Buku terjemahan terbaru Sherlock Holmes kembali lagi. Kali ini, empat lagi kisah jenayah misteri bakal disiasat oleh Sherlock dan Watson. Sherlock tidak pernah melepaskan peluang untuk menegakkan keadilan dengan membantu pihak polis mencari penjenayah sebenar.
Dalam buku terbaru ini, empat kisah tersebut adalah:
1. Pembunuhan Di Wisteria Lodge
2. Misteri Kotak Kadbod
3. Misteri Kumpulan Lingkaran Merah
4. Kisah Detektif Yang Nazak
Sekali lagi Sherlock menggunakan kepintarannya untuk menyelesaikan misteri yang aneh ini. Ilmu pengetahuan adalah kunci untuk menyelesaikan masalah. Bila kita membaca kisah siasatan ini, dapat kita lihat yang Sherlock mempunyai banyak ilmu pengetahuan yang membantu beliau dalam meneliti setiap butiran kes.
Untuk kisah pertama, misteri pembunuhan itu kelihatan seperti berjaya diselesaikan bila polis membuat pengumunan di akhbar bahawa penjenayah sudah berjaya diberkas. Rupanya itu hanya sandiwara. Misteri sebenar terungkai dan ia ada berkaitan dengan Sang Harimau San Pedro.
Seperti dalam kes Misteri Kotak Kadbod, pihak polis pada awalnya buntu kerana tidak mempunyai apa-apa bukti untuk meneruskan siasatan. Sherlock telah pergi ke tempat kejadian untuk melihat kembali kotak kadbod yang diterima mangsa. Kemudian Sherlock menemui beberapa petunjuk untuk mencari punca sebenar kepada misteri itu.
Dalam kisah ke-3, selepas berjaya menyelesaikan misteri kes tersebut, Sherlock berkata "Demi pendidikan, Gregson, demi pendidikan. Saya masih mencari ilmu dalam universiti kehidupan." Ya, ilmu itulah perkara pokok yang penting dalam apa juga bidang.
Sesuatu yang mengejutkan terjadi dalam cerita terakhir. Sherlock Holmes jatuh sakit! Oh, apa yang terjadi kepada Sherlock. Dia dijangkiti oleh satu penyakit misteri. Matanya menjadi merah, tubuhnya kurus dan tiada selera untuk makan. Watson begitu risaukan keadaannya dan lebih parah Sherlock tidak mahu berjumpa dengan doktor. Adakah dia akan pulih? Anda perlu baca kisahnya dalam Kisah Detektif yang Nazak.