MY INSTAGRAM

        
Showing posts with label Tombiruo. Show all posts
Showing posts with label Tombiruo. Show all posts

Tuesday, June 12, 2018

Novel Thriller: Legasi Tombiruo



Tajuk: Legasi Tombiruo
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Terbitan: Buku Prima
Tahun Terbit: 2017
ISBN: 978-967-446-392-2


SINOPSIS

EJIM atau nama barunya Amaruddin telah lama meninggalkan dunia TOMBIRUO setelah mendirikan rumah tangga bertahun-tahun lamanya. Kini dia hidup bahagia bersama isteri tersayang Siti Nurhaliz dan anak tunggalnya Suriani. Bagaimanapun kebahagian yang dikecapi tercalar tatkala Semangat Hutan muncul semula dalam jelmaan bapanya, Pondulou. Bahkan menerusi mata fikirannya, Amaruddin sering melihat pembunuhan kejam. Amaruddin pun memutuskan untuk memburu pembunuh itu yang bermaharajalela di ibu kota Kuala Lumpur.

Diana seorang peguam biasa dan Sarah seorang wartawan jenayah Sinar Harian telah bertemu Amaruddin menerusi satu kejadian tragis. Mereka bersepakat bergabung tenaga untuk membanteras penjenayah yang tampil dengan imej TOMBIRUO namun diubahsuai mengikut cara moden. TOMBIRUO hutan batu ini rupa-rupanya bukan calang-calang pembunuh. Manusia bertopengkan wajah dewa itu sangat handal sehingga berupaya mengalahkan ketiga-tiga mereka ini.


ULASAN

LEGASI TOMBIRUO membawa kepada kita pendedahan kisah yang tidak pernah diketahui sebelum ini. Kisah yang penuh dengan debaran dan tanda tanya yang tiada kesudahan. Apabila telah mula membaca naskah ini, tidak betah rasanya untuk berhenti. 

Pembunuhan ngeri yang terjadi di sekitar Kuala Lumpur menjadi konflik utama kepada jalan cerita. Misteri siapa yang melakukannya amat menjadi persoalan. Mirip Ejim tapi yang pasti Ejim tidak ada disana. Bagaimana dia boleh melakukannya?


Pembunuhan ini pula seperti satu siri membalas dendam kerana mangsa-mangsanya ada kaitan antara satu sama lain. Walau bagaimana mangsa cuba bersedia dan berjaga-jaga, masih tidak mampu melarikan diri dari dibunuh oleh pembunuh misteri ini.

Kemunculan Diana juga menimbulkan kekeliruan. Banyak sangat watak baru muncul, siapa sebenarnya mereka ini? Konflik yang diketengahkan kuat dan berjaya memegang tumpuan pembaca untuk mencari jawapan kepada konflik tersebut.

Watak Wan Suraya, Dr. Harlina muncul semula dalam misi pencarian siapa sebenarnya tombiruo hutan batu ini. Sejarah perlu difahami untuk mencari jawapan pada apa yang sedang terjadi.

Jalan cerita tidak meleret dan perkembangan kisah ini digarap dengan bijak. Sebagai pembaca, saya tidak dapat meneka dengan tepat apa yang akan terjadi. Plot twist yang menjadi dan mendebarkan. Sejarah yang tidak pernah diketahui oleh sesiapa akhirnya terbongkar. 

Watak Tony, Sarah, Diana, Linda dan Piantur sering membuatkan saya tertanya-tanya adakah salah seorang dari mereka yang menyamar sebagai Tombiruo hutan batu ini. Namun semakin kita selami semakin kita dapat mengenali watak-watak ini dan boleh menyingkirkan mereka dari senarai penjenayah yang dikehendaki.

Ejim @ Amar masih lagi hebat walaupun telah berusia. Dia masih lagi mampu untuk bertarung dengan orang jahat dan kelebihannya ketika di hutan Keningau dahulu masih berbisa. 

Novel ini merupakan kesinambungan daripada 3 novel terdahulu iaitu Tombiruo - Penunggu Rimba, Semangat Hutan dan Tombiruo Terakhir. 

Kepada peminat novel thriller di luar sana, ini merupakan satu novel yang tidak patut dilepaskan. Anda pasti berpuas hati dengan debaran, konflik dan aksi yang dihidangkan oleh Tuan RAM dalam novel ke-28 beliau.

"Reading is a conversation. All books talk, but a good book listens as well." - Mark Haddon

Sunday, December 18, 2016

Koleksi Trilogi Tombiruo

Assalamualaikum semua.

Entri kali ini saya akan berkongsi serba sedikit tentang koleksi trilogi novel thriller Tombiruo. Buku ini dihasilkan oleh novelis thriller terkenal tanah air kita Tuan RAM.

Penulis : Ramlee Awang Murshid
Novel 1: Tombiruo - Penunggu Rimba (1998)
Novel 2: Semangat Hutan (2001)
Novel 3: Tombiruo Terakhir(2004)
Penerbit: Karangkraf Sdn Bhd

Sinopsis Novel Tombiruo - Penunggu Rimba

Tiga kali surat wasiat itu dipinda.
Empat nama telah disenaraikan.
Nama kelima telah disingkirkan.
Dua belas pembunuhan kemudian dilakukan.
Lelaki sadis itu sanggup membunuh kerana
nafsu, wang, kuasa dan dendam!
Dan setelah 30 tahun,
mereka dipertemukan untuk mengatur semula
episod hidup yang penuh ngeri.





Sinopsis Novel Semangat Hutan


Bila Amiruddin terdengar berita mengenai sebuah jet peribadi terhempas di Hutan Keningau, memorinya segera terbanyangkan Wan Suraya kekasihnya. Benar....gadis itu adalah di antara mangsa yang terlibat. Dengan seorang rakan, Amiruddin bergegas ke tempat tragedi. Saudaranya yang tinggal di hutan juga dihubungi secara psikik untuk turut membantu.

Dalam pada itu, sejenis makhluk aneh berkeliaran di hutan tersebut. Rogon amat digeruni oleh penduduk di pendalaman. Raungannya sahaja boleh mengecutkan perut. Bila ia menerjah, mangsa hanya mampu pasrah menanti ajal. Rogon juga tercium bau manusia di hutan sekitar tempat terhempasnya jet itu.

Di antara Amiruddin dan Rogon, siapakah yang terlebih dahulu menemui Wan Suraya?





Sinopsis Novel Tombiruo Terakhir



Keterampilan and imej baru Ejim menggugah hati Wan Suraya, sekali gus mencetus rasa cemburu Dr. Haslia. Ejim yang kini dikenali sebagai Amaruddin, saling tidak tumpah menyerupai kembarnya Amiruddin yang telah meninggal dunia. Munculnya Ejim di Kuala Lumpur menyebabkan Wan Suraya melihat 'Amiruddin' dalam diri lelaki Tombiruo itu.

Wan Suraya yang telah bertunang dengan Tan Sri Nasir tiba-tiba menunda tarikh perkahwinan mereka. Apabila perkara sebenar terbongkar, Tan Sri Nasir yang merupakan penaja utama pembedahan wajah Ejim mula memusuhi lelaki Tombiruo itu. Dia tidak mahu kehadiran Ejim mengganggu gugat cinta sucinya terhadap Wan Suraya.

Kehidupan di Kuala Lumpur rupa-rupanya tidak menjanjikan kebahagiaan. Ejim hidup dalam penghinaan, dugaan dan cabaran. Hasrat hatinya ingin kembali ke Hutan Keningau ditentang Dr. Haslia. Bagaimanapun, hasrat hatinya itu terlaksana jua setelah 10 tahun berlalu. Selama tempoh itu, Ejim telah pun berkahwin dan dianugerahkan seorang anak perempuan. Sekembalinya ke Hutan Keningau bergolak lagi dengan kemunculan 'Seoarang Tombiruo'.

Siapa isteri Ejim? Mampukah Ejim menjiwai semula semangat Hutan Keningau setelah 10 tahun berlalu? Tergamakkan Ejim meninggalkan anak dan isterinya demi menyahut seruan semangat Hutan Keningau? Dan siapakah 'Tombiruo Terakhir' yang mengaku sebagai raja rimba di daerah pendalaman itu?




Ringkasan watak dalam trilogi ini daripada bacaan saya.

Wan Suraya merupakan seorang wartawan jenayah di sebuah syarikat penerbitan di Kuala Lumpur. Setiap hari berdepan dengan kes - kes jenayah dan melaporkan berita kepada masyarakat. Dia akan pasti membongkar setiap kes jenayah sehingga ke akar umbi.

Amiruddin seorang renjar hutan Negeri Sabah. Hutan Keningau merupakan salah satu kawasan di bawah jagaan Jabatan Perhutanan Negeri. Kes pembalakan haram menjadi semakin berleluasa dan ianya perlu dibendung dengan segara.

Tuan Berham seorang ahli perniagaan di Sabah. Syarikatnya merupakan pembalak yang telah diberi lesen oleh kerajaan negeri. Sayangnya, kawasan balak milik syarikatnya sering saya diganggu oleh pembalak haram.

Salina & Baizura, mereka berdua merupakan adik beradik dan anak kepada Tuan Berham. Keduanya mempunyai cerita hidup sendiri yang sentiasa berdepan dengan cabaran. 

Pondolou seorang pahlawan yang telah lama tinggal dan menjaga Hutan Keningau dari sebarang kerosakkan.

Ejim, sejak kecil lagi dia tinggal di Hutan Keningau. Dia tahu selok belok di dalam hutan ini. Dia tahu niat jahat mereka yang masuk ke hutan ini. Dia setia di sini, menjaga keamanan dan ketenteraman di sini. Banyak yang dia telah lalui yang akhirnya menemukan dia dengan Amiruddin dan Wan Suraya. 

Rogon makhluk yang paling ditakuti dan digeruni oleh masyarakan pendalaman di Keningau. Pelbagai mitos tercipta dan apakah mahluk ini hanya mereka yang pernah menemuinya saja yang tahu.

Banyak lagi watak lain yang ada dalam trilogi ini. Setiap watak mempunyai kekuatan tersendiri dalam membentuk jalan cerita. Novel ini menggabungkan elemen kekeluargaan, cinta, prinsip dalam melakukan tugas yang diamanahkan serta yang pasti thriller yang mungkin anda tidak pernah bayangkan.

Jadi kepada peminat - peminat novel thriller di luar sana, ini adalah salah satu trilogi yang anda perlu baca. Selamat membaca!!!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...