Showing posts with label Ungu Karmila. Show all posts
Showing posts with label Ungu Karmila. Show all posts

Wednesday, June 20, 2018

Resensi Novel Thriller : Ungu Karmila


Tajuk: Ungu Karmila
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Genre: Misteri Thriller

Sinopsis

Arif dan Karmila merupakan pasangan suami isteri yang bahagia. Gelak tawa sentiasa menghiasi hidup mereka. Arif telah menghadiahkan sebuah vila indah sebagai tanda cintanya kepada Karmila. Namun, langit tidak selalu cerah, peristiwa ngeri telah memusnahkan kegembiraan mereka.

Sejak peristiwa itu, vila itu dibiarkan sepi dan tiada penghuni. Penduduk setempat percaya, vila itu berhantu dan ada roh jahat yang mengawalnya. Jikon, seorang pemuda orang asli telah memberanikan diri masuk dan akhirnya dia menjadi korban vila itu yang pertama. 

Kejadian itu telah menguatkan lagi misteri vila berhantu, tidak ada sesiapa yang berani menghampirinya. Ema, adik kepada Jikon berfikir sebaliknya. Dia tidak percaya akan kewujudan hantu, dan dia cuba merungkai misteri Vila Sunyi. 


Komen

Novel ini memaparkan kisah misteri tentang sebuah vila terletak di Cameron Highlands. VILA SUNYI itulah namanya. Sesunyi suasana di sekeliling, vila ini menyimpan seribu misteri yang belum mampu dirungkai oleh sesiapa pun.

Novel ini menceritakan kisah dan tanggapan masyarakat luar tentang apa yang pernah terjadi di vila tersebut. Aku suka tulisan tuan RAM kerana karyanya ditulis dari banyak sudut pandangan. Beliau tidak menulis kisah yang hanya fokus kepada satu konflik sahaja atau kisah sebuah keluarga. Karya ini adalah kisah sebuah masyarakat.

Terdapat juga ilmu yang dikongsikan seperti ilmu bioteknologi bila RAM menjelaskan tentang teknik kacukan bunga dan penjelasan tentang misteri bunga kacukan hutan tersebut. Watak Dr. Ismadi banyak memainkan peranan dalam menjelaskan ilmu bioteknologi ini.

Dalam nukilan ini ada kisah bekas banduan, ada kisah masyarakat orang asli, ada kisah budak jalanan dan ada kisah adik beradik Arif dan Arafat.

Kisah Arif dan Karmila menjadi titik tolak kepada peristiwa ngeri yang terjadi di Vila Sunyi. Misteri yang cuba dirungkai oleh Ema dan Arafat. Ema mencari jawapan kepada kematian abangnya Jikon. Manakala Arafat percaya yang adiknya Arif bukan pembunuh.

Misteri ini menemukan semula Dino dan Bado yang dahulunya budak jalanan yang bermusuhan. Konflik semakin parah dan Vila Sunyi seperti telah dibangkitkan.

Cuma aku rasa, konflik Dino dan Bado boleh dikembangkan lagi. Kisah lampau mereka sebagai budak jalanan agak sedikit dan sebab pada permusuhan mereka kurang dirasai. Kisah mereka berdua antara konflik penting yang menghidupkan lagi kisah dan misteri ungu karmila. Bila otak mereka mula diracun, dendam lalu mula menghantui mereka. Jadi konflik yang kuat penting untuk membangkitkan rasa dendam yang mendalam.

"Ia makan untuk hidup tetapi ia tak pernah minum." - Ungu Karmila


"Books are the mirrors of the soul." - Virginia Woolf