Monday, September 20, 2021

KEKOK: Bagaimana Untuk Mendengar, Memahami & Memberi Respons Apabila Perlu



Judul: K.Ek.Ok - Bagaimana Untuk Mendengar, Memahami & Memberi Respons Apabila Perlu
Penulis: Akif Basri
Penerbit: Iman Publication
Tahun Terbit: 2021

Bila melihat judul buku ini, saya tertanya-tanya,  apa yang kekok?

Kemudian baru saya perasan, K, Ek, Ok adalah antara singkatan teks mesej yang selalu digunakan bila berkomunikasi di alam maya.

Judulnya yang unik menjadi salah satu tarikan untuk saya membaca buku ini. Seperti tajuknya, isi kandungannya juga amat menarik. Apa yang dijelaskan bertepatan dengan kehidupan harian sama ada kita menyedarinya atau tidak.

Buku ini secara keseluruhan menjelaskan bagaimana cara untuk memdengar, memahami dan memberi respons dalam situasi tertentu. KEKOK menumpukan pada situasi di mana seseorang yang mempunyai masalah atau menghadapi tekanan ingin mencari seseorang yang boleh menjadi pendengar kepada isu yang sedang dihadapinya.
Bila membaca buku ini, kita boleh ada dalam situasi watak si peluah atau kita juga boleh jadi dalam watak si pendengar. Kedua-duanya relevant. Saya rasa kita semua pernah berada dalam kedua-dua situasi tersebut. Ada beberapa perkara penting yang perlu kita fahami sebelum memberi respons.
  • Empati bukan simpati.
  • Kenal pasti posisi kita.
  • Keberadaan bukan kesempurnaan.
  • Semua jenis emosi penting dan ada tujuan tersendiri.
  • Usah samakan situasi si peluah dengan situasi kita. Setiap orang berbeza, walaupun kadang kala masalahnya seakan sama.
  • Fokus kepada cerita si peluah


Siapa orang yang akan dia pilih sebagai pendengar?

Pastinya orang yang rapat dan dia percaya. Ini dijelaskan oleh penulis dalam konsep bulatan. Jadi sebagai pendengar, kita perlu tahu di mana posisi kita. Ini penting, kerana posisi ini menentukan bagaimana kita memberi reaksi.
Apa yang diharapkan oleh si peluah?
Mereka perlukan empati bukan simpati atau penyelesaian kepada masalah yang diceritakan. Si pendengar perlu cuba memahami masalah itu dari perspektif si peluah.
Kemudian, si pendengar perlu fokus kepada si peluah. Keberadaan itu penting untuk memberi tahu si peluah yang anda ada untuknya.


Selain daripada itu, buku ini turut menjelaskan dengan contoh-contoh situasi dan bagaimana kita memberikan respon kepada soalan dalam keadaan yang tertentu.

Bahagian kedua, penulis menjelaskan tentang "Komunikasi di Alam Maya" Bahagian ini yang amat bertepatan dengan situasi semasa.

Sekarang, nak jumpa secara berhadapan agak sukar. Jadi medium alam maya adalah cara komunikasi paling sesuai. Namun, ada banyak situasi boleh mengakibatkan salah faham. Bila tidak nampak muka orang yang kita sedang bercakap, tidak lihat riak wajahnya, jadi kurang emosi dalam setiap patah kata itu.
Bila kita menggunakan teks, tafsiran setiap orang pada intosani ayat, memek muka (emoji) mungkin berbeza dengan apa yang kita cuba sampaikan. Ada orang balas teks cepat, ada orang balas lambat. Contoh seperti Whatsapp, ada berapa banyak group yang kadang kala menyumbang pada kelewatan sesuatu mesej dibalas.

Sebuah buku yang memberi banyak input asas tentang cara untuk kita mendengar, memahami dan memberi respons apabila perlu. Mana-mana kesilapan yang kita lakukan sekarang, boleh diperbetulkan. Semoga akan membantu kita menjadi seorang sahabat, kawan, ahli keluarga dan masyarakat yang lebih baik.