Saturday, June 29, 2019

Resensi Buku: Platun Harimau - Hutang Darah Dibayar Darah

Penulis: Mohd Radzi Abdul Hamid


Tak sangka, novel perang ini mengandungi emosi yang mendalam, dendam yang membara dan ditamatkan dengan sedikit kegembiraan. Kenapa aku katakan sedikit, kerana perjuangan ini belum selesai. Namun itu tidak bermakna kita tidak boleh mengecapi kegembiraan.

Novel ini banyak menggunakan singkatan dan term dalam bidang ketenteraan. Tidak menjadi masalah pada aku kerana helaian awal buku ini telah diberikan maksud untuk setiap singkatan dan term tersebut. Betul, kita sebagai pembaca yang bukan berlatar belakangkan tentera tidak akan ingat, jadi selak saja halaman ini untuk semak kembali.

Platun Harimau ialah kisah perajurit negara menentang dan memburu komunis. Platun ini merupakan pasukan elit yang dianggotai oleh tentera yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang - pakar mengesan jejak, pakar radio, pakar bom. Mereka telah digabungkan dan dilatih menjadi tentera yang hebat.

Kisah bermula dengan Operasi Serampang 2 di belantara Gubir. Misi utama untuk memburu kumpulan komunis Black Jacket. Dalam operasi ini 2 anggota telah terkorban kerana mereka telah diserang hendap. Walaupun kesedihan dengan kehilangan 2 anggota, operasi tetap diteruskan. Kali ini di Bukit Layai. Sekali lagi kejadian tidak disangka terjadi. 2 anggota tinjau yang dihantar terbunuh dalam letupan jerangkap samar. Apa yang amat menyedihkan salah seorang anggota Prebet Habibullah, isterinya sedang sarat mengandung. Bayangkanlah situasi ketika Kapten Amran menyampaikan berita sedih itu kepada keluarganya. 😭😭😭

Bila membaca buku ini, kita dapat rasakan pengorbanan anggota tentera dalam mempertahankan kedaulatan negara. Mereka bertarung nyawa, bersengkang mata, menahan lapar, tidak tidur supaya musuh dapat ditangkap atau dimusnahkan. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan mereka tiada bandingan. Kebebasan hari ini adalah hasil usaha perjuangan mereka yang terdahulu.

Dengan beberapa siri anggota tentera yang terkorban, telah mendatangkan kemarahan anggota tentera yang lain. CO (Commanding Officer) telah memanggil pulang Platun Harimau untuk melaksanakan misi penting memusnahkan kumpulan Black Jacket. Kepulangan Platun Harimau telah memberi semangat dan harapan baru kepada seluruh pasukan.

Platun Harimau yang diketuai Leftanan Fauzi telah merancang strategi untuk menjejaki markas utama komunis ini. Beberapa operasi telah dilakukan berdasarkan maklumat yang diperolehi untuk membanteras komunis.

Sebuah kisah yang patut dibaca oleh kita rakyat Malaysia. Perjuangan dan pengorbanan patut kita hargai dan pertahankan.



Usah risau dengan term yang digunakan kerana percayalah, tidak akan terganggu pembacaan anda hanya kerana term tersebut. Aku suka plot bila diceritakan bagaimana anggota tentera ini berhubung melalui radio.

Resensi Buku: Sarang



SARANG atau kata lainnya merujuk kepada tempat persembunyian seseorang atau kumpulan. Novel ini merupakan naskah ke-2 yang aku baca selepas KABUT.

Sarang merupakan gabungan thriller, misteri dan suspen. 3 orang yang berbeza mempunyai matlamat yang sama. Ingin menjadi novelis bestseller. Rania seorang penulis novel cinta, cuba bertukar genre kepada novel seram disebabkan permintaan pasaran. Fatah seorang novelis muda yang popular mendadak bila novel pertamanya meletop dan menjadi bestseller. Khalil seorang penjual buku online tapi sudah lama berminat dan ingin menghasilkan novel sendiri. Namun tidak kesampaian.

Mereka bertiga menerima email yang mengandungi sebuah manuskrip misteri dari penghantar yang tidak dikenali. Segala-galanya bermula kerana manuskrip ini. SAGA GELEMAT.

Bab awal kisah ini santai saja, penulis memperkenalkan watak-watak ini satu persatu. Matlamat dan masalah mereka diceritakan dengan baik, jadi asas setiap watak telah mula dibina dalam minda pembaca.

Bila manuskrip misteri itu mula dipaparkan, bacaan bab demi bab menyebabkan perasaan aku mula berdebar, suspen kerana tiba-tiba dibawa masuk ke dunia lain. Pembaca dibawa menyelami kisah Jak, Pie, Rodi dan Wan. Memang tak boleh nak stop dah la membaca, tapi kena stop juga sebab waktu rehat dah tamat. Itulah siapa suruh baca kat office kan.

Persoalan demi persoalan timbul, makin lama makin menarik dan banyak jawapan yang perlu digali. Jadi cliff hanger dalam kisah ni memang baik dan itu penting untuk mengekalkan momentum pembacaan.


Dari segi jalan cerita, aku rasa penulis telah menyusun dengan kemas. Garapan, bahasa yang digunakan juga baik. Jadi kalau nak tahu apa kaitan kisah dalam manuskrip dengan Fatah, Rania dan Khalil, silalah baca novel ini. Apa yang jadi kepada mereka semua akan terjawab setelah bacaan tamat. Nasihat aku, jangan baca skip-skip ya, nanti korang tak dapat relate dan tak faham. Sebuah naskah yang tak rugi dan pasti tidak mengecewakan anda.

Buku ini aku beri 5 bintang, jadi kalau anda peminat novel misteri, thriller memang patut baca dan rasainya sendiri pengalaman yang suspen dan mendebarkan.

Resensi Buku: KOLONI [M]




KOLONI [M] – buku ke-2 dari Auni Zainal. Buku ini membawa kita ke masa hadapan. Ini merupakan penulis ke-2 yang mengambarkan Malaysia di masa hadapan tapi dengan perspektif yang berbeza. Penulis memilih tema personaliti sebagai subjek utama cerita ini. Memang benar, setiap manusia mempunyai satu personaliti yang dominan. Anda mungkin seorang analyst, empathy, executive atau artist. 

SINOPSIS – Ansar tinggal di bazar sejak kecil kerana kekurangan dalam dirinya. TMCC hanya untuk mereka yang sempurna. Ansar tidak pernah melupakan cita-citanya untuk menjadi sebahagian dari ahli TMCC. Peluang yang ditunggu akhirnya muncul. Sanggupkah Ansar meninggalkan keluarganya? Adakah Ansar telah membuat pilihan yang bijak? Semakin lama di TMCC, semakin banyak rahsia diketahui. Dia mula ragu dengan pilihannya.

ULASAN – Jalan cerita menarik, watak-watak muncul secara semula jadi, satu demi satu. Pada aku jalan cerita sangat teratur. Watak yang wujud saling membantu antara satu sama lain. Watak wujud dengan tujuan dalam cerita ini. Kemesraan antara Ansar dan Mr. Micheal dapat kita rasanya melalui perbualan mereka. Perasaan Ansar juga dapat digambarkan melalui tulisannya. Hoody aku rasa watak yang penting dalam kisah ini. Awal-awal lagi wataknya seperti ada sesuatu. Kemunculan pertama Hoody dalam tren sudah menarik perhatian aku sebagai pembaca.

Pada awalnya, aku tertanya-tanya juga, kenapa Ansar yang dikatakan empathy tahap tinggi tidak seperti yang digambarkan. Bila anda baca naskah ini, diakhirnya anda akan temui jawapan, kenapa watak Ansar sebegitu.

Ini bukan sebuah novel thriller, jadi aku rasakan plot-plot tentera TMCC, pemberontakan Kem Batu dapat dimaafkan. Plot tersebut tidaklah begitu thrill tapi dapat membantu perjalanan kisah ini.

Plot twist agak menjadi, tapi aku tidak dapat jelaskan disini, nanti jadi spoiler. Anda kena baca dan cari sendiri jawapannya. Mesej utama yang aku dapat dari novel ini ialah setiap personaliti mempunyai kelebihan masing-masing. Kita patut bergabung, saling menyokong untuk membentuk negara yang lebih baik dan makmur. Setiap dari kita, ada personaliti yang unik. Setiap orang tidak sama dari sudut pemikiran dan perasaaan kerana manusia memang diciptakan untuk melengkapi bukan untuk dipisahkan.