Wednesday, May 13, 2020

Resensi Buku: Aku, Buku & Kota Kaherah


Penulis: Shahriman Jamalullayl
Terbitan: Toko Buku Azbakia
Tahun Terbit: 2020


Aku, Buku & Kota Kaherah boleh aku katakan sebuah nashkah yang ditulis oleh seorang pencinta tentang kekasih hatinya. Buku ini ada tarikannya yang tersendiri. 30 minit pertama, aku membaca buku ini sambil berdiri. Aku merasai keseronokkan dan tidak sabar untuk sama-sama menjelajah Kota Kaherah. 

Bila aku nampak buku ini diiklankan di instagram, seakan ada satu tarikan yang sukar untuk dijelaskan. Penulis bukan seorang yang aku kenali, pada awalnya aku ingat ini buku lama rupanya ini buku yang baru terbit. Ya, aku tidak buat background check pun untuk buku ini. Mungkin kulit buku yang berwarna biru dan gambar susunan buku di lorong itu sudah berjaya menarik perhatian dan aku terus membelinya.

Buku ini setebal 242 halaman dengan 50 bab. Setiap bab memuatkan kisah sekitar 3 ke 5 halaman. Kisah perjalanan penulis bermula bila beliau menyambung pelajaran di Universiti Al-Azhar. Bermula dengan pengalaman beliau pertama kali menjejakkan kaki ke Mesir, melihat sendiri budaya orang-orang Arab, belajar menyesuaikan diri dengan budaya tempatan dan bergaul dengan orang Arab tempatan. 

Apa uniknya di Mesir? Kata penulis - "Nah, ini dia! Ma'rad al-Qahirah al-Duwali lil Kitab atau Pesta Buku Antarabangsa Kaherah." Inilah acara yang ditunggu-tunggu setiap tahun oleh ulat buku. Bagi kita di Malaysia, pasti menunggu acara pameran buku terbesar Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Apabila membaca pengalaman penulis, boleh dirasa kemeriahan pesta buku di Kota Kaherah ini. Pasti seronok dapat melihat banyak buku-buku yang dipamerkan oleh penerbit. 

Satu lagi perkongsian menarik oleh penulis adalah berkaitan dengan penjual buku jalanan. Mereka yang menjual buku di kaki lima ini berpengetahuan tentang buku yang dijual. Jadi mereka boleh mencadangkan buku-buku yang bagus untuk dibeli. Ada juga pasar buku di Kota Kaherah yang dikenali dengan nama Sur al-Azbakiyah (Pasar Buku Terpakai). Aku bayangkan seperti Pasar Chowrasta di Penang, berderet kedai-kedai buku terpakai.

Beberapa perkara yang aku rasa membuatkan buku ini menarik, antaranya:
  • suka jenis font yang digunakan, mudah dan sedap untuk dibaca. 
  • suka jenis kertas yang digunakan untuk mencetak buku ini. 
  • suka cara penulis membawa pembaca masuk ke dalam pengalaman hidup beliau yang pada aku amat berharga. 
  • suka kesinambungan kisah untuk setiap bab. 
  • suka buku ini sebab banyak maklumat baru aku perolehi. 
  • suka pada akhirnya penulis memberitahu beliau ada 20 kotak buku untuk dibawa pulang. Beliau lebih sanggup dirinya yang tak balik Malaysia, apa yang penting buku-buku itu perlu diterbangkan pulang.

Kota Kaherah merupakan destinasi dan syurga untuk semua pencinta buku. Banyak buku nadir dan langka serta kitab-kitab falsafah dan pelbagai jenis buku ada di kota ini. Pasar buku Sur al-Azbakiyah sesuatu yang unik. Penjual buku di sana juga kaya dengan ilmu pengetahuan. Mereka bukan setakat menjual buku, tetapi tahu isi kandungan buku-buku yang dijual. 

Satu hari nanti, aku teringin untuk pergi ke kota ini bagi melihat sendiri deretan kedai-kedai yang menjual buku seperti yang diceritakan penulis. Semoga ada kesempatan dan peluang untuk ke kota ini.