Tuesday, June 12, 2018

Novel Thriller: Legasi Tombiruo



Tajuk: Legasi Tombiruo
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Terbitan: Buku Prima
Tahun Terbit: 2017
ISBN: 978-967-446-392-2


SINOPSIS

EJIM atau nama barunya Amaruddin telah lama meninggalkan dunia TOMBIRUO setelah mendirikan rumah tangga bertahun-tahun lamanya. Kini dia hidup bahagia bersama isteri tersayang Siti Nurhaliz dan anak tunggalnya Suriani. Bagaimanapun kebahagian yang dikecapi tercalar tatkala Semangat Hutan muncul semula dalam jelmaan bapanya, Pondulou. Bahkan menerusi mata fikirannya, Amaruddin sering melihat pembunuhan kejam. Amaruddin pun memutuskan untuk memburu pembunuh itu yang bermaharajalela di ibu kota Kuala Lumpur.

Diana seorang peguam biasa dan Sarah seorang wartawan jenayah Sinar Harian telah bertemu Amaruddin menerusi satu kejadian tragis. Mereka bersepakat bergabung tenaga untuk membanteras penjenayah yang tampil dengan imej TOMBIRUO namun diubahsuai mengikut cara moden. TOMBIRUO hutan batu ini rupa-rupanya bukan calang-calang pembunuh. Manusia bertopengkan wajah dewa itu sangat handal sehingga berupaya mengalahkan ketiga-tiga mereka ini.


ULASAN

LEGASI TOMBIRUO membawa kepada kita pendedahan kisah yang tidak pernah diketahui sebelum ini. Kisah yang penuh dengan debaran dan tanda tanya yang tiada kesudahan. Apabila telah mula membaca naskah ini, tidak betah rasanya untuk berhenti. 

Pembunuhan ngeri yang terjadi di sekitar Kuala Lumpur menjadi konflik utama kepada jalan cerita. Misteri siapa yang melakukannya amat menjadi persoalan. Mirip Ejim tapi yang pasti Ejim tidak ada disana. Bagaimana dia boleh melakukannya?


Pembunuhan ini pula seperti satu siri membalas dendam kerana mangsa-mangsanya ada kaitan antara satu sama lain. Walau bagaimana mangsa cuba bersedia dan berjaga-jaga, masih tidak mampu melarikan diri dari dibunuh oleh pembunuh misteri ini.

Kemunculan Diana juga menimbulkan kekeliruan. Banyak sangat watak baru muncul, siapa sebenarnya mereka ini? Konflik yang diketengahkan kuat dan berjaya memegang tumpuan pembaca untuk mencari jawapan kepada konflik tersebut.

Watak Wan Suraya, Dr. Harlina muncul semula dalam misi pencarian siapa sebenarnya tombiruo hutan batu ini. Sejarah perlu difahami untuk mencari jawapan pada apa yang sedang terjadi.

Jalan cerita tidak meleret dan perkembangan kisah ini digarap dengan bijak. Sebagai pembaca, saya tidak dapat meneka dengan tepat apa yang akan terjadi. Plot twist yang menjadi dan mendebarkan. Sejarah yang tidak pernah diketahui oleh sesiapa akhirnya terbongkar. 

Watak Tony, Sarah, Diana, Linda dan Piantur sering membuatkan saya tertanya-tanya adakah salah seorang dari mereka yang menyamar sebagai Tombiruo hutan batu ini. Namun semakin kita selami semakin kita dapat mengenali watak-watak ini dan boleh menyingkirkan mereka dari senarai penjenayah yang dikehendaki.

Ejim @ Amar masih lagi hebat walaupun telah berusia. Dia masih lagi mampu untuk bertarung dengan orang jahat dan kelebihannya ketika di hutan Keningau dahulu masih berbisa. 

Novel ini merupakan kesinambungan daripada 3 novel terdahulu iaitu Tombiruo - Penunggu Rimba, Semangat Hutan dan Tombiruo Terakhir. 

Kepada peminat novel thriller di luar sana, ini merupakan satu novel yang tidak patut dilepaskan. Anda pasti berpuas hati dengan debaran, konflik dan aksi yang dihidangkan oleh Tuan RAM dalam novel ke-28 beliau.

"Reading is a conversation. All books talk, but a good book listens as well." - Mark Haddon