dengan novel thriller ala commando ini. Cuma saya geram sangat dengan Aufa, dah cakap kan, duduk diam-diam dalam bilik di atas sampai kena seru. Tapi degil…nasib baik tak ada depan mata, kalau tak saya dah cubit-cubit Aufa sebab degil tak kena tempat.

Kalau dalam novel Jauh Kau Pergi, Rif paksa Afi turun dari apartment bukan guna lif tapi rappelling. Dalam novel Commando In Action pula, Eddie minta Aufa ikut bumbung dan terjun ke bawah untuk selamatkan diri.


Sedutan cerita

Jeneral Hamzah meminta Eddie untuk berjumpa dengannya. Alasannya kerana Aufa. Eddie mula berbelah bagi sama ada mahu menemuinya atau tidak. Jeneral tua itu adalah individu yang dibenci. Berjumpa dengannya seperti merobek kembali luka lama.

Kasihnya pada Aufa tidak pernah berkurang, hanya dia yang tahu kebenaran tentang perpisahan mereka. Apabila nama Aufa disebut, bohonglah sekiranya hati Eddie tidak goyah.

Mereka bertemu kembali dalam keadaan yang tidak disangka. Mampukah Eddie meraih semula cintanya yang hilang? Apakah sebenarnya yang terjadi pada Aufa?