Wednesday, September 27, 2023

Ulasan Novel : Kota Tanpa Langit


Judul: Kota Tanpa Langit

Penulis : Osman Deen

Penerbit: Gempak Starz / Magic Bean


Kota Satira sebuah kota yang indah, tetapi keindahan dan kedamaiannya sering terganggu dengan kejahatan oleh Gelita. 

Gelita dan koncu-koncunya sering merompak dan menyamun. Kehadiran Solaris dan Marak berjaya mematahkan setiap rancangan Gelita tetapi masih gagal menangkapnya. 

Surya dan Raka merupakan rakan sekerja di Stesen Hikayat. Sebuah kedai buku dan merangkap perpustakaan di Kota Satira. Hubungan mereka baik dan rapat. Raka adalah orang kepercayaan Surya. 

Pada Surya dan Raka, Kota Satira adalah tempat lahir mereka, rakan-rakan dan masyarakat sekeliling adalah hidup mereka, tetapi ada satu rahsia besar yang mereka tidak ketahui tentang Kota Satira. 

Kejadian itu menjadikan Surya dan Raka merasa ganjil. Mengapa orang yang mereka jumpa seperti bercakap perkara yang sama, berkata-kata seperti tiada rasa dan orang yang tidak pernah ditemui mengenali mereka.  

Konflik di Pusat Perintah makin gawat. Nek Da secara terang-terangan mengugut Jefri Nin. Nek Da tidak bersetuju dengan cara Jefri Nin menguruskan semua benda, semuanya menanti masa untuk hancur. Konflik dan perebutan kuasa semakin meruncing. 

Kota Tanpa Langit, sebuah cerita dalam cerita. Kebenaran dalam kepalsuan. Realiti dalam fantasi. Cerita mereka yang berusaha meneruskan hidup walau apa pun realiti yang perlu dihadapi. 

Secara keseluruhan, jalan cerita baik. Pada dua bab awal, saya sedikit keliru dengan watak yang wujud. Setelah pembacaan dilanjutkan, saya mula dapat mengikuti rentak kisah ini. Cumanya, saya rasa agak sedikit kurang dengan reaksi bila Surya dan Raka mengetahui rahsia itu. Sepertinya agak mudah mereka menerima penjelasan tersebut. Mungkin saya mengharapkan emosi yang lebih kuat dapat ditonjolkan oleh mereka. 

Terdapat juga iklan product placement yang penulis masukkan. Bijak ya. Mulanya saya fikir, perlu ke sebut jenama barang dan produk makanan tu, kemudian baru faham sebabnya 😄. Drama-drama sekarang kan memang banyak product placement. 

Novel yang menggabungkan elemen aksi, drama, persahabatan dan realiti kehidupan. Kadangkala, apa yang kita nampak tak semestinya benar, apa yang kita dengar tak semestinya betul. 

Kota Tanpa Langit - hidup ini sulit, terus kuat untuk menempuhnya.

Wednesday, September 20, 2023

Lama menyepi, sudah hilang serinya.

 Lama.


Sudah terlalu lama, aku biarkan blog ini sepi.

Sepi dari coretan dan perkongsian aku tentang buku-buku yang sudah dibaca. Menarik atau tidak buku itu, apa kisahnya dan perasaan ketika membacanya.

Jujurnya, aku rindu untuk menulis kembali perkongsian yang panjang. Dalam satu buku, ada macam-macam perkara yang ingin aku ceritakan. Tapi, aku sudah seperti hilang sesuatu. Tidak lagi mampu menulis dengan panjang berjela. Pendek-pendek saja review aku sekarang. Itu pun hanya di Instragram atau GoodReads sahaja.

Bila aku baca semula coretan lama, aku terfikir, bagaimana dulu aku bisa menulis panjang begitu. Mesti ada sesuatu yang memotivasikan aku untuk melakukannya. Mungkin motivasi itu sudah hilang ditelan masa atau tertinggal di suatu tempat yang jauh. 

Begitulah, kadang kala bila hidup sudah semakin dewasa, makin sibuk tanpa tahu mengapa. 

Aku kembali ke sini, ingin cuba menulis lagi. Ingin cuba berkongsi lagi, tentang buku-buku menarik yang ada diluar sana. Mampukah aku meneruskan usaha ini? Aku tidak tahu, tapi aku akan terus mencuba.

Buku ada bermacam-macam jenis, genre dan isi kandungannya. Membaca buku membuatkan aku merasa tidak pernah cukup. Membaca membuatkan aku lebih mengenali dunia yang luas ini. Membaca juga membuatkan aku ingin terus meneroka buku-buku di luar sana.


Apa kata kita meneroka dunia buku ini bersama-sama.


Sampai jumpa lagi.


Monday, September 20, 2021

KEKOK: Bagaimana Untuk Mendengar, Memahami & Memberi Respons Apabila Perlu



Judul: K.Ek.Ok - Bagaimana Untuk Mendengar, Memahami & Memberi Respons Apabila Perlu
Penulis: Akif Basri
Penerbit: Iman Publication
Tahun Terbit: 2021

Bila melihat judul buku ini, saya tertanya-tanya,  apa yang kekok?

Kemudian baru saya perasan, K, Ek, Ok adalah antara singkatan teks mesej yang selalu digunakan bila berkomunikasi di alam maya.

Judulnya yang unik menjadi salah satu tarikan untuk saya membaca buku ini. Seperti tajuknya, isi kandungannya juga amat menarik. Apa yang dijelaskan bertepatan dengan kehidupan harian sama ada kita menyedarinya atau tidak.

Buku ini secara keseluruhan menjelaskan bagaimana cara untuk memdengar, memahami dan memberi respons dalam situasi tertentu. KEKOK menumpukan pada situasi di mana seseorang yang mempunyai masalah atau menghadapi tekanan ingin mencari seseorang yang boleh menjadi pendengar kepada isu yang sedang dihadapinya.
Bila membaca buku ini, kita boleh ada dalam situasi watak si peluah atau kita juga boleh jadi dalam watak si pendengar. Kedua-duanya relevant. Saya rasa kita semua pernah berada dalam kedua-dua situasi tersebut. Ada beberapa perkara penting yang perlu kita fahami sebelum memberi respons.
  • Empati bukan simpati.
  • Kenal pasti posisi kita.
  • Keberadaan bukan kesempurnaan.
  • Semua jenis emosi penting dan ada tujuan tersendiri.
  • Usah samakan situasi si peluah dengan situasi kita. Setiap orang berbeza, walaupun kadang kala masalahnya seakan sama.
  • Fokus kepada cerita si peluah


Siapa orang yang akan dia pilih sebagai pendengar?

Pastinya orang yang rapat dan dia percaya. Ini dijelaskan oleh penulis dalam konsep bulatan. Jadi sebagai pendengar, kita perlu tahu di mana posisi kita. Ini penting, kerana posisi ini menentukan bagaimana kita memberi reaksi.
Apa yang diharapkan oleh si peluah?
Mereka perlukan empati bukan simpati atau penyelesaian kepada masalah yang diceritakan. Si pendengar perlu cuba memahami masalah itu dari perspektif si peluah.
Kemudian, si pendengar perlu fokus kepada si peluah. Keberadaan itu penting untuk memberi tahu si peluah yang anda ada untuknya.


Selain daripada itu, buku ini turut menjelaskan dengan contoh-contoh situasi dan bagaimana kita memberikan respon kepada soalan dalam keadaan yang tertentu.

Bahagian kedua, penulis menjelaskan tentang "Komunikasi di Alam Maya" Bahagian ini yang amat bertepatan dengan situasi semasa.

Sekarang, nak jumpa secara berhadapan agak sukar. Jadi medium alam maya adalah cara komunikasi paling sesuai. Namun, ada banyak situasi boleh mengakibatkan salah faham. Bila tidak nampak muka orang yang kita sedang bercakap, tidak lihat riak wajahnya, jadi kurang emosi dalam setiap patah kata itu.
Bila kita menggunakan teks, tafsiran setiap orang pada intosani ayat, memek muka (emoji) mungkin berbeza dengan apa yang kita cuba sampaikan. Ada orang balas teks cepat, ada orang balas lambat. Contoh seperti Whatsapp, ada berapa banyak group yang kadang kala menyumbang pada kelewatan sesuatu mesej dibalas.

Sebuah buku yang memberi banyak input asas tentang cara untuk kita mendengar, memahami dan memberi respons apabila perlu. Mana-mana kesilapan yang kita lakukan sekarang, boleh diperbetulkan. Semoga akan membantu kita menjadi seorang sahabat, kawan, ahli keluarga dan masyarakat yang lebih baik.