Saturday, December 31, 2016

Novel: Vignette by Syud

Tajuk Novel: Vignette
Penulis: Syud
Penerbit: Jemari Seni Sdn Bhd
Tahun Terbit: 2016
Jumlah Halaman: 516
ISBN 978-967-0851-45-7

Sinopsis:

Dia tu macam...vignette
Keliling gelap, tengah-tengah sahaja yang jelas. Dan tak ada garis jelas yang memisahkan antara keliling yang gelap dengan tengah yang terang itu. Macam mimpi.

Kata Najiha:
"Aku nak kekalkan sikap aku yang hanya akan ingat benda gembira. Eloklah tu. Ubah angin, ubah tempat. Hijrah itu satu benda yang elok."

Dia berhijrah untuk memulihkan keadaan hatinya yang sedikit calar. Calar yang tak ada kesan pun...kan? Hijrah yang bermaksud,
(a) dia akan jumpa orang yang dia tak pernah jumpa;
(b) pernah jumpa tapi tak ingat; atau
(c) orang yang memang dia pernah jumpa dan ingat.

"Najiha." Dia memperkenalkan diri.
"Nice meeting you, Najiha."

Tapi dia rasa dia tak pernah jumpa lagi orang yang malas nak bercakap macam Si Dahi Kerut ni. Atau mungkin...dia pernah jumpa...kut?




Pada Firdaus:
Matahari tu, orang kata, sifatnya terang, panas - dan hidupan atas muka bumi ini tak boleh hidup tanpa matahari. Najiha itu, bagi Firdaus macam matahari. Terang - dan buat dia sentiasa tercari - cari.

"Awak memang suka cakap sepatah-sepatah kan?"
"Ha. Saya memang suka cakap sepatah-sepatah."

Dan kalaulah matahari itu hilang, tak mungkin dia tidak terkesan, kan?




Komen ringkas saya:

Najiha kecewa dengan Reza dan dia nekad untuk berhenti kerja. Biarlah jauh di mata dan jauh di hati. Tiada gunanya dia terus berharap pada orang yang tidak sudi.

Di tempat baru, Najiha bertemu dengan Firdaus. Pada mulanya Najiha ingat Firdaus ni sombong, tak pernah nampak dia senyum. Itu sebab Najiha rasa Firdaus ni macam vignette. 

Tapi betullah orang tua - tua pernah berkata, tak kenal maka tak cinta. Bila kita tak kenal orang tu, apa yang kita assume adalah berdasarkan pandangan kita sendiri. 

Novel ini terasa dekat di hati saya kerana ceritanya berkisar dengan kisah hidup orang IT. Saya kan orang IT, so bila baca rasa macam keadaan yang berlaku di sekeliling. Cepat saja faham apa yang jadi.

Watak yang diketengahkan tidak menonjolkan kekayaan atau kecantikan, tetapi diceritakan secara telus. Hidup orang biasa - biasa yang kerja di pejabat. Apa yang jadi sepanjang pertemuan mereka. Sangat simple dan memang rasa dekat di hati. Itu sebab saya suka novel nukilan Syud ini.

Jadi apa kata anda semua baca sendiri novel ini. Mungkin ia juga dekat di hati anda. Novel boleh didapati di Jemari Seni.






Tuesday, December 27, 2016

Buku: Formula Solat Sempurna

Pengarang : Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Terbitan: Telaga Biru Sdn Bhd
Tahun Terbitan: 2012

Hari ini saya ingin berkongsi satu lagi buku yang banyak manfaatnya kepada kehidupan kita semua. Dalam agama Islam, solat merupakan tiang agama dan merupakan ibadah yang pertama akan dihisab di akhirat kelak. Jadi amatlah penting untuk kita mengetahui dan mempelajari bagaimana untuk memperbaiki solat harian kita.

Buku ini menerangkan dengan jelas setiap pergerakan dalam solat, bacaan dan juga kedudukan anggota badan secara tepat. Ini dapat dilihat dengan paparan gambar yang turut disediakan dalam buku ini.





Kandungan yang terdapat dalam buku ini seperti gambar dibawah:





Buku ini turut menerangkan perihal solat mengikut pandangan 4 Mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafi'i dan Hambali. Turut disertakan panduan berserta gambar yang menunjukkan kedudukan / keadaan ketika dalam solat. Ini dapat memudahkan lagi pemahaman kita dan sangat membantu dari segi praktikalnya.



Turut dijelaskan dengan terperinci tentang dalil - dalil yang menjelaskan sesuatu hukum berkaitan dengan rukun - rukun solat. 




Kepada anda yang berminat boleh membeli buku ini secara online atau boleh dapatkan di kedai - kedai buku berhampiran.


saya pernah tulis berkenaan buku ini di blog mylifemyprimaryplan. Saya masukkan entri ini ke blog ini dengan sedikit tambahan informasi.

Monday, December 26, 2016

Novel Thriller : A.D.A.M

Tajuk: A.D.A.M - Aku Darah Anak Malaysia
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Penerbit: ALAF 21
Cetakan Pertama : 2002

Sinopsis:

Bila Hilman dapat bertemu dengan anaknya Jeslina di New York setelah berbelas tahun terpisah, mereka berasa begitu bahagia. Namun, keriangan mereka diragut bila kereta yang mereka naiki terlibat dengan satu kemalangan jalan raya.

Jeslina koma sementara Hilman pula dituduh memandu dalam keadaan mabuk. Dalam situasi genting itu, muncul Mia Sara, seorang petugas di Kedutaan Malaysia, Washington D.C. Melalui bantuannya, Hilman dinasihatkan ke mahkamah untuk mendapat keadilan.

Namun, bila satu konspirasi untuk menutup kemalangan itu diketahui Hilman, dia mengambil keputusan untuk mencari kebenaran dengan caranya.

Sebagai seorang penembak tepat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia, survival adalah mainan hidupnya. Siasatannya terhadap konspirasi kemalangan itu akhirnya membawa beliau ke pintu White House!

Dan, Hilman tidak sekali-kali terpaku dihadapan pintu itu...





Ringkasan cerita dari bacaan saya:

Hilman seorang pegawai polis berpangkat ASP yang telah lama berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia. Kisah kecemerlangannya memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Pernah menyertai pasukan pengaman antarabangsa (UNPROFOR) dan seorang sharp-shooter yang pernah bertempur secara combat. 

Kisah hidup Hilman tidak selancar kerjayanya. Dia berkahwin dengan Haslina anak Datuk Harun. Mentuanya tidak menyukai Hilman tapi demi anak kesayangan mereka Haslina, pernikahan itu diteruskan jua. Kebahagiaan tidak berpanjangan apabila isteri tersayang meninggal dunia ketika melahirkan puteri sulung mereka Jeslina.

Selepas berbelas tahun terpisah, akhirnya Hilman dipertemukan jua dengan anaknya Jeslina di Kota New York. Nor Alia banyak membantu memberitahu perkembangan Jeslina kepada Hilman. Itu sajalah penghubung mereka selama berbelas - belas tahun ini.

Di New York bahagia yang dikecapi hanya sementara. Kemalangan itu menjerat Hilman ke dalam satu konspirasi yang tidak dijangka. Dia dijadikan kambing hitam untuk menutup pesalah sebenar kes kemalangan tersebut. 

Datuk Harun bergegas ke New York setelah mengetahui kejadian itu. Kemarahanya meluap - luap bila mendapat tahu Hilman ada bersama - sama Jeslina dan Nor Alia. Segala kesalahan diletakkan ke atas Hilman tanpa ingin mendengar penjelasan dari Nor Alia.

Dalam kekalutan yang melanda, muncul Mia Sara  bersama rakannya Gabriel menghulurkan bantuan. Mia Sara telah lama mengikuti perkembangan Hilman dan kemalangan itu benar - benar mengejutkannya. Nekad Mia Sara, pasti Hilman akan dibebaskan daripada terus menjadi mangsa konspirasi ini. Ini adalah balasan terbaik untuk apa yang telah Hilman berikan kepadanya ketika dia kecil dahulu. 

Hilman nekad, dia tidak bersalah. Dia akan menggunakan segala kepakaran yang dia ada untuk menyiasat kejadian sebenar. Apa yang pasti, dia tidak akan percaya kepada sesiapa pun. Dia akan mencari siapa yang memandu kereta sport yang telah merempuh keretanya dan menyebabkan kemalangan itu.

Siapakah pesalah sebenar dalam kes kemalangan ini? Siapakah dalang yang terlibat? Mengapa pesalah sebenar perlu dilindungi? Apakah rahsia sebenar di sebalik kejadian ini? 




Semua ini akan terjawab dalam novel Thriller ADAM. Sebuah novel yang memang menjadi kegemaran saya. Anda pasti tidak akan kecewa. 

Selamat membaca!!!