Tuesday, September 7, 2021

Siri Penyiasatan Popular Sherlock Holmes versi Bahasa Melayu

 



Buku terjemahan terbaru Sherlock Holmes kembali lagi. Kali ini, empat lagi kisah jenayah misteri bakal disiasat oleh Sherlock dan Watson. Sherlock tidak pernah melepaskan peluang untuk menegakkan keadilan dengan membantu pihak polis mencari penjenayah sebenar.

Dalam buku terbaru ini, empat kisah tersebut adalah:

1. Pembunuhan Di Wisteria Lodge
2. Misteri Kotak Kadbod
3. Misteri Kumpulan Lingkaran Merah
4. Kisah Detektif Yang Nazak

Sekali lagi Sherlock menggunakan kepintarannya untuk menyelesaikan misteri yang aneh ini. Ilmu pengetahuan adalah kunci untuk menyelesaikan masalah. Bila kita membaca kisah siasatan ini, dapat kita lihat yang Sherlock mempunyai banyak ilmu pengetahuan yang membantu beliau dalam meneliti setiap butiran kes.

Untuk kisah pertama, misteri pembunuhan itu kelihatan seperti berjaya diselesaikan bila polis membuat pengumunan di akhbar bahawa penjenayah sudah berjaya diberkas. Rupanya itu hanya sandiwara. Misteri sebenar terungkai dan ia ada berkaitan dengan Sang Harimau San Pedro.

Seperti dalam kes Misteri Kotak Kadbod, pihak polis pada awalnya buntu kerana tidak mempunyai apa-apa bukti untuk meneruskan siasatan. Sherlock telah pergi ke tempat kejadian untuk melihat kembali kotak kadbod yang diterima mangsa. Kemudian Sherlock menemui beberapa petunjuk untuk mencari punca sebenar kepada misteri itu.

Dalam kisah ke-3, selepas berjaya menyelesaikan misteri kes tersebut, Sherlock berkata "Demi pendidikan, Gregson, demi pendidikan. Saya masih mencari ilmu dalam universiti kehidupan." Ya, ilmu itulah perkara pokok yang penting dalam apa juga bidang.

Sesuatu yang mengejutkan terjadi dalam cerita terakhir. Sherlock Holmes jatuh sakit! Oh, apa yang terjadi kepada Sherlock. Dia dijangkiti oleh satu penyakit misteri. Matanya menjadi merah, tubuhnya kurus dan tiada selera untuk makan. Watson begitu risaukan keadaannya dan lebih parah Sherlock tidak mahu berjumpa dengan doktor. Adakah dia akan pulih? Anda perlu baca kisahnya dalam Kisah Detektif yang Nazak.

Wednesday, September 1, 2021

Resensi Buku: Putera Kecil

 



Tajuk: Putera Kecil

Penterjemah: Azzah Abdul Rahman

Penerbit: Biblio Press


Terjemahan dari karya The Little Prince, karya asal bertajuk Le Petit Prince yang ditulis oleh Antoine de Saint-Exupery. Sebuah karya yang sudah diterjemah ke lebih 300 bahasa. Sebuah karya klasik berbahasa Perancis yang masih terus diminati di seluruh dunia.

Mengisahkan pengembaraan Putera Kecil ke beberapa planet sebelum tiba di bumi bertemu dengan seorang juruterbang yang terkandas di sebuah gurun. Si juruterbang itu sedang cuba membaiki pesawatnya, manakala Putera Kecil muncul dengan pelbagai persoalan.

Banyak kisah dalam buku ini yang bila difikirkan kembali sememangnya terjadi kepada orang dewasa. Kata Putera Kecil, orang dewasa sukakan nombor. Apakah maksud disebaliknya? Semuanya diceritakan dengan mudah dan santai melalui pengalaman pengembaraan si Putera Kecil ini.

Ketika awal pertemuan, Putera Kecil meminta si juruterbang melukiskan seekor biri-biri, tanpa berfikir panjang terus saja dilukiskan biri-biri tersebut. Namun, bukan itu yang ada dalam imaginasi Putera Kecil tersebut. Berkali-kali dilukis hingga akhirnya baru berjaya diterima oleh Putera Kecil.

Begitu juga dengan kisah seorang raja, hanya ingin kuasa dan perintahnya dituruti. Walaupun hakikatnya, tidak ada rakyat untuk diperintah. Si raja mengharapkan Putera Kecil untuk terus tinggal di planetnya dengan cuba membuat tawaran yang dirasakan menarik. Malangnya, itu bukan apa yang Putera Kecil inginkan.


Kisah si penyala lampu, bagaimana seorang itu boleh taat melakukan kerjanya dan pada masa yang sama ada rasa malas.  Satu gabungan yang pelik tetapi terjadi. Adakah taat melakukan kerja itu hanya kerana rasa tanggungjawab?

Kisah yang diceritakan penuh dengan simbolik dan maksud tersirat tentang cara berfikir setiap manusia. Mungkin apa yang saya faham akan berlainan dengan apa yang anda fahami nanti. Mungkin orang dewasa hanya berfikir secara logik atau objektif. Ataupun orang dewasa selalunya malas nak melayan pertanyaan kanak-kanak yang kadang kala kelihatan seperti tidak masuk akal. Begitulah kisah Putera Kecil, melihat setiap perkara dari perspektif yang berbeza. Setiap soalan yang ditanya oleh Putera Kecil dan jawapan yang diperolehi dari orang dewasa menunjukkan perbezaan cara setiap orang melihat sesuatu perkara.


Sebuah buku yang membawa banyak pengertiaan. Jika berkesempatan, anda boleh baca buku ini.

Sunday, August 29, 2021

Travelog: Salam Kembara Pakistan

 



Tajuk: Salam Kembara Pakistan
Penulis: Siti Noridah Ab. Rahaman
Tahun Terbit: 2018

Membaca buku tentang pengalaman pengembaraan sering mengujakan saya. Travelog ini salah satu yang memberikan perasaan itu. Pakistan mungkin satu negara yang sebelum ini tidak pernah terlintas di fikiran untuk dilawati. Tapi selepas membaca buku ini, saya asyik terbayangkan keindahan yang diceritakan penulis. Pakistan mempunyai keindahan alam yang menakjubkan.Bentuk muka buminya yang dikelilingi gunung-ganang, lembah, sungai serta tasik yang jernih. Namun, untuk melihat keindahan ini, kita perlu bertahan melalui perjalanan yang panjang. Jarak antara satu lokasi ke lokasi yang lain amat jauh. Bagaimanapun, perjalanan yang panjang itu hampir tidak dirasai kerana mata akan dijamu dengan pemandangan yang indah. Jadi kepenatan itu terubat bila melihat suasana alam sekeliling yang pasti mendamaikan. Antara tempat menarik yang dikunjungi oleh penulis seperti Lembah Ghizer, Tasik Borith, Fairy Meadow, Chitral dan beberapa tempat menarik lagi. Pengalaman penulis menuju ke Fairy Meadow antara yang paling sukar pada pandangan saya. Bermula dengan perjalanan selama 2 jam menaiki kereta, kemudian menaiki pacuan empat roda sejam setengah dan akhir sekali mendaki lebih kurang tiga jam untuk sampai ke  Fairy Meadow. Perlukan daya tahan mental dan fizikal yang kuat untuk melalui perjalanan ini. Setelah melalui liku-liku itu, semuanya terbalas dengan keindahan syurga dunia yang tiada tandingannya. Begitulah indahnya ciptaan Allah SWT. Selain itu, penulis juga turut menceritakan bahawa setiap pengembara di Pakistan perlu mendaftarkan diri di setiap check point tertentu. Contohnya ketika penulis dalam perjalanan dari Gilgit ke Mastuj melalui Shandur Pass. Bas yang penulis naiki akan berhenti di khemah polis dan penulis akan turun untuk menulis butiran diri dalam buku log yang disediakan. Mengembara memberikan banyak pengalaman yang tidak dapat dibeli. Membaca buku ini, selain dapat merasai pengalaman penulis, dapat juga sedikit sebanyak mengenali negara Pakistan dan penduduknya.

Penulis turut berkongsi gambar-gambar menarik yang diambil sepanjang kembara beliau di bumi Pakistan. Gambar-gambar ini dicetak berwarna, jadi kita turut dapat menghayati keindahan yang diceritakan oleh penulis. Mungkin satu hari nanti, bila keadaan dunia makin pulih, kita bisa mengembara kembali.