Saturday, February 20, 2021

Resensi Travelog: Segelas 'Asir di Muara Nil



Tajuk: Segelas 'Asir di Muara Nil
Penulis: Ibnu Rijal
Penerbit: Karya Bestari
Tahun Terbit: 2017


Buku ini nipis, hanya mempunyai 180 muka surat, tetapi isinya sangat padat. Tidak puas rasanya membaca apa yang dikongsikan penulis.
Mesir, salah satu negara Arab yang dikenali. Tamadun Mesir antara yang terawal dan tertua di dunia. Universiti Al-Azhar pusat ilmu Islam yang tertua serta mempunyai sejarah yang agung terletak di Kota Kaherah, Mesir.
Buku ini merupakan catatan ketika penulis kembara ke Mesir. Terdapat banyak perkongsian yang menarik tentang sejarah, keadaan politik, penerapan gaya hidup islam di Mesir. Sejarah Mesir, kehebatan Piramid Giza, Terusan Suez, Tasik Qarun semuanya ada ibrah tersendiri.
Apa yang penulis coretkan banyak membuka minda saya sebagai seorang pembaca. Catatan ini merangkumi fakta, sejarah dan pandangan serta penjelasan yang baik. Setiap peristiwa, keputusan pasti mempunyai kesan dan akibat.
"AKU PERGI KE BARAT, DAN AKU TEMUI MUSLIM TANPA ISLAM, AKU PERGI KE TIMUR [NEGARA ARAB], AKU TEMUI ISLAM TANPA MUSLIM." - SYED QUTH

 

Wednesday, February 17, 2021

Resensi Novel: Philanthropists : Inspector Mislan and The Sentul Double Murder

 


Tajuk: Philanthropists
Penulis: Rozlan Mohd Noor
Tahun Terbit: 2020
Penerbit: Buku Fixi

Penceritaan penulis detail. Dari segi tugas seorang polis, bagaimana sesuatu siasatan dijalankan hingga ke jalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur. Semua dijelaskan dengan terperinci.

Penulisan yang terperinci kadang kala boleh menyebabkan rasa bosan, tapi saya tidak merasakan ketika membaca novel ini. Satu kelebihan, saya rasa.

Permulaan kisah sangat biasa, Inspektor Mislan yang bertugas pada malam itu menerima panggilan telefon tentang satu kes bunuh. Dia dan rakan setugas menuju ke lokasi untuk bertemu dengan pegawai penyiasat. Naratif penceritaan tenang, seperti memberi tahu pembaca Inspektor Mislan seorang yang berpengalaman dalam kes-kes seperti ini. Bertenang dan ikut setiap langkahnya.


Jalan ceritanya secara aksi (tembak menembak, kejar mengejar) tidak banyak, lebih kepada aksi di dalam minda. Ya, sepanjang membaca kisah ini, saya diajak untuk sama-sama menganalisis setiap maklumat berkaitan kes tersebut. Pembaca diperkenalkan dengan bagaimana seorang polis berfikir, menyiasat serta cuba membuat kaitan dalam setiap maklumat yang diperolehi.

Emosi ketika membaca kisah ini agak mendatar. Bagaimanapun saya suka dengan kerjasama antara pasukan. Superintendant Samsiah such a great leader. Cara beliau mengendalikan pasukan dan memberi arahan menyerlahkan karisma seorang ketua.

Membaca novel ini, entah mengapa saya merasakan seperti melihat realiti kehidupan di luar sana. Penceritaan yang melibatkan keadaan semasa seperti situasi pandemik menjadikan kisah ini seakan realiti. MCO, roadblock sana sini, panic buying... seem so real.

Saya ada satu masalah selepas habis membaca buku ini. Perasaan ingin tahu tentang apa yang terjadi kepada Inspektor Mislan hingga menyebabkan dia trauma. Nampaknya, perlulah mencari buku lain dalam siri ini untuk mendapatkan jawapan. 

Secara keseluruhan, saya menyukai cerita ini walaupun rentaknya agak berbeza dengan novel thriller lain yang pernah saya baca. Novel ini mempunyai aura yang tersendiri. Awal cerita mungkin sedikit perlahan tetapi cliff hanger tetap ada untuk mengikat pembaca meneruskan bacaan. Buku pertama yang saya baca hasil karya penulis dan kisah ini tidak mengecewakan. 

Tuesday, February 16, 2021

Resensi Travelog: Kuantum - Sebuah Travelog Kembara Sains

 


Tajuk: Kuantum - Sebuah Travelog Kembara Sains
Penulis: Shah Ibrahim
Penerbit: Dubook Press
Tahun Terbit: 2017

Sebuah lagi travelog yang berjaya dibaca pada bulan September yang lalu. Saya sebenarnya agak berbelah bagi untuk memiliki buku ini kerana tajuknya "Kuantum" dan taglinenya "Sebuah Travelog Kembara Sains".

Sebelum membeli buku ini, saya risau sekiranya isi kandungannya menjurus terlalu banyak tentang ilmu fizik. Maksud saya, mungkin tentang kajian yang penulis jalankan atau apa-apa perkara yang relate dengan fizik secara umum. Tajuk dan ilustrasi kulit buku ini agak kelihatan begitu 'fizik' pada pandangan saya.

"Don't judge book by it's cover" amat tepat untuk menggambarkan situasi yang saya alami.
Kuantum pada saya lebih kepada perjalanan hidup seorang insan yang menyambung pengajiannya di peringat PhD di University of Leeds. Sebuah buku itu, kita perlu baca isi kandungannya baru kita tahu apa yang dimaksudkan dengan tajuk dan tagline itu.
Penulis juga berkongsi kisah di tempat yang sempat dilawati dalam misi menyelesaikan tesis serta kajian bagi mendapatkan data untuk PhD beliau. Banyak yang penulis kongsikan dalam buku ini, bagaimana kehidupan seorang pelajar di bumi asing, budaya masyarakat di sana, kisah cintanya yang tidak kesampaian dan band muzik yang pernah penulis sertai.

Melalui kisah yang penulis kongsikan, saya dapat mengetahui banyak perkara tentang bagaimana struggle pelajar-pelajar di luar negara. Walaupun kadang kala, mereka kelihatan seronok berada di negara orang, tetapi negara sendiri juga yang lebih baik.
"Kejayaan dalam kegagalan." Anda akan tahu apa maksudnya, bila anda tamat membaca buku ini.


Pada saya, penulis mencoretkan setiap kisah dengan sepenuh hati. Saya sebagai orang yang membaca dapat merasai pengalaman yang penulis ceritakan. Seronok bila kisah itu menggembirakan, sedih pula bila ada kesukaran perlu ditempuhi.

Setelah tamat bacaan, akhirnya saya faham maksud blurb di belakang buku. Akhir kata, buku ini menarik, best dan tidak terlalu sukar untuk difahami walaupun ada terselit kisah tentang pengajian dan projek yang diusahakan untuk tesis PHD. Percayalah, anda tidak akan terganggu dengan beberapa istilah ilmiah tersebut kerana keseluruhan cerita ini adalah kisah kehidupan yang penuh cabaran dan dugaan. Hanya yang kuat, mampu bangkit kembali dan meneruskan perjalanan.