Friday, July 16, 2021

Resensi Buku: Sang Penguasa


Sang Penguasa kelihatan berkuasa tetapi ada banyak cabaran, halangan yang perlu dilalui. Mungkin setelah berkuasa, masih lagi tidak boleh leka, kerana untuk mengekalkan kuasa bukan sesuatu yang mudah.

Sang Penguasa adalah buku terjemahan daripada karya 'The Prince' oleh Niccolo Machiavelli. Sebuah karya agung yang ditulis sekitar 500 tahun yang lalu.
Buku ini mengandungi 26 bab dan setiap bab dibahagikan kepada dua - terjemahan dan syarahan.
Selepas habis membaca setiap bab, perbincangan tentang apa yang ditulis dalam bab tersebut dapat lebih difahami dengan membaca syarahan yang disertakan.
Buku ini secara keseluruhan membincangkan tentang bagaimana untuk menjadi seorang pemerintah. Setiap satu faktor dijelaskan berdasarkan peristiwa dan sejarah pemerintah lalu. Kesilapan yang dilakukan oleh penguasa terdahulu boleh dijadikan pengajaran untuk mencari cara lebih baik dalam mempertahankan wilayah yang dikuasai.
Bagaimana ingin menjadi penguasa yang hebat? Apakah cukup dengan kebijaksanaan? Punya harta berjuta? Apakah mereka yang setia hari ini akan terus kekal menyokong pada masa akan datang?
Secara keseluruhan, Sang Penguasa adalah sebuah buku yang menarik untuk dibaca. Buku ini membolehkan pembaca memahami sedikit sebanyak tentang dunia politik, cara mereka berfikir dan membuka minda kita untuk melihat sesuatu perkara dari sudut perspektif yang berbeza.

Buku ini mungkin dapat memberikan jawapan kepada soalan-soalan di atas tetapi masih bergantung kepada situasi yang dihadapi. Salah satu topik menarik adalah tentang kuasa ketenteraan. Apakah kesan bila menggunakan tentera upahan? Memohon bantuan ketenteraan daripada penguasa lain, adakah itu tindakan yang bijak?
Ada lagi satu bab yang ingin saya kongsikan. Penulis menyebut yang seorang penguasa harus tahu menggunakan kaedah manusia dan binatang. Apa agaknya maksud penulis ya. Penjelasannya anda boleh baca dalam bab 18.

Secara keseluruhan, Sang Penguasa adalah sebuah buku yang menarik untuk dibaca. Buku ini membolehkan pembaca memahami sedikit sebanyak tentang dunia politik, cara mereka berfikir dan membuka minda kita untuk melihat sesuatu perkara dari sudut perspektif yang berbeza.


Monday, July 12, 2021

Resensi Buku: Padang Bulan

 


~Enong~
Ayahnya meninggal dunia akibat kemalangan ketika mendulang timah. Dia yang amat mencintai sekolah, terpaksa berhenti kerana kejadian itu.

~Ikal~
Hubungan dengan ayahnya berantakkan gara-gara seorang gadis Tionghua bernama A Ling. Kisah cintanya makin parah bila jejaka serba sempurna bernama Zinar muncul. Lalu bermulalah episod derita dalam hidupnya.

~Detektif M.Nur~
Namanya mula menjadi terkenal bila dia berjaya menyelesaikan kes kehilangan gigi palsu Lim Phok.

Tiga watak ini mempunyai misi hidup yang tersendiri. Enong tidak pernah melupakan cintanya pada bahasa Inggeris. Kamus Satu Miliar Kata, hadiah terakhir arwah ayahnya sentiasa menemani. Enong masih gigih cuba mempelajari bahasa Inggeris.

Ikal tidak pernah putus asa untuk A Ling. Awalnya dia cuba menerima hakikat yang Zinar terlalu sempurna untuk ditewaskan oleh dia yang menggangur dan serba kekurangan. Sahabatnya M.Nur menjadi rakan dalam setiap rancangan yang diatur. Andrea bijak menambah humor dalam setiap kisah mereka secara tidak keterlaluan. Andrea juga turut menyelitkan adat budaya masyarakat dalam cerita ini.
"Love walks on two feet just like a human being. It stands up on tiptoes of insanity and misery." - Padang Bulan


Tuesday, July 6, 2021

Resensi Buku: Rehatkan Hati Dengan Solat

 

Tajuk: Rehatkan Hati Dengan Solat

Penulis: Pahrol Mohamad Judi

Penerbit: Iman Publication

Tahun Terbit: 2020

Sebuah buku yang amat bagus untuk dibaca dan difahami isi kandungannya. Buku ini boleh dijadikan rujukan serta memberikan banyak manfaat kepada pembaca.

Secara ringkasnya, buku itu disusun kepada tiga bahagian utama.
Bahagian pertama membawa pembaca mengenalpasti dan merenung semula realiti ibadah solat. Jadi kita boleh meneliti dan memahami. Ini penting kerana solat adalah tiang agama. Solat juga adalah waktu seorang muslim berhubung dengan Allah S.W.T Bahagian kedua pula menjelaskan kepada kita tentang apa itu sebenarnya ibadah solat. Adakah solat itu hanya ritual yang perlu dilakukan tanpa ada makna lain disebaliknya? Banyak perkongsian yang akan membawa kita lebih memahami tentang ibadah solat tersebut.
Untuk bahagian ketiga, diterangkan kepada kita bagaimana solat itu dapat memberi impak kepada spiritual dan sosial. Bagaimana solat yang berkesan dapat mengubah kita, memberi ketenangan dalam kehidupan.

Penyusunan isi kandungan buku ini kepada tiga bahagian amat membantu memudahkan pembacaan. Untuk menyelesaikan masalah, pastinya kita perlu kenalpasti dahulu apa masalah yang dihadapi. Jika kita tidak tahu apa masalah itu, bagaimana pula kita boleh menyelesaikannya.

Buku ini amat bermakna, saya terima sebagai hadiah #giveaway Lebih bermakna lagi, saya menerimanya pada tarikh hari lahir saya tahun lepas.

Terima kasih kepada @farahshoppee kerana memberikan sebuah buku yang bagus dan bermanfaat ini. Semoga anda sentiasa dimurahkan rezeki 😊.