Monday, December 26, 2016

Novel Thriller : A.D.A.M

Tajuk: A.D.A.M - Aku Darah Anak Malaysia
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Penerbit: ALAF 21
Cetakan Pertama : 2002

Sinopsis:

Bila Hilman dapat bertemu dengan anaknya Jeslina di New York setelah berbelas tahun terpisah, mereka berasa begitu bahagia. Namun, keriangan mereka diragut bila kereta yang mereka naiki terlibat dengan satu kemalangan jalan raya.

Jeslina koma sementara Hilman pula dituduh memandu dalam keadaan mabuk. Dalam situasi genting itu, muncul Mia Sara, seorang petugas di Kedutaan Malaysia, Washington D.C. Melalui bantuannya, Hilman dinasihatkan ke mahkamah untuk mendapat keadilan.

Namun, bila satu konspirasi untuk menutup kemalangan itu diketahui Hilman, dia mengambil keputusan untuk mencari kebenaran dengan caranya.

Sebagai seorang penembak tepat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia, survival adalah mainan hidupnya. Siasatannya terhadap konspirasi kemalangan itu akhirnya membawa beliau ke pintu White House!

Dan, Hilman tidak sekali-kali terpaku dihadapan pintu itu...





Ringkasan cerita dari bacaan saya:

Hilman seorang pegawai polis berpangkat ASP yang telah lama berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia. Kisah kecemerlangannya memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Pernah menyertai pasukan pengaman antarabangsa (UNPROFOR) dan seorang sharp-shooter yang pernah bertempur secara combat. 

Kisah hidup Hilman tidak selancar kerjayanya. Dia berkahwin dengan Haslina anak Datuk Harun. Mentuanya tidak menyukai Hilman tapi demi anak kesayangan mereka Haslina, pernikahan itu diteruskan jua. Kebahagiaan tidak berpanjangan apabila isteri tersayang meninggal dunia ketika melahirkan puteri sulung mereka Jeslina.

Selepas berbelas tahun terpisah, akhirnya Hilman dipertemukan jua dengan anaknya Jeslina di Kota New York. Nor Alia banyak membantu memberitahu perkembangan Jeslina kepada Hilman. Itu sajalah penghubung mereka selama berbelas - belas tahun ini.

Di New York bahagia yang dikecapi hanya sementara. Kemalangan itu menjerat Hilman ke dalam satu konspirasi yang tidak dijangka. Dia dijadikan kambing hitam untuk menutup pesalah sebenar kes kemalangan tersebut. 

Datuk Harun bergegas ke New York setelah mengetahui kejadian itu. Kemarahanya meluap - luap bila mendapat tahu Hilman ada bersama - sama Jeslina dan Nor Alia. Segala kesalahan diletakkan ke atas Hilman tanpa ingin mendengar penjelasan dari Nor Alia.

Dalam kekalutan yang melanda, muncul Mia Sara  bersama rakannya Gabriel menghulurkan bantuan. Mia Sara telah lama mengikuti perkembangan Hilman dan kemalangan itu benar - benar mengejutkannya. Nekad Mia Sara, pasti Hilman akan dibebaskan daripada terus menjadi mangsa konspirasi ini. Ini adalah balasan terbaik untuk apa yang telah Hilman berikan kepadanya ketika dia kecil dahulu. 

Hilman nekad, dia tidak bersalah. Dia akan menggunakan segala kepakaran yang dia ada untuk menyiasat kejadian sebenar. Apa yang pasti, dia tidak akan percaya kepada sesiapa pun. Dia akan mencari siapa yang memandu kereta sport yang telah merempuh keretanya dan menyebabkan kemalangan itu.

Siapakah pesalah sebenar dalam kes kemalangan ini? Siapakah dalang yang terlibat? Mengapa pesalah sebenar perlu dilindungi? Apakah rahsia sebenar di sebalik kejadian ini? 




Semua ini akan terjawab dalam novel Thriller ADAM. Sebuah novel yang memang menjadi kegemaran saya. Anda pasti tidak akan kecewa. 

Selamat membaca!!!