MY INSTAGRAM

        

Friday, May 26, 2017

#UlasKaryaHilal - Suri Hati Encik Pembunuh

#UlasKaryaHilal#SuriHatiEncikPembunuh

Assalamualaikum.


Saya baru saja selesai membaca novel terbaru karya Hilal Asyraf bertajuk Suri Hati Encik Pembunuh. Tajuk yang digunakan memang komersil dan sesuai dengan trend sekarang. Walau bagaimanapun cerita yang dihidangkan tidak sebegitu. Maksud saya jalan ceritanya tidak stereotaip seperti yang disangka.

Pada pandangan saya, jalan cerita novel ini agak menarik tetapi masih ada ruang untuk penambahbaikan. Satu kerugian pada saya bila mana rahsia besar watak utama iaitu seorang pembunuh telah diberitahu terlalu awal. Kalau si pembunuh kekal dengan nama panggilan tanpa diberitahu siapa dia yang sebenarnya, jalan cerita ini pasti lebih suspen. Bagi watak heroin pula, saya dapat rasakan kekurangan elemen yang dapat menunjukkan bahawa heroin adalah seorang egen pihak berkuasa. Tidak ada plot-plot yang dapat mengambarkann 'a different side of this character'. Watak heroin dan jalan cerita agak mendatar dan tidak memberi sumbangan yang banyak dalam memperkuatkan keseluruhan jalan cerita. 

Mesej utama yang cuba diangkat dalam novel ini pada saya sangat padu. Bagaimana Allah S.W.T itu maha pengampun terhadap dosa yang dilakukan oleh hambanya. Tidak ada istilah terlambat untuk bertaubat selagi mana hayat masih ada. Kesungguhan untuk berubah dan bertaubat itu yang paling penting. Penulis berjaya menerapkan mesej ini dengan baik dalam karya beliau. Tahniah.




Satu perkara yang saya tertarik dengan karya penulis ialah bagaimana penulis membina harapan dan impian yang baik dalam novelnya. Kisah ini menggambarkan Malaysia yang maju dalam pemerintahan yang adil dan saksama. Pemimpin yang berpegang pada ajaran islam dan mengamalkan cara hidup islam secara keseluruhannya. Saya rasa bila membaca novel ini harapan itu kelihatan jelas dan nyata. Keyakinan bahawa satu hari nanti negara kita akan menjadi seperti yang digambarkan.

Walaupun ini sebuah novel aksi, tetapi terdapat nilai-nilai murni yang boleh kita ambil sebagai panduan hidup. Watak heroin telah menunjukkan sifat murni yang mana dia tidak prejudis terhadap hero yang dengan jelas menceritakan keburukannya. Jelas menunjukkan keikhlasan dari hatinya untuk membantu si hero kembali ke pangkal jalan. 

Faisal - seorang yang tercari cari hala tuju kehidupan. Masih mengharap ada seseorang yang akan membantunya mencari sinar dalam kegelapan yang dilaluinya sekarang.

Izrail - sangat digeruni, sesiapa yang menjadi sasaranya pasti tidak akan selamat. Seperti nama gelarannya, malaikat maut.

Kesimpulannya, novel ini bukan novel cinta biasa. Ceritanya merupakan gabungan lumrah hidup seorang manusia yang dahagakan kebahagiaan dan mencari sejalur cahaya untuk keluar dari kegelapan. Perlu kita ingat walau apa pun yang kita lakukan, ingatlah kepada Allah dan kembalilah kepadanya. Hanya dengan itu kita akan dipelihara di dunia dan akhirat. Sekiranya anda berpeluang bacalah novel ini, ianya sebuah novel yang banyak memberi ilmu dan pengajaran kepada kita dalam menjalani hidup sebagai seorang manusia di bumi Allah S.W.T.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...