Friday, January 15, 2021

Resensi Novel: Commando In Action

 


Tajuk: Commando in Action
Penulis: Dhiya Zafira
Penerbit: Poreng Kertas Publication
Tahun Terbit: 2020

Kali ini kisah difokuskan kepada Eddie dan Aufa. Kesian dengan Eddie, selama ini dia memendam rasa, tiada siapa yang tahu.

Kalau anda pernah baca novel-novel sebelum ini, anda pasti tahu kisah brotherhood antara Jimmy, Rif, Eddie, Helmi dan Luqman. Mereka berlima ini ada macam-macam kisah dan perangai tetapi itulah kekuatannya. Setiap kali berkumpul pasti ada acara bahan membahan (tak tahan betul).

Salah satu dialog, membahan Eddie.

"Dia main pandang-pandang pula dah. Aku rasa kita bincang dengan Sid ajelah nanti. Tunggu Romeo ni, tak habis kerja kita."

Untuk novel kali ini, saya rasa watak Hayat antara yang berjaya mencuri tumpuan. Kisahnya tidak banyak, tapi setiap kali muncul meninggalkan kesan di minda.

“Tak adalah, aku cuma nak cakap, hari ni dah 15 hari bulan.”
“Maka?” Darah Eddie semakin menyirap.

Satu lagi yang mencuri tumpuan adalah perkataan “Maka” … perkataan yang jarang digunakan dalam perbualan, tapi bila digunakan amat menarik kesannya.

Jika ditanya (saya bagitahulah, walaupun takde orang tanya), kisah Rif dan Afi masih tetap menjadi kisah paling tragis. Namun kisah Eddie dan Aufa ada aura tersendiri serta masih mampu mengugat emosi saya.

Sejak novel Jauh Kau Pergi, saya memang dah terjatuh cinta dengan novel thriller ala commando ini. Cuma saya geram sangat dengan Aufa, dah cakap kan, duduk diam-diam dalam bilik di atas sampai kena seru. Tapi degil…nasib baik tak ada depan mata, kalau tak saya dah cubit-cubit Aufa sebab degil tak kena tempat.

Kalau dalam novel Jauh Kau Pergi, Rif paksa Afi turun dari apartment bukan guna lif tapi rappelling. Dalam novel Commando In Action pula, Eddie minta Aufa ikut bumbung dan terjun ke bawah untuk selamatkan diri.


Sedutan cerita

Jeneral Hamzah meminta Eddie untuk berjumpa dengannya. Alasannya kerana Aufa. Eddie mula berbelah bagi sama ada mahu menemuinya atau tidak. Jeneral tua itu adalah individu yang dibenci. Berjumpa dengannya seperti merobek kembali luka lama.

Kasihnya pada Aufa tidak pernah berkurang, hanya dia yang tahu kebenaran tentang perpisahan mereka. Apabila nama Aufa disebut, bohonglah sekiranya hati Eddie tidak goyah.

Mereka bertemu kembali dalam keadaan yang tidak disangka. Mampukah Eddie meraih semula cintanya yang hilang? Apakah sebenarnya yang terjadi pada Aufa?

Thursday, January 14, 2021

Resensi Buku: Peguam Kriminal

 


TAJUK: PEGUAM KRIMINAL

PENULIS: ARIFF AZAMI HUSSEIN

PENERBIT: ILHAM PRESS

TAHUN TERBIT: 2020

Pandangan pertama, tertarik dengan judulnya. Otak arahkan tangan untuk klik butang pra-tempahan. Itulah proses yang terjadi apabila signal dari mata pergi ke otak.

Ternyata pandangan mata saya tidak tertipu dengan judul buku saja. Isinya amat menarik dan mempesonakan.

Buku 'Peguam Kriminal' sememangnya mencuri perhatian. Buku ini boleh dikatakan seperti rentetan kisah penulis sebelum dan semasa menjadi peguam jenayah.

Kisah bermula dengan cerita tentang perjalanan awal penulis sebagai seorang pelajar hingga menjadi seorang mahasiswa di falkulti undang-undang. Ketika itu, sekiranya ada orang yang bertanya apakah cita-cita penulis. Beliau sering menjawab "selain peguam jenayah".
Setelah tamat pengajian, penulis memohon untuk jawatan Timbalan Pendakwa Raya yang sememangnya menjadi idaman ramai. Alhamdulillah, beliau berjaya. Selepas lima tahun, penulis meletakkan jawatan dan mengambil keputusan untuk menjadi peguam.
Turut dikongsikan, kisah-kisah kes jenayah yang pernah diambil oleh penulis (bukan secara detail). Setiap kisah yang dicoretkan, penulis menyelitkan beberapa kritikan positif tentang sikap dan tanggungjawab yang dipikul.

Bermulalah kisah penulis sebagai seorang peguam jenayah. Bagaimana ini terjadi? Penulis menceritakannya satu demi satu dalam buku ini. Setiap profesion pasti ada dugaan dan liku yang perlu dilalui.
Buku ini mungkin salah satu pilihan untuk kita mencari penjelasan. Kisah yang ditulis secara santai ini berjaya memikat hati saya. Anda bagaimana?

Ada banyak teguran yang saya rasa relevan untuk semua jenis pekerjaan. Contohnya, niat yang kita tanamkan dalam melakukan setiap tugas. Adakah kita hanya mahukan ganjaran? Atau kita benar-benar ingin melakukan sehabis baik tugasan yang diberikan.
Selain itu, kita juga dapat mengetahui serba sedikit tentang dunia seorang peguam. Adakah  profesion sebagai peguam sama seperti yang selalu digembar-gemburkan?

Resensi Buku : Seni Berfikir Yang Hilang




SENI BERFIKIR YANG HILANG

Tajuk: Seni Berfikir Yang Hilang
Penulis: Hasrizal Abdul Jamil
Penerbit: Iman Publication
Tahun Terbit: 2020

Buku ini mengupas karya Dr. Sheikh Yusuf Al-Qaradawi bertajuk Thaqafah Al-Da'iyah tentang enam cabang ilmu yang perlu dipelajari oleh seorang pendakwah.
Enam cabang ilmu yang dibincangkan adalah seperti  berikut:
1) Ilmu Agama
2) Ilmu Sejarah
3) Ilmu Sastera dan Bahasa
4) Ilmu Kemanusiaan
5) Ilmu Sains
6) Ilmu Hal Ehwal Semasa

Seni Berfikir Yang Hilang memberi penjelasan tentang enam cabang ilmu yang perlu dipelajari. Setiap cabang ilmu itu dijelaskan sebab mengapa ia penting dan diberikan contoh untuk kita faham kegunaannya.
Susunan isi kandungan yang teratur, penggunaan gaya bahasa yang baik dan penjelasan beserta contoh menjadikan proses pembacaan serta pemahaman lancar. Enam ilmu ini dibincangkan satu per satu dan dijelaskan dengan situasi  bagaimana setiap ilmu ini diaplikasikan dalam kehidupan manusia.

Saya kongsikan satu contoh yang dihuraikan dalam buku ini secara ringkas.
Kisah Pak Haji dan Ah Chong, mereka berdua mengusahakan ladang jagung. Pak Haji adalah seorang muslim yang soleh, solat dijaga, khatam Al-Quran dan selalu ke masjid. Pak Haji memilih lokasi yang barakah, ladangnya dekat dengan masjid dan menghadap kiblat. Ah Chong pula, dia tidak ada agama, jadi dia buat saja ladangnya ikut suka hati. Pak Haji menanam jagungnya tanpa mengikut panduan yang betul, tapi Ah Chong mengikut proses menanam jagung yang amat terperinci. Jadi bila musim jagung, anda rasa kebun siapa yang subur dan mengeluarkan hasil yang banyak? Mengapa?
Jawapan kepada persoalan ini akan menjelaskan bagaimana setiap ilmu saling berhubung. Ya berfikir juga perlukan seni dan ilmu yang betul, baru keputusan atau hasilnya akan menyelesaikan masalah.
Seni Berfikir Yang Hilang sebuah buku yang patut anda baca dan fahami isi yang dibincangkan. Kemudian kita akan nampak maksud seni berfikir yang hilang.

Buku ini boleh didapati melalui IG: bookworm_bookstore