Showing posts with label hikayat satria satria sejati. Show all posts
Showing posts with label hikayat satria satria sejati. Show all posts

Wednesday, January 27, 2021

Resensi Buku: Siri Hikayat Satria Satria Sejati

 


SIRI HIKAYAT SATRIA SATRIA SEJATI

Penulis: Hilal Asyraf
Penerbit: Hilal Asyraf Resource

Tajuk-tajuk dalam siri  ini:

BUKU 1 - Hikayat Satria Satria Sejati : Generasi Baru [2017]
BUKU 2 - Hikayat Satria Satria Sejati : Arus Perubahan [2018]
BUKU 3 - Hikayat Satria Satria Sejati : Badai Perjuangan [2019]
BUKU 4 - Hikayat Satria Satria Sejati : Samudera Pengorbanan [2020]
BUKU 5 - Hikayat Satria Satria Sejati : Generasi Pejuang [2020]

Siri ini mengisahkan perjuangan sekumpulan anak muda menentang pemerintahan kejam Maharaja Luttelo. Sebuah kisah fiksyen yang bakal mengegarkan minda anda dengan plot twist yang tidak dijangkakan.

Pendapat saya siri novel fiksyen ini sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat tidak kira kanak-kanak, remaja atau orang dewasa. Mengapa saya katakan demikian? Isi kandungan kisahnya banyak memberikan pengajaran serta contoh yang baik tentang keindahan islam. Selain itu, novel ini juga turut menekankan tentang kehidupan dan perjuangan seorang muslim. 



BUKU 1  - Hikayat Satria Satria Sejati : Generasi Baru

Ariki merupakan anak angkat Maharaja Lutello. Dia tidak pernah setuju dengan cara hidup yang diamalkan oleh ayah angkatnya itu. Walaupun ketika itu, Ariki bukan seorang muslim tetapi dia tidak gemar dengan apa yang dilihatnya setiap hari. Akhirnya, Ariki mengambil keputusan untuk melarikan diri dari istana. 

Langkah Ariki untuk keluar dari istana ibarat satu penghijrahan dalam hidupnya. Ketika melarikan diri dari dikejar tentera-tentera istana, Ariki bertemu dengan Aifer dan ayahnya Kabeer. Ariki mula mengenali sisi kehidupan keluarga muslim itu. Setelah yakin, Ariki memeluk islam dengan bimbingan Kabeer.

Kita boleh mengambil pengajaran daripada kisah hijrah Ariki. Ketika di istana, dia merasa kosong lalu dia mengambil keputusan keluar dari sana. Setelah itu, dia menemui apa yang dicari dan mendapat hidayah untuk memeluk islam. Ariki turut bertemu dengan teman-teman  yang akan menjadi tulang belakang bagi perjuangan yang panjang ini.


BUKU 2 - Hikayat Satria Satria Sejati : Arus Perubahan

Perjuangan Ariki dan teman-temannya diteruskan. Mereka dalam perjalanan untuk mencari Ishmakil salah seorang Satria Sejati di Mastazadi. Perjalanan ini menemukan mereka dengan Maharaja Arata. Mereka telah ditangkap. Maharaja Arata memberikan syarat sekiranya mereka ingin dibebaskan. 

"CABARAN HUTAN LEGANDA"

Mereka perlu menyahut cabaran ini. Sekiranya berjaya keluar dari hutan itu dalam keadaan bernyawa, mereka akan dibebaskan.

Ariki dan teman-temannya tidak mempunyai pilihan selain menerima cabaran tersebut. Mereka langsung tidak tahu apa yang akan dihadapi. Apa yang perlu dilakukan adalah masuk ke dalam hutan dan mencari sebuah gua yang terletak di puncak gunungnya. 

Buku ke-2 ini kita dapat melihat semangat setia kawan antara mereka semua. Mereka bekerjasama menempuh apa juga halangan yang ditemui ketika berada dalam hutan itu. Setiap dari mereka menggunakan kemahiran agar dapat saling melindungi. Kerjasama penting, apa juga kesusahan akan dapat diatasi jika kita saling bekerjasama.


BUKU 3 - Hikayat Satria Satria Sejati : Badai Perjuangan

Pertarungan sengit dengan Mahajara Lutello dan wiraman Mukan'Aja menyebabkan Ariki cedera parah. Ariki koma selama 6 bulan sebelum sedar semula. Sesuatu yang misteri berlaku bila Ariki kehilangan kemahiran mengawal unsur. 

Berita tentang Maharaja Lutello cuba menjalinkan hubungan dengan kerajaan Uluwalu sampai ke pengetahuan Maharaja Arata. Kerjasama itu perlu dibendung untuk mengelakkan kemusnahan yang lebih besar. Jika Lutello berjaya menguasai teknologi Uluwalu, kekuatannya akan bertambah. 

Ariki, Aifer, Yusuf, Gidaya dan Ishmakil telah diutuskan ke Uluwalu bagi menyekat kerjasama tersebut. Ketibaan mereka di sana terlewat. Mereka turut dikejutkan dengan satu lagi rahsia tentang Yusuf. 

Manakala Runihara dan Jilani pula dalam perjalanan ke Tanah Suci untuk mencari Mikail serta mendapatkan penjelasan tentang apa yang berlaku ketika pertempuran dengan Maharaja Lutello. Sesuatu di luar jangkaan terjadi bila mereka berdua sampai ke Tanah Suci. 

Buku ke-3 ini sememangnya mendebarkan. Badai perjuangan semakin dirasai. Ariki perlu belajar menerima kehilangan kerana perjuangan mereka ini berisiko tinggi. Selain itu, keimanan mereka turut diuji dengan lebih hebat. Pelbagai halangan dan perkara tidak dijangkakan terjadi.



 BUKU 4 - Hikayat Satria Satria Sejati : Samudera Pengorbanan

Segala persiapan sudah mereka lakukan. Maharaja Arata meminta Ariki untuk meneruskan latihannya bagi menguasai Seni Tempur Maharaja. Keadaan makin genting bila pasukan tentera Mukan'aja sudah mula berkampung berhampiran Mastazadi. Tentera elit Mukan'aja berterusan melancarkan serangan gerila untuk melemahkan pertahanan Mastazadi.  Maharaja Arata dan bonda Ariki sepertinya mempunyai rancangan tersendiri. 

Tajuk buku ke-4 ini turut memberi gambaran secara keseluruhan apa yang terjadi dalam episod kali ini. Setiap perjuangan itu memerlukan pengorbanan yang besar. Setiap pengorbanan itu tidak akan sia-sia kerana dilakukan demi Allah SWT. Sekiranya gugur dalam perjuangan menegakkan sinar islam ini, insan tersebut pasti gembira kerana itulah kematian yang diharapkan. Gugur sebagai seorang yang syahid dalam perjuangan demi agama Allah SWT.



BUKU 5 - Hikayat Satria Satria Sejati : Generasi Pejuang

TAMAT. THE END. 

Buku ke-5 merupakan penutup kepada kisah perjuangan Ariki yang panjang. Bila habis membaca buku ke-4, saya mengerti mengapa penulis menerbitkan 2 buku terakhir ini sekaligus. Jelas, buku ke-4 sebenarnya tiada penamat yang menenangkan. Sekiranya buku ke-5 tidak terbit sekali, maka gelisahlah si pembaca. 

Penantian itu pasti satu penyeksaan. Buku ke-4 ditamatkan dengan satu tanda tanya yang besar. 

Buku ke-5 ini bakal menghidangkan peperangan terakhir dan merupakan perang paling epik antara Maharaja Lutello dan Ariki. 

Dengan sokongan tentera Tanah Suci dan Bustanati, kekuatan pasukan Ariki bertambah. Jeneral-jeneral berpengalaman dari kedua-dua negara turut sama memimpin pasukan tentera masing-masing. Mereka bergabung bagi menentang tentera dari Mukan'Aja. Peperangan yang dahsyat bakal berlaku.


KESELURUHAN

Pendapat saya, secara keseluruhan siri Hikayat Satria Satria Sejati amat memuaskan. Siri ini memberikan pembaca dua manfaat secara serentak iaitu keseronokan dan ilmu yang berguna. 

Setiap elemen diolah dengan baik sepanjang perjalanan cerita. Turut diselitkan nasihat-nasihat yang berguna mengikut situasi yang terjadi. Susun atur cerita juga tidak bercelaru. Cliff-hanger yang baik menyebabkan pembaca tidak senang duduk. 

Jujurnya, pembacaan saya diiringi debaran sepanjang masa. Rasa seperti tidak sempat hendak menarik nafas. Terutama untuk dua buah buku terakhir. Jalan ceritanya lebih pantas. 

Saya turut kagum dengan budaya yang diwujudkan dalam cerita ini. Terutamanya negara Bustanati yang digambarkan seperti sebuah tempat di asia (rasa seperti di Melaka pada zaman dahulu kala).

Apabila membaca buku ini, pembaca bukan saja dihidangkan dengan aksi mendebarkan tetapi kita juga diberikan pengisian jiwa. 

Akhir kata, tahniah tuan penulis kerana berjaya menghasilkan karya fiksyen sebegini rupa. Karya yang mampu membangunkan jiwa.